Selasa, 25 September 2012

Sedar

Jiwa manusia ni terlalu dambakan material yang indah pada pandangan mata. Walau pada akalnya kita menolak nilai meninggikan aspek material dalam hidup yang bertentangan dengan nilai-nilai murni yang masyarakat mahukan. Tetapi kita ni manusia, dalam hati Tuhan dah beri, satu fitrah yang datangnya sepakej dengan nafsu.

Kita nak jadi kaya, nak jadi cantik, nak berpangkat, nak orang tengok kita dan kata, "Wah, hebat rumah kau dah macam Sunway Pyramid aku tengok" atau " Wah, dahsyat kereta kau, bila kau masuk Formula 1 ni?" atau "Wah tinggi pangkat kau, beli kayu golf ni lepas ni memang tak main futsal dengan aku dah" atau "Wah cantik bini kau bawa balik dari thailand ni, dah macam jantan aku tengok" atau sebagainya.

Tetapi perkara-perkara seperti tu hanya sesuai dikatakan pada orang-orang yang mak bapak mereka dato' dato', bukannya datuk yang bercucu tu seperti Boboi Boy dan atuknya si tauke kedai coklat tu, atau pada orang-orang yang berkerja dari siang hingga siang yang seterusnya dan sambung terus kerja hingga siang seterusnya dan seterusnya, atau pada orang selalu belanja orang kaya makan dan menjadikan mereka lebih kaya dengan memberi duit  pun kena lalu bawah meja, atau orang-orang yang seangkatan dengannya.

Kita sebagai manusia yang biasa-biasa perlulah mengukur baju di badan sendiri kerana jika kita ukur di badan orang lain maka jadinya kita akan berpakaian seperti remaja hiphop ataupun seperti anak gadis yang tersilap pakai baju adiknya di bazaar ramadhan. Tak perlulah kita cuba-cuba meletakkan diri kita dalam kasut mereka kerana sudah pastinya tak akan muat melainkan mereka mempunyai kaki sebesar pintu rumah. Sekian.

Ahad, 23 September 2012

Hilang

Terkadang kau rasa di depan kau hanya ada masa-masa cerah sahaja. Tidak pun begitu, pasti sentiasa kau harapkan di depan kau hanya yang cerah-cerah belaka. Biar ditanam benih yakin dalam hati kau, agar kau percaya yang tiada apa yang akan dapat tolak kau jatuh dari tempat yang kau tegak berdiri.

Tapi, tapi jauh dalam sudut gelap jiwa itu. Kau takut. Ya, takut akan ketidakpastian, pada masa depan, pada apa yang kau akan jadi. Takut, kau takut pada apa yang kau tak tahu, apa yang kau tak tahu akan berlaku. Kau takut pada hakikatnya, yang kau tak tahu akan segala itu.

Jadi, jadi kau hantar jiwa kau mengembara. Pada masa silam yang lama kau pendam, kau mengembara. Mencari cebisan-cebisan memori yang berkata jelas tentang apa maksud hidup kau, Manusia.

......................................................................................................

Manusia, kita lupa. Hilang, entah dimana.
Harapnya, akan berjumpa semula sebelum jam dunia kau kehabisan baterinya.