Selasa, 12 November 2013

Intisari Rancangan

Pagi hari berdakwah beri ilmu penuh agama.
Siang hari diisi kartun dan sinetron segala.
Menjelang senja giliran melayu kita nak berdrama.
Buletin malam cerita macam-macam malapetaka.
Tengah malam ditayang lurah dada Rosalinda.

Alahai dunia.

Isnin, 11 November 2013

Malam Ahad: Epifani Menjelang Pagi Isnin

Sebelah papan kekunci komputer riba aku terbaring makhluk berbulu comel dengan perut gemuk berlemak. Sambil berpura-purakan dirinya sebuah bantal empuk. Disebalik dinding batu ini kedengaran bunyian enjin memacu piston mengentutkan suara pada ekzosnya, disetiap milimeter maju tayar kedepan aku dapat rasa takungan petrol dalam tangkinya berkurang setitik. Itu disebelah dinding, apa ceritanya disebelah dunia sana? Mungkin ada gadis genit comel bersayap pari-pari yang gigih bermain jarum dan benang mencipta karya, atau seekor penguin yang meluncur ombak berlapikkan kepingan ais nipis perisa strawberi, atau segerombolan pemuja iblis merah sedang berperang bahasa dan upaya dengan pemuja meriam besi.

Jadi, aku disini. Menghirup kopi pahit sambil mengharap. Mengharap agar segala berjalan seperti yang aku ingini, seperti yang dirancang isi hati. Mengharap esok hari cerah dengan mendung berawan separa hangat bersuhukan 28' darjah celcius, tugasan kerja mudah tanpa lambakan tugas tapi cukup mengisi waktu bertugas agar aku tak mati kebosanan ke pejabat tanpa berkat, pasukan bola sepak kegemaran menang besar lantas membangkitkan nafsu mereka untuk mara ke minggu seterusnya dengan set minda sang juara, rancangan aku dan dia berjalan seperti yang aku dan dia mahukan lantas segala berlangsung smooth sesmooth kulit bayi, duit not RM100 digulung berikat getah dengan 10 keping setiap ikat bergolek-golek datang sehingga menenggelamkan kaki aku keparas lutut.

Namun malangnya.

Selasa, 22 Oktober 2013

Aqal & Ketetapan

Berakarkan aqal berpohonkan fikiran.
Teguhlah fikiran bercabangkan pilihan.
Dihujung pilihan wujudlah ketetapan.

Ketetapan, ketika roh belum berbadan, sudah ditetapkan.
Tetaplah ia penuh berpaksi hendaknya Tuhan.

Percayalah insan, akan segala ketentuan.
Kerana sebaik-baik perancangan.
Adalah milik Tuhan.


"Beriman dengan zat dan sifatNya, bukan sekadar kalimahNya"




Khamis, 17 Oktober 2013

Mencari

Mencari,
Mana redha Ilahi,
Makna hidup insani,
Segala janjiNya yang dijanji,
Gapai damainya bangsa pertiwi,
Bahagianya cinta dan sanak famili,

Sebelum jam hayatmu kehabisan bateri.
------------------------------------------------------------------

Kanan kiri
kau pilihlah sendiri
guna aqal diberi
bukan hanya membuta tuli
atau ikut sedapnya hati
demi memburu segala dijanji
sedari alam Luh Mahfuz lagi
dengan berharap selama ini
langkah jejak kau di redha Ilahi

Ahad, 22 September 2013

Alif Ba Ta

photo: aizuddin | edit: adeq


Langkah berdiri tegak kau atas muka bumi Allah,
Berdiri demi menegak haq menjatuh yang salah,
Bangkitlah berjuang berlandas atas qalam dan kalimah.

Isikan dalam hati, iman dan jati diri.
Bersihkan lagi dari barah berduri, dari kotor berdaki.

Alif Ba Ta,
Permulaan kalimah.
Permulaan kisah,
Perjuangan ummah.

Alif, agamamu.
Ba, bangsamu.
Ta, Tanah airmu.

dengar: Ramli Sarip, Tuhan Yang Tahu & BahasaTerindah | Malique ft. Jamal Abdillah, Aku Maafkan Kamu | MonoloQue, Batu Belah Batu Konkrit | Hujan, Rumah Kita

Rabu, 18 September 2013

Sabarkan Jelah Banyak-Banyak

Yang lapuk digilapkan, jangan biar habuk bersarang. Rumah biar berkitab, jemput malaikat datang menetap. Hias dinding bersama cahya berkat, biar yang hitam jauh nak lekat. Beradu atas tilam kalimah, berpupuk iman di dada tak lemah. Ujian datang badai menggempar, urutlah dada engkau bersabar.

-----------------------------------------------------------------------------

Satu malam, aku balik kerja. Usai isyak, aku lapar. Aku cakap pada emak.

"Mak, laparlah"

Mak jawab.

"03 8000 8000 sedia membantu, ey ey!"

Barulah aku mengenali erti kesabaran yang hakiki. Sabarkan ajelah banyak-banyak.

Selasa, 17 September 2013

Rezeki: Pada Yang Hak Dan Definisi

Rezeki,
Bukan pada helaian not.
Bukan pada kilauan logam.
Bukan pada angka maya.
Bukan pada maal semata.
Bukan saja.
Bukan.

Rezeki,
Pada definisi,
Apa saja yang beri manfaat pada diri,
Walau ia kanan ataupun kiri,
Mana yang buat engkau berdiri,
Nafas yang kau hirup sehari,
Yang penuhnya perut dan hati,
Senyum di pemberian anak isteri,
Sokong dokongnya kaum famili,
Jiran-jiran yang punya pekerti,
Ilmu ukhrawi maupun duniawi,
Lubuk dagang yang disenangi,
Dan lagi,
Dan lagi,

Apa saja yang beri manfaat pada diri.

Rezeki,
Hak hakiki sang Pemberi.

Sumber: Mudahnya Menjemput Rezeki, Fathuri Sallehuddin

Ahad, 15 September 2013

13 September

Genap, bertambah setahun.
Selangkah lagi, aku ke depan.
Sekian ini, aku menghampir.
Adakah layak, aku bertemu.
Dengan zat Mu, Sang Pencipta.

Di hujung mata, aku memandang.
Pada yang silam, aku berkira.
Adakah catatanku ini, yang terbaik.
Mampukah aku, menjadi yang lebih.
Pada hemat Mu, Pengampun dosa.

Di detik ini
Berkata hati
Adakah tercapai
Segala di impi

Begitu pun disitu
Bersujud aku
Menjulang syukur
Aku pada Mu

nota kecil: sepatutnya saya lahir 31 Ogos

Selasa, 3 September 2013

Kembali Pada Asas

Kita sering dihadapkan dengan masalah, isu, rintangan jua cabaran yang menjadi aral yang melintang ditengah jalan, dan kita sering tertanya-tanya kenapa yang melintang itu adalah aral, bukanlah seorang awek atau pakwe cun yang sedang berjemur di bawah matahari, atau emas yang berkilau-kilau, atau teddy bear gergasi, kenapa?

Tetapi kita lupa untuk bertanya soalan yang lebih penting. Bagaimana kita hendak melintasi aral tersebut. Itu lebih penting.

Balik kepada asas penyelesaian masalah. Penyelesaian masalah memerlukan pemikiran yang analitikal serta kritikal. Teknik paling mudah adalah dengan try and error. Dimana memerlukan logika otak kita untuk menganalisis setiap salah yang kita temui. Dan terus mencuba sehingga kita temui jawapannya. Logiknya bila difikirkan bila kita sering salah walau telah berulang kali menukar pemboleh ubah, maknanya punca penyebabnya besar kemungkinan adalah yang malar.

Contoh teknikalnya, jika komputer anda menghadapi masalah, dan tetap begitu walau anda telah menukar atau membaiki RAM, power supply, cooler, graphic card dan sebagainya. Bermakna permaslahatannya bermula pada objek yang malar, motherboard misalnya.

Seperti contoh, jika seorang awek telah bercinta dengan tujuh belas jejaka yang berlainan yang berbeza paras rupa, latar belakang, keimanan, panjang bulu kaki dan sebagainya. Namun malangnya setiap lelaki tersebut telah berlaku curang padanya. Inferensnya bukanlah semua lelaki adalah sama, walhal punca masalah adalah awek tersebut yang malar. 

Begitu jua jika anda mempunyai masalah di tempat kerja, namun sering mengalami masalah walau telah menukar kerja sebanyak tiga puluh sembilan kali di syarikat yang berlainan latar, ekonomi, perniagaan, susunan meja, makcik cleaner dan sebagainya. Lihat apa persamaan dari masalah-masalah tersebut, persamaan paling jelas adalah anda.

Sekian mohon ampun.

nota kecil: masalah kenaikan harga petrol?
  

Selasa, 27 Ogos 2013

Sabarkan Ajelah Lagi

Peralihan angin macam ini buat aku penat. Buat aku sedar bahwa aku tak semuda dulu lagi. Bercampur gaul dengan rakan-rakan baru yang tak sebaya lebih usianya sajalah buat aku rasa muda. Hari-hari rutinnya begini, keluar pagihari, pulang dinihari. Penat bukan saja di tangan kaki, tapi jua pada mentaliti. Tapi aku ikhlaskan hati, demi mencari rezeki Ilahi.

Balik rumah jumpa mak, buka kasut, bagi salam.

Salam mak jawab, lepas tu mak tanya. "Macam mana kerja hari ni?"
Sambil tu mata mak tengok tivi.

Aku hulur tangan salam mak, mak sambut dengan fokus matanya tak lari. Aku cium mak punya pipi, aku jawab. "Ok mak."

Aku labuhkan punggung disebelah mak melayan drama tivi bersiri, tak habis-habis lagi dengan cinta terhalangnya tu. Biarlah. Aku buka mulut. "Mak, hari ni abang dapat bos baru, dari Hungary"

Mak jawab "Kau bagilah dia makan"

Aku cakap "Apa kena mengena pulak mak?"

"Dah kata dia hungry, bagilah makan. Ehekhekhek" Mak jawab selamba sambil gelak nakal.

Orang kata kita bila meningkat usia ni makin bertambah tahap kesabarannya, ye dok? Sabarkan ajelah.

"Tengok bunga ni sama dengan baju mak kan?"

Isnin, 26 Ogos 2013

Kenapa Garang Sangat?

Hujung dada rasa pedih, salur tekak rasa kering, di anak tekak seperti ada kewujudan si pari-pari nakal mencucuk-cucuknya menggunakan garfu mini. Dari paru-paru menghembus satu buih, berisi perit, pedih dan jerih. Bagai menarik segala urat berurat bersamanya tika mengalir keluar dari rongga trakea selepas ditendang keluar oleh diafragma. Sepantas superbike Ninja ia sampai ke pagar gigi. Uhuk!!
Sekurang-kurangnya itulah apa yang aku bayang dia rasa, aku rasalah.

Suara comel dah tak ada, tapi oklah. Ada sikit-sikit bunyi macam Ella si ratu rock negara.

Bila suara dah tak ada, buat apa pun rasa tak kena. Pantang ada silap, membulat terus matanya. Makan pun tak ada selera. Silap-silap aku pula dicakarnya.

"Kenapa garang sangat ni?" Aku tanya.

"Rawrrr" Dia kata.

"Garangnya, tapi kiut" Aku senyum sahaja.

Sabtu, 17 Ogos 2013

Saya Sangat Comel

Miow, kehadapan makhluk manusia sekalian alam. Berlututlah kalian keatas kecomelan daku. Kehkehkeh. Pacan comey plok kitew. Tuan kitew gi datim, terlupa tutup lappy dier. Dikesempatan ini kitew ingin mengucapkan selamat hari rayew :) Meowhahahhahaha.

"Pebende? Ada aku kesah?"

Jumaat, 16 Ogos 2013

Obsesi

Obsesi aku, pada kamu.
Meniup resah, rasa gelisah.
Pada hemat itu, ku tahu, mana yang salah.
Dihening ini ku hulur maaf, biar berlalu segala amarah.

Obsesi aku, pada kamu.
Memberi rasa, mencari bahagia.
Supaya aku jadi jejaka, memancar karisma.
Punya wibawa, untuk bawa, kita ke syurga.

Izinkan aku, dan obsesi ini.
Membawa kita, selangkah lagi.
Moga dengan, izin Ilahi.
Cinta ini, terus bersemi.

--------------------------------------------------------------------

Berlatar deru ombak menghadap lautan.
Berlantai pasir bersandar di pohonan.
Berteduh cinta di bayangan kenangan.

Lagu latar : Chinta by MonoloQue

Sabtu, 20 Julai 2013

Sabarkan Ajelah

Memang kecil-kecil dulu mak aku suruh aku jadi anak soleh. Aku pelik, aku kata, "Mak, tapi saya ni anak Jaafar?". Mak aku pandang aku kecil besar kecil besar je. Memandangkan masa dulu aku comel lagi, mak aku sabarkan ajelah. Walau bagaimana pun, kini aku dah besar, lagi tinggi dari mak. Giliran aku pula nak berjasa dengan mak.

Kadang-kadang aku tolong mak dengan bisnes dadihnya. Tolong-tolonglah mana yang rajin. Kalau tak rajin aku bantai tolong tengok je, sambil terbongkang bersama kucing gemuk aku tu depan tivi. Kadang tu mak aku suruh tolong kirakan dadih yang dah susun dalam kotak polisterin tu, aku kira baris dan lajur je, kemudian aku darab, senang. Memandangkan masa sekolah rendah dulu aku tak habis belajar terus skip ke sekolah menengah, kemahiran sifir aku bolehlah dikatakan suam-suam kuku je begitu.

Aku tanya mak, "Mak, tujuh darab tiga darab tiga, berapa?"

Mak aku jawab, "Gwiyomi".

Terasa seperti diperkotak-katikkan, sambil kecil besar kecil besar mata aku geram pandang mak. Mak rilek je lari-lari anak ke dapur sambil memegang senduk sambil gelak ehekhekhekhek.Sabarkan ajelah.

Jumaat, 19 Julai 2013

Gangguan Malam

Malam ini sejuk dia lain macam. Tak ada hujan tapi angin bayu bertiup sayu. Bibit lirik Feminin menjadi lagu latar, "angin bayu membawa diriku, sepintas laluku terkenangkan mu". Dari sudut katil aku memandang luar jendela. Terkenangkan si dia, sepintas lalu. Macam lagu tu. Malam ini gelap dia lain macam. Aku rasa.

Aku baring atas katil, tangan bersilang kebelakang kepala aku buat bantal. Rasa bantal ni macam tak cukup tinggi. Tak cukup empuk. Aku pandang siling, siling tak pandang aku. Malas aku layan, aku katup mata. Sambil cuba-cuba melelapkan diri, umpama komputer mahu di shutdown, perlahan aku simpan semua memori hari ni, degup jantung aku perlahan masuk ke mode hibernasi, sehingga aku lelap sendiri. Dekat sebelah tak ada bini lagi.

.............................................................................................................

PRANGGG!!

Tersentak. Aku terjaga. Guruh, kuat gila. Aku pejam mata semula.

Eeeeittt. Pintu bilik aku terbuka, memang aku tak tutup rapat, angin pun kuat. Aku cuba shutdown balik, macam tadi. 

Tetiba saja, Aku terasa macam ada entiti lain atas katil ni dengan aku. Aku dapat rasa jejak dia berdiri meninggal tapak pada spring tilam ni. Berjalan atas tilam menuju ke aku, hingga dia berjejak atas terlentangnya badan aku. Aku dapat rasa beratnya ke dada aku. Makhluk apa ini? Detik jantung aku, belajar dari filem-filem seram melayu, benda macam ni jangan dilayan. Jadi aku terus pejam berpura-pura tak sedar diri. Berhembus nafas busuk ke mukaku. Deramnya dengar di telinga aku. 

"Manusia, bangun. Bagi aku makan" kata makhluk tersebut.

Aku buat tak tahu. Dia hilang. Hingga aku rasa sakit dikaki kiri, seperti digigit-gigit. Aku tarik. Kaki kanan pula perginya. Aku tarik. Hilang dia. Aku buka mata kecil-kecil. Intai mana dia.

Di atas birai katil. Ada satu lembaga.

Guruh berdentum, Kilat memancar. Dari siluet cahaya sepintas itu aku nampak dia. Satu susuk berbulu gelap. Bergigi taring. Dengan kuku tajam. Berekor panjang. Dengan mata yang tajam. Dia berkata, "Hai manusia".

Aku gosok mata. Cuba dengar. Kali kedua. 

Dia berkata, "Meow". 

Rabu, 17 Julai 2013

Teori Kebenaran Pragmatik

Najib melihat jam tangannya menunjukkan pukul 10.43 a.m.
Sedangkan beliau perlu menghadiri temu duga pada pukul 9.00 a.m.
Maka padanya jam tangan beliau telah mendustai beliau.
Kerna pada pernyataan jam yang innosen itu,
sesungguhnya tidak memberi manfaat pada jalan hidup beliau.

Maka terus sajalah Najib dengan rutin kerjanya.
Selaku pengelola teknikal jentera kilang arak.
Maka pada hemat beliau kerjanya itu adalah benar.
Kerna pernyataan pada kerja yang itu,
sesungguhnya memberi manfaat pada jalan hidup beliau.




Khamis, 11 Julai 2013

Macam Mana Nak Kaya, Bro?

Menjelang usia begini, aku, hidup mengejarkan simbol. Simbol yang mana ia hanyalah kertas-kertas, besi-besi mineral, material-material yang nilainya diletakkan oleh manusia sendiri. Manusia yang sama, sama macam aku. Tak ada beza. Apa pun darjat, pangkat, kuasa, tetap manusia. Hidup berhirupkan oksigen yang sama. Macam aku. Macam kera dihutan. Atau zirafah di Afrika. Atau katak di sawah kampung, kecuali mereka menghirup guna kulit.

Ekspektasi komuniti.

Dek kerana pada mereka ada mandat dan cara, mereka mencipta kemahuan kita walhal kita tidak tahu yang kita mahu pada kemahuan itu. Segala media cara, institusi-institusi, warga korperat, warga politik dan seangkatan mereka meletakkan tangan kiri mereka pada muka kita memalitkan beban kemahuan yang mereka mahu kita mahukannya ketika tangan kanannya senyap menyeluk saku kita. Ini eksploitasi pada ekspektasi komuniti.

Usia dan fasanya.

Pernah satu fasa dalam hidup aku, aku rasa duit hanyalah material perantara sahaja. Pada nilainya ianya hanya untuk tukarkan ia pada sesuatu yang bukan engkau punya. Pemilikan. Sehingga aku hidup luar dari poket ibu bapa, aku rasa, orang-orang macam aku seperti dipaksa untuk memenuhi ekspektasi komuniti. Pendidikan, kawan, sijil, kerja, kereta, rumah, duit, isteri, harta segala dan cipta generasi untuk menyambung legasi ini supaya ia terus menjadi satu kitaran infiniti.

Macam mana ni, bro?

Adakah aku hidup hanya sekadar hidup. Hidup macamni? Adakah duit aku kerjakan hanya sekadar simbol? Simbol yang mana tanpa nilai hanyalah sekadar material kosong. Nak kaya? Pada definisinya kaya hanyalah pemilikan. Di ukur pada banyak mana pemilikan. Nilai material dan kemahuan untuk memiliki, bukan dari kita sendiri. Itulah asbab kita merasa tidak pernah cukup untuk mahukan itu ini. Jika pada mentalnya kita sendiri ciptakan nilai dan kemahuan itu, kita akan mampu berikan manfaat pada manusia lain, manusia yang kita cinta, tanpa kita rasa syak curiga, tanpa kita rasa kekurangan pada harta, tanpa kita rasa serba tak cukup, kerna pada kita, nilai dan kemahuan  itu sudah lebih dari apa yang kita idamkan. Kita perlu tukarkan definisi kaya itu kepada pemberian, yang diukur pada banyak mana pemberian tanpa rasa kekurangan.Selagi belum, selagi itu kita tak akan kaya.

Sekian.