Jumaat, 18 Jun 2010

Langkah Kanan

Selari dengan horizon ini.
Kau dapat lihat seorang lelaki.
Berdiri di telan gelapnya.
Diujung tenggelamnya mentari.

Dan bila nanti.
Robot-robot kota keluar pagi.
Bersiap siaga mencari pergi,
Mengais-ngais secebis rezeki.
Dia pasti, dia kan masih disini.
Terkial-kial dihantui,
Akan makna erti diri sendiri.

Disini, curam nan tinggi,
Dipersisir mata memerhati,
Kebawah hujung kaki,
Ombak berhempas bata berbunyi.

Dan, lelaki ini.
Punyai konklusi.

Disini tiada butang ESC.

Selepas dia tersalah pilih langkah kiri.

............................

Bila hidup seperti tiada hala dituju, jalan yang terbaik adalah bertelanjang mencari Tuhan.

Jumaat, 11 Jun 2010

Ejen Din: Misi Imposibel 3

Hidup ini penuh pancaroba. Dan untuk melaluinya perlulah manusia itu bergantung sesama manusia yang lain.

Kelihatan Jack Kapcai tergantung secara terbalik dengan kakinya di ikat ke kipas siling yang berpusing. Setelah beberapa ketika, kipas itu berhenti. Aku panaskan hotdog depan muka Jack guna api pateri. Jack dah merenyet-renyet matanya bila peluh-peluh dari ketiaknya mengalir masuk ke mata.

"Nyaman tak?" Saja aku tanya. Sarkastik. Jack membeliakkan matanya sebesar-besar alam. Marah sungguh nampaknya dia. "Yossi Boyka, kat mana aku boleh cari dia." Aku balas balik pembeliakkan mata dia sambil mencucuh hotdog tadi ke lubang hidung dia.

"Aku tak tau!" Menggelupur dia sekali kena torture dengan aku. Aku tenung lagi muka dia. "Aku tak tau! Tolonglah!" Merayu-rayu dia minta dilepaskan. Tapi aku tengok dia ni dah macam Rain dalam iklan syampoo anti-kelemumur tu je. Mulut cakap lain, hati cakap lain.

Walaupun dia cakap dia tak tau, tapi pergerakkan otot-otot muka dia menunjukkan mikro-ekspresi yang sebaliknya. Aku apa lagi, buat muka garang sambil mengacukan pistol pateri tu ke arah perut dia. "Aku kira sampai tiga dalam bahasa jawa, baik kau bagitau aku kalau kau tak nak makan usus sendiri."

"Siji!"

"Aku tak tau! Betul!"

"Loro!"

"Please, betul ni aku tak tau! Gila babi punya tak tau!"

Aku tarik nafas sikit.

"Tel..."

"Ok ok aku bagi tau!"
"Yossi Boyka selalu lepak Starbak sambil minum kopicino yang dibelinya menggunakan duit yang dia dapat melalui aktiviti kejam yang dia namakan "Mencuri Cawan Pengemis" tu."
"Betul ni, sesumpah aku tak terlibat dalam aktiviti tersebut!"
Jelas Jack Kapcai bersungguh.

Aku sengih macam kerang.

(Sambung)

Ahad, 6 Jun 2010

Frinjan 12: Efek Rumah Hijau

Shah Alam 5 Jun, peratusan mat-mat rempit di sini yang beralih ke aliran seni dari aliran sukan lumba motor semakin meningkat. Berdasarkan kajian yang dibuat, fenomena ini terjadi kerana berlakunya satu event yang menarik minat para mat-mat rempit ini untuk bertukar aliran hidup yang bertempat di tempat yang mat rempit selalu lepak, Dataran Shah Alam. Selain dari unsur-unsur seni yang dipersembahkan dalam event ini, kewujudan gadis-gadis hot di event ini menyebabkan mat-mat rempit ini semakin membara jiwa raganya untuk menceburi bidang seni.

Berikut adalah bukti kewujudan entiti gadis-gadis tersebut di tempat kejadian. Nak tengok gambar lagi boleh tekan sini

Awek puisi berbaju indah
Gadis emcee sweet sweet bersemut
Akak Estrella main gitar
Farah adik sedara Mamat
Cik adik Definitely Maybe

Sabtu, 5 Jun 2010

Episod Buli: Lelaki Bermulut Itik

Beliau tidak pandai bergaul. Biasa ibu beliau hanya mengajar beliau untuk menggaul nasi dengan kuah kicap. Tapi belum lagi mengajar beliau untuk bergaul. Di sekolah, beliau ketandusan kawan.

Jadi beliau menjadi sasaran mudah untuk diperalatkan oleh golongan manusia yang rakus dan kurang kasih sayang. Beliau sering dikejar oleh kanak-kanak sebayanya yang gemar membaling pelbagai selipar ke kepalanya. Ketika waktu budak-budak lain bermain bola sepak, beliau sering menjadi penonton. Jika tidak menjadi penonton, beliau akan dipaksa menjadi penjaga gol untuk disepak bola ke mukanya.

Satu hari, seorang pelajar baru mendaftar masuk ke sekolah beliau. Lelaki Bermulut Itik adalah pelajar baru tersebut. Kerana kehodohan Lelaki Bermulut Itik, golongan manusia yang rakus dan kurang kasih sayang membencinya dan mengejeknya dengan pelbagai panggilan yang menyakitkan hati seperti Si Mulut Selipar, Ikan Sepat, Itik Pulang Petang dan sebagainya.

Tapi tiada siapa yang berani mengambil tindakan fizikal kepada Lelaki Bermulut Itik. Kerana pernah sekali seorang senior kena campak keluar tingkap asrama ketika cuba mengepau biskut tin Lelaki Bermulut Itik.

Beliau dan Lelaki Bermulut Itik berkawan rapat memandangkan tiada orang lain yang mahu berkawan dengan mereka. Sejak dari itu beliau tidak lagi diperalatkan lagi. Sebab tak ada orang yang mahu di campak ke luar tingkap.

Khamis, 3 Jun 2010

Ejen Din: Misi Imposibel 2

Bangun pagi aku mandi. Siap siap nak menjalankan misi. Macam misi-misi yang lain, aku tenang saja menghadapi misi kali ini. Objektif misi kali ini adalah menumpaskan sindiket Yossi Boyka. Aku kenal Yossi Boyka. Dari dulu lagi aku asyik kena kelentong dengan dia masa main daun terup.

Ok, mula-mula aku kena cari informasi dulu. Tempat yang paling sesuai untuk cari informasi pasal Yossi Boyka ni adalah McGonald. Orang jahat selalu berkumpul di sana malam-malam sambil makan makanan yang tak berkhasiat. Jadi aku selaku ejen yang berminda cerdas pun menyamar jadi orang jahat pergi masuk McGonald.

Masa beratur nak order makanan tu, aku saja beratur belakang Jack Kapcai. Jack Kapcai ni kira gengster kelas bawahanlah. Kerjanya jual dadih tanpa permit. Dia pernah beberapa kali ditangkap masuk lokap atas tuduhan menjalankan aktiviti parking haram. Aku tau dia pernah berkerja dengan Yossi Boyka beberapa kali. Sebab tu aku saja curi dompet dia.

Sampai turn dia nak bayar order, menggelabah dia cari wallet dia. Muka pucat habis macam ayam berak kabur. So aku pun mainkan peranan aku.

"Cari apa bro?" Aku tanya.

"Jap, aku cari wallet aku ni. Mana aku letak ye." Dia jawab.

"Takpe lah, meh aku bayarkan." Balas aku acah-acah mulia.

"Arigato lah bro. Murah rezeki kau. Wallet aku hilanglah. " Dia jawab. Aku senyum. Lepas tu aku duduk satu meja dengan dia. Sambil-sambil dia makan tu dia tanyalah aku, "Kau bukan orang sini kan? Tak pernah nampak pun." Sapanya pura-pura ramah, termakan budilah katakan. "Haah, aku tengah cari abang saudara aku yang dah lama hilang. Mak dia sakit kat kampung. Dengar kabaunya dia menetap kat area sini." Jawabku membina helah. "Oh ye ke, aku kenal semua ahli komuniti area ni. Mungkin aku boleh tolong. Siapa nama dia?" Tanya Jack Kapcai lagi. Memang aku sengaja pancing dia suruh tanya soalan tu.

"Yossi Boyka." Sambil terus memainkan peranan aku menjawab. Tersedak Jack Kapcai sebaik saja aku sebut nama Yossi Boyka.

..................................................................

Di satu sudut yang lain. Yossi Boyka pun tengah tersedak-sedak ketika menikmati kopicino di kedai kopi terkemuka Starbak.

(Sambung)

Rabu, 2 Jun 2010

Ejen Din: Misi Imposibel

Aku masuk rumah, letak kunci atas meja, buka peti ais, tuang air sejuk dalam gelas, duduk atas sofa.

"Apa kau nak?" Aku tanya.

"Jadi kau tahu aku ada kat sini." Jawab Ejen John sambil melompat turun memecahkan siling rumah aku. Aku rilek saja teguk air sejuk tu sambil gosok-gosok pipi tanda sakit gigi. Gigi sensitif, tapi aku masih guna ubat gigi cap murni.

"Kau masih hebat lagi Ejen Din. Macam dulu." Sambil melangkah ke peti ais Ejen John berdialog. Dia ambil botol air sejuk dan di togoknya. Prang!! Gelas pecah berderai atas kepala Ejen John.

"Jangan togok boleh tak? Kau tak jawab lagi soalan aku." Aku tanya lagi dengan volume yang lebih tinggi sikit. Aku memang pantang orang minum togok-togok botol ni. Mak aku marah.

"Adoi! Sabau la!" Ujar Ejen John sambil mengelap kepalanya yang berdarah. Perlahan dia melangkah ke sofa sambil mengeluarkan satu envelop dari kocek belah dalam baju kot panjang kolar tingginya. Dia letak atas meja tamu depan aku.

"Misi baru. Misi Imposibel." Kata Ejen John. Lantas terus dia terjun keluar dari rumah aku tingkat 20 ni dengan memecahkan cermin tingkapnya. Tak pasal-pasal aku kena claim ganti rugi kat ibu pejabat lagi. Penat dah aku melayan karenah birokrasi.

"Dia ni pun tak reti-reti guna pintu." Kata aku dalam hati.

(Sambung)

Catatan Popular