Sabtu, 19 Disember 2015

Frozen (Versi Tempatan)

Di sebuah wilayah kayangan nun jauh dari hiruk-pikuk manusia, jauh dari sesak serdak-serdak dedebu kota. Wujudnya sebuah istana lama yang indah dipenuhi dengan kebahagiaan, pagar-pagarnya dihiasi bunga-bunga yang memancarkan bau-bau yang indah, bumbungnya berilhamkan reka bentuk unik Minangkabau, dengan tingkap-tingkap seperti dalam iklan Adabi.

Didalamnya berpenghunikan sebuah keluarga harmoni, Raja dan Permaisurinya, dan 2 anugerah terindah, Puteri Elisa dan Puteri Hannah. Kehidupan harian mereka berhiaskan rutin yang menggembirakan, seperti aktiviti berkelah di tepi highway, bermain polis sentri di tapak pembangunan, memancing ikan sepat secara berjemaah, membantu gelandangan dengan mengadakan kelas menjahit percuma, dan sebagainya.

Sementelah sekian lama begitu, konflik mula memerca tatkala Puteri Elisa mencecah umur 9 tahun, dimana dia tetiba (jeng jeng jeng) menjadi gadis pelik yang menguasai bakat yang luar biasa, yang amat berbeza dengan gadis-gadis yang sebaya dengannya. Raja dan Permaisuri mula resah dengan perubahan itu, resah gelisah akan busuk mulut-mulut orang, apa kata jiran-jiran nanti tatkala anak-anak gadis jiran ralit bermain teng teng, main pondok-pondok, khatam novel Suamiku Encik Gorila, mencecah level 700 dalam Candy Crush, bercinta mukabuku dengan pakcik pebet yang menyamar jadi abang idaman sekolah menengah, akan tetapi Puteri Elisa, seorang anak Raja, lain? Berbeda?

Ibu bapa masa kini mahukan anak-anak mereka berjaya, namun definisi kejayaan itu datang dari kamus rekaan mereka sendiri. Membesar "normal", menghafal buku-buku teks untuk mencetak A diatas transkrip-transkrip yang membuktikan kejayaan terjemahan "manusia normal". Dan membesar berkerjaya, terperangkap dibelakang monitor bersangkarkan pejabat, berkerja mengejar wang, cukup bulan bayar hutang. Bakat yang seperti Puteri Elisa ini, mereka kata tak akan kemana.

Selepas kian lama dibawakan Doktor, Pawang, Bomoh, Tok Kadi, Pakcik Mail Anti-rasuah, peragut rantai Wan Maimunah, namun tak seorang pun mampu menormalkan kembali Puteri Elisa, risaukan Puteri Elisa akan mempengaruhi Puteri mereka yang satu lagi, Raja dan Permaisuri membuat keputusan menghantar Puteri Elisa ke Kokdiang. Ya, ke Kokdiang, ke sebuah keluarga angkat di Kokdiang.

Maka terpisahlah Puteri Elisa dari kisah-kisah keluarga bahagianya, dari adiknya yang tercinta, Puteri Hannah.

Pun begitu, 12 tahun berselang.

Nama Puteri Elisa gah dikenali. Sering kali menjadi buah bualan orang ramai. Viral, hashtag #ElisaFrozen menjadi trend di tuwiter, pesbuk, insetagrem, blogger (jika masih wujud), dan lain-lain. Acapkali juga Puteri Elisa keluar menghiasi kaca television menjadi penaja-penaja rancangan realiti seperti Gegar Avanza, Akademi Fantasia Bulan Madu, Tanah Kubur dan juga Silauan Warga Emas.

Produk roti canai frozen cap Anak Raja, hasil keringat anak muda Kokdiang, Puteri Elisa kini menjadi kegilaan umat nusantara, dan mula mencipta nama di pasaran antarabangsa. Bakatnya membuat roti canai yang dulunya diperkotak-katikkan masyarakat umum kini menjadi tulang belakang buat kejayaan Puteri Elisa.

Sementara itu, Puteri Hannah sedang menyeberang ke Naratiwat untuk kahwin lari bersama jejaka pilihannya, Mujibur dari Bangladesh selepas bertelagah dengan Raja dan Permaisuri yang mahu mengahwinkannya dengan anak Tan Sri pemilik Maju Jaya Konon Holding, macam babak cliche drama melayu lain.

Sekian.

    

Selasa, 15 Disember 2015

Perempuan dan Dessert

Chef dalam tivi cakap: "Untuk buat dessert yang sedap, setiap gram perlu ditimbang betul"

........

Dessert, dan perempuan.
Manis.
Cantik.
Kompleks.

Dan,
Sangat sensitif pada tiap gram.




Catatan Popular