Selasa, 31 Mei 2011

Keretapi

Kepala aku masih berpinar menahankan terik mentari sebentarnya tadi menusuk ke tengkorakku memanggang setiap sel-sel otakku. Dari seberang kaca lutsinar ini aku memandangkan indahnya luar sana sambil dahiku menyandar selesa menahankan getar-getar bawakan reroda keretapi yang memalu landasannya. Setiap dari desingan bunyi yang membingit melintasi cecuping telingaku lantas ditangkapnya menjadi santapan dek gegendangku. Sesekali aku menoleh ke tempat duduk di seberang sana keretapi yang sebentar tadi aku tinggalkan. Jika ditanya disebabkan apa aku memilih untuk bertukar tempat duduk. Aku akan berkata. "Ini kata hati aku."

Rabu, 11 Mei 2011

Belenggu Rindu



Rantai-Rantai Belenggu, Lepaskan Aku!

Pantang lepa sang dia dari mata. Benak ini bagaikan menggempa mencari manakan gerangan sang dia berada. Resah gelisah bagai segalanya tidak kena. Di setiap sudut yang aku pandang bagai penuh dengan wajah sang dia yang aku cinta. Di setiap masa yang berhempas bagai mengukuhkan lagi rantai-rantai belenggu ini sehingga hendak bernafas pun tiada daya. Sakit dada menahan racau kacau degupan yang membentak kuat hingga kebas segala gegendang telinga. Di tiap tika minda melayang membayang detik-detik bersama penuh mesra. 

Bebaskan dari belenggu ini, hati ini mahu sang dia.





rindu

Sabtu, 7 Mei 2011

Metafora Di Pagi Saturday

Aku rasa detik jam bagai bergerak dalam gerak slow-motion membuatkan setiap kali jarum saat pada jam mahu bergerak bagai mahu mengembara ke lain benua. Jauhnya rasa. Oh!

Dari ruang tidur berbentuk segi empat yang bertiangkan besi kosong menampung beratnya aku selama masa yang bergerak seperti mana kura-kura yang mahu melancong ke benua antartika, aku berbaring merenung rasa-rasa yang semakin kosong semakin lamanya. Kejauhan ini buat aku rasa kosong. Bagai terasa seperti disedut berulang-ulang kalinya kedalam vorteks ruang masa yang tak punya apa-apa. Oh!

Aku renung ke langit terik di sebalik tingkap yang mendung. Apakah ceritanya dia disana. Setiap cebisan buat otak ini berdenyut tak keruan. Dada ini berdetak kuat bagai ada goblin kecil sedang menendang kuat dada ini untuk mencuri hati ini untuk dibawa lari jauh ke luar negeri. Oh!

Pagi ini pagi Saturday. Hari ini hari Saturday. Hari Saturday hari biasanya kami bersama. Gurau senda. Canda mesra. Luang masa. Kami bersama. Oh!