Sabtu, 20 Julai 2013

Sabarkan Ajelah

Memang kecil-kecil dulu mak aku suruh aku jadi anak soleh. Aku pelik, aku kata, "Mak, tapi saya ni anak Jaafar?". Mak aku pandang aku kecil besar kecil besar je. Memandangkan masa dulu aku comel lagi, mak aku sabarkan ajelah. Walau bagaimana pun, kini aku dah besar, lagi tinggi dari mak. Giliran aku pula nak berjasa dengan mak.

Kadang-kadang aku tolong mak dengan bisnes dadihnya. Tolong-tolonglah mana yang rajin. Kalau tak rajin aku bantai tolong tengok je, sambil terbongkang bersama kucing gemuk aku tu depan tivi. Kadang tu mak aku suruh tolong kirakan dadih yang dah susun dalam kotak polisterin tu, aku kira baris dan lajur je, kemudian aku darab, senang. Memandangkan masa sekolah rendah dulu aku tak habis belajar terus skip ke sekolah menengah, kemahiran sifir aku bolehlah dikatakan suam-suam kuku je begitu.

Aku tanya mak, "Mak, tujuh darab tiga darab tiga, berapa?"

Mak aku jawab, "Gwiyomi".

Terasa seperti diperkotak-katikkan, sambil kecil besar kecil besar mata aku geram pandang mak. Mak rilek je lari-lari anak ke dapur sambil memegang senduk sambil gelak ehekhekhekhek.Sabarkan ajelah.

Jumaat, 19 Julai 2013

Gangguan Malam

Malam ini sejuk dia lain macam. Tak ada hujan tapi angin bayu bertiup sayu. Bibit lirik Feminin menjadi lagu latar, "angin bayu membawa diriku, sepintas laluku terkenangkan mu". Dari sudut katil aku memandang luar jendela. Terkenangkan si dia, sepintas lalu. Macam lagu tu. Malam ini gelap dia lain macam. Aku rasa.

Aku baring atas katil, tangan bersilang kebelakang kepala aku buat bantal. Rasa bantal ni macam tak cukup tinggi. Tak cukup empuk. Aku pandang siling, siling tak pandang aku. Malas aku layan, aku katup mata. Sambil cuba-cuba melelapkan diri, umpama komputer mahu di shutdown, perlahan aku simpan semua memori hari ni, degup jantung aku perlahan masuk ke mode hibernasi, sehingga aku lelap sendiri. Dekat sebelah tak ada bini lagi.

.............................................................................................................

PRANGGG!!

Tersentak. Aku terjaga. Guruh, kuat gila. Aku pejam mata semula.

Eeeeittt. Pintu bilik aku terbuka, memang aku tak tutup rapat, angin pun kuat. Aku cuba shutdown balik, macam tadi. 

Tetiba saja, Aku terasa macam ada entiti lain atas katil ni dengan aku. Aku dapat rasa jejak dia berdiri meninggal tapak pada spring tilam ni. Berjalan atas tilam menuju ke aku, hingga dia berjejak atas terlentangnya badan aku. Aku dapat rasa beratnya ke dada aku. Makhluk apa ini? Detik jantung aku, belajar dari filem-filem seram melayu, benda macam ni jangan dilayan. Jadi aku terus pejam berpura-pura tak sedar diri. Berhembus nafas busuk ke mukaku. Deramnya dengar di telinga aku. 

"Manusia, bangun. Bagi aku makan" kata makhluk tersebut.

Aku buat tak tahu. Dia hilang. Hingga aku rasa sakit dikaki kiri, seperti digigit-gigit. Aku tarik. Kaki kanan pula perginya. Aku tarik. Hilang dia. Aku buka mata kecil-kecil. Intai mana dia.

Di atas birai katil. Ada satu lembaga.

Guruh berdentum, Kilat memancar. Dari siluet cahaya sepintas itu aku nampak dia. Satu susuk berbulu gelap. Bergigi taring. Dengan kuku tajam. Berekor panjang. Dengan mata yang tajam. Dia berkata, "Hai manusia".

Aku gosok mata. Cuba dengar. Kali kedua. 

Dia berkata, "Meow". 

Rabu, 17 Julai 2013

Teori Kebenaran Pragmatik

Najib melihat jam tangannya menunjukkan pukul 10.43 a.m.
Sedangkan beliau perlu menghadiri temu duga pada pukul 9.00 a.m.
Maka padanya jam tangan beliau telah mendustai beliau.
Kerna pada pernyataan jam yang innosen itu,
sesungguhnya tidak memberi manfaat pada jalan hidup beliau.

Maka terus sajalah Najib dengan rutin kerjanya.
Selaku pengelola teknikal jentera kilang arak.
Maka pada hemat beliau kerjanya itu adalah benar.
Kerna pernyataan pada kerja yang itu,
sesungguhnya memberi manfaat pada jalan hidup beliau.




Khamis, 11 Julai 2013

Macam Mana Nak Kaya, Bro?

Menjelang usia begini, aku, hidup mengejarkan simbol. Simbol yang mana ia hanyalah kertas-kertas, besi-besi mineral, material-material yang nilainya diletakkan oleh manusia sendiri. Manusia yang sama, sama macam aku. Tak ada beza. Apa pun darjat, pangkat, kuasa, tetap manusia. Hidup berhirupkan oksigen yang sama. Macam aku. Macam kera dihutan. Atau zirafah di Afrika. Atau katak di sawah kampung, kecuali mereka menghirup guna kulit.

Ekspektasi komuniti.

Dek kerana pada mereka ada mandat dan cara, mereka mencipta kemahuan kita walhal kita tidak tahu yang kita mahu pada kemahuan itu. Segala media cara, institusi-institusi, warga korperat, warga politik dan seangkatan mereka meletakkan tangan kiri mereka pada muka kita memalitkan beban kemahuan yang mereka mahu kita mahukannya ketika tangan kanannya senyap menyeluk saku kita. Ini eksploitasi pada ekspektasi komuniti.

Usia dan fasanya.

Pernah satu fasa dalam hidup aku, aku rasa duit hanyalah material perantara sahaja. Pada nilainya ianya hanya untuk tukarkan ia pada sesuatu yang bukan engkau punya. Pemilikan. Sehingga aku hidup luar dari poket ibu bapa, aku rasa, orang-orang macam aku seperti dipaksa untuk memenuhi ekspektasi komuniti. Pendidikan, kawan, sijil, kerja, kereta, rumah, duit, isteri, harta segala dan cipta generasi untuk menyambung legasi ini supaya ia terus menjadi satu kitaran infiniti.

Macam mana ni, bro?

Adakah aku hidup hanya sekadar hidup. Hidup macamni? Adakah duit aku kerjakan hanya sekadar simbol? Simbol yang mana tanpa nilai hanyalah sekadar material kosong. Nak kaya? Pada definisinya kaya hanyalah pemilikan. Di ukur pada banyak mana pemilikan. Nilai material dan kemahuan untuk memiliki, bukan dari kita sendiri. Itulah asbab kita merasa tidak pernah cukup untuk mahukan itu ini. Jika pada mentalnya kita sendiri ciptakan nilai dan kemahuan itu, kita akan mampu berikan manfaat pada manusia lain, manusia yang kita cinta, tanpa kita rasa syak curiga, tanpa kita rasa kekurangan pada harta, tanpa kita rasa serba tak cukup, kerna pada kita, nilai dan kemahuan  itu sudah lebih dari apa yang kita idamkan. Kita perlu tukarkan definisi kaya itu kepada pemberian, yang diukur pada banyak mana pemberian tanpa rasa kekurangan.Selagi belum, selagi itu kita tak akan kaya.

Sekian.