Ahad, 24 Oktober 2010

Dimana Kebahagiaan

Kisah ini berkisar tentang empat remaja yang ingin mengecapi kebahagiaan dengan mengambil tindakan mencari kebahagiaan di setiap ceruk pelosok tanah ini. Dengan bertemankan kereta jenama tempatan yang menanti masa rebah musnah dimamah keuzuran, mereka berempat mengagahkan semangat hati demi satu matlamat, mencari kebahagiaan hakiki.

Mat rempit kata mereka bahagia ketika mengambil lap baring dua tiga round dengan dagu cecah ke jalan di roundabout dalam bandaraya. Empat remaja tersebut tanpa ragu mempraktikkan teori kebahagiaan mat rempit tersebut dengan mengambil lap baring dua tiga round dengan dagu cecah ke jalan di roundabout dalam bandaraya. Namun begitu hasilnya tidaklah kenampakan dan mereka menyesal kerana mendengar kata dusta mat rempit tersebut lantas menyumbatkan helmet kedalam saluran percernaan beliau.

Si obes kata mereka bahagia bila dapat mencuba makanan baru yang sangat rare di bumi ini. Empat remaja tersebut sedikit ragu mempraktikkan teori kebahagiaan si obes dengan mencuba kepelbagaian makanan baru seperti milo ais limau, roti nan berbentuk daging, juga roti bersalut kiwi kasut. Namun begitu hasilnya tidaklah kenampakan dan mereka menyesal kerana mendengar kata dusta si obes lantas mengheret beliau pada di belakang kereta jenama tempatan uzur mereka itu pada kelajuan empat ratus kilometer sejam.

Sang materialis pula kata bahagia mereka hadir bila mereka dapat habiskan duit yang mereka cari berpayah-payah disiang harinya dengan berpoyapoya mabukmabuk dimalam harinya. Empat remaja tersebut dengan ragugaru mempraktikkan teori kebahagiaan sang materialis itu dengan menuju ke pusat mabuk di tengah kota. Keterseksaan yang mereka nampak di luar pusat mabuk tersebut telah membantutkan niat mereka dengan serta merta mereka mendapatkan sang materialis lantas direndam kepalanya kedalam akuarium yang penuh dengan predator air seperti pirana tirana, jerung terung, maupun krokodil kokodil.

Di akhir ekspidisi pencarian mereka, mereka sedar. Kebahagiaan yang mereka cari sering bersama mereka. Barulah tersedar akan mereka tentang nilai persahabatan, nilai kekeluargaan juga nilai kasih sayanglah yang memberi kebahagiaan pada jiwa manusia yang tak pernah cukup ini.

"Apa yang penting?" (Wonderpet, 2009)

Rabu, 20 Oktober 2010

Kajian Bahasa: Peribahasa

Bila kucing tiada gigi, tikus berani melompat tinggi

Merujuk pada peribahasa diatas, ingin saya nyatakan kesahihannya melalui kajian-kajian yang telah saya lakukan bertempat di kawasan sasar saya, dimana kadar penempatan kucing disitu adalah seimbang dengan tikus. Seperti mana yang kalian sedia maklum, jika belum maklum biar saya maklumkan disini, kucing dan tikus tak boleh bertemu. Mereka seperti pasangan kekasih yang telah berpisah kerana perhubungan sulit yang dilakukan oleh sang boifren sehingga menyebabkan peperangan berlaku jika mereka bertemu. Atau analogi yang lebih mudah, penyokong bola sepak Selangor dan Kelantan.

Saya telah mengumpul rekod dengan menjalankan intebiu keatas beberapa makhluk yang terlibat.

Encik Azman, menceritakan kisah tikus yang bermain lompat tinggi dikatilnya ketika kucingnya sedang ke klinik gigi untuk memasang pendakap gigi.

"Saya mencuci baju pada tika itu, bini saya sedang bebel bebel. Tiba-tiba kedengaran bunyi riuh gemuruh dalam bilik tidur saya." Kata Encik Azman menceritakan perihal tikus yang berani melompat tinggi bila kucingnya tiada.

Si Comot, kucing comot bertompok oren, hitam dan biru ini juga sempat menceritakan pengalamannya selepas beliau mencabut giginya yang sensitip dek kerna terlalu kerap makan aiskrim dan minum minuman berkarbonat.

"Suatu malam, kat jalan sempit sana tu. Ada seekor tikus ini mengejek saya sambil menjilat-jilat aiskrim padelpop di tangan kirinya. Marah sungguh saya melihatkan tikus itu makan guna tangan kiri." Kata Si Comot sambil tangannya menunjukkan kearah jalan sempit sebelah kedai mamak itu.

Kesimpulannya, sepandai-pandai tupai melompat. Lagi pandai tikus melompat bila jumpa kucing tak ada gigi.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Kembali Pada Yang Hakiki


Hati aku tak pernah tegar
Dan daya aku adalah sefrajail kaca
Lihatlah kesedihan aku sesat tak menemukan arah
Dalam satu kejadian, aku menemukan keindahan
Di sanalah aku menemukan Tuhan

Khamis, 14 Oktober 2010

Bersatu: Menjana Transformers

Atuk kencing berdiri.
Ayah kencing berlari.
Anak kencing menari.
Cucu mengencing orang.

Semua hancing.

..............................................................

Dunia hanya akan aman bila Megatron dan Autobots bersatu, berkerjasama sebagaimana berkerjasamanya geng Wonderpets, dalam menyelamatkan mereka yang tertindas, ini serius.

Pencapaian diutamakan.