Memaparkan catatan dengan label Kisah Ringkas Imaginari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Ringkas Imaginari. Papar semua catatan

Rabu, 23 September 2026

Tahanan Rumah

Malam ni ada perlawanan bolasepak. Antara game terbesar dalam Liga Perdana, Macangster United vs Macangster City. Derby setempat yang berlangsung di Stadium Trapot Lama.

Pak Ajib teringin nak tengok di kedai mamak bersama-sama fans yang lain. Dah lama Pak Ajib tak merasa kemeriahan bola sepak di kedai mamak.

Lalu dia beranikan diri untuk tanya isterinya, Kak Mah.

“Kita beli beras,” bisik beliau pada diri sendiri.

“Mah, malam ni manjababy ingat nak kelua....”

“TAK BOLEH.”

Laju Kak Mah memotong.

Pak Ajib terus mengecut. Dia berlalu pergi menyambung tugasan melipat baju. Lepas ni nak kena cuci pinggan.

“Macam penjara,” bentak hati kecil Pak Ajib.

Kemudian dia teringat, sekurang-kurangnya penjara ini tak perlu bayar RM50 juta.

Jumaat, 18 September 2026

Bulan Henti Bicara

"Bila hati terasa rindu... Dongak ke langit. Bulan bicara.”

Itulah dialog puitis daripada Zulfa dan Afghan dalam drama popular Bulan Henti Bicara.
Sejak mendengar dialog itu, Rahim selalu buat perkara yang sama setiap kali terasa rindu.
Malam itu dia keluar ke halaman rumah. Dia mendongak. Tak nampak bulan. Jerebu.
Dia duduk di kerusi plastik sambil terus memandang langit. Lima minit kemudian, jirannya keluar.
“Rahim buat apa?”
“Tengok bulan.”
“Mana?”
"Tu kot" Rahim tunjuk ke atas.
Jirannya mendongak.
"Rahim.."
"Ye"
"Tu bendera Malaysia"
--------------------
Selamat Hari Malaysia (dalam jerebu)

Isnin, 24 Ogos 2026

Cuaca

6pm di suatu taman rekreasi dibandar Metropolintan, Clark Keng, seorang atlit kelihatan mengelap keringat di dahinya, bajunya lencun. Dia baru usai training larian. Dalam sebulan lagi, dia ada race, perlumbaan larian 1000m berganti-ganti dengan beruk sambil balut daun ketum, atau lebih kenali sebagai 'Hi-Ruk'. 

 "Panas betul Metropolintan ni" 

 Dia check apps "Weatherhel", suhu hari ni 36 darjah celsium di Metropolintan, dia swipe ke kiri. Di Gothem pula -2, "mak ai sejuk betul". 

Dibawah page tu ada butang "Transfer". 

Clark tekan. 

Clark transfer 15 darjah celsium dari Metropolitan ke Gothem. "Setel, semoga orang Gothem boleh tidur nyenyak tanpa dibalut macam popiah"

Jumaat, 31 Julai 2026

Cuti Sakit

 Razak bangun pagi seperti hari-hari yang biasa, kepalanya masih atas bantal, "aduh nak kena pergi kerja" fikir benaknya. Sambil tu otaknya ligat memikirkan alasan untuk tuang kerja hari ni. "Mungkin aku kata motor kena curi", atau "tolong kucing jiran beranak" atau "Cuti sakit". Cuti sakit adalah alasan paling reliable, Razak rasa. Tapi nak cakap apa kat doktor? Dia pun pergi ke klinik, Razak tak pandai menipu, jadi untuk berkata benar, dia cubit dada dia. "Nanti aku cakap la sakit dada, hihi" gelak Razak pada idea bernasnya. 

 --------------- 

 "Encik, saya terpaksa admit encik ke wad ni" Ujar Doktor Vikram, serius 

 "Masuk wad?" Terpinga Razak 

 "Ya, kondisi Encik ni serius sangat ni, hati Encik dah hilang" 

 "Hilang?" Mulut Razak ternganga sikit 

 "Sekarang ada Gnome yang ganti, dia yang pam darah guna pam kecil, macam pam basikal tu dalam badan Encik." 

 "Gnome?" 

 "Ya, Gnome"

 ----------------- 

Di satu ceruk dunia yang lain, daerah Waikato yang dingin oleh angin dipenghujung winter. Di atas meja study rumah apartment dua tingkat yang sederhana, kelihatan tas tangan kulit berwarna coklat seperti sedang berdegup perlahan dan tenang.

Sabtu, 15 Februari 2025

Jam Tangan Yang Hilang

Dia dah hilang. Jam tangan yang aku namakan Bob. Bob ni lah dulu yang mengendong masa-masa aku. Masa-masa aku bergelaktawa bersama keluarga selepas habis diner sambil menonton cerita drama entah apa-apa. Masa-masa aku berguraucanda bersama rakan-rakan tatkala karaoke nyanyi lagu yang buat jiwa-jiwa kita rasa muda. Masa-masa aku berkasihmesyera bersama sang cinta yang utama hingga buat kaki tak rasa cecah dek dunia.

Dah tak ada. Dah hilang. Hilang. Entah ke mana. Bob dah hilang. Bersama masa-masa punya aku yang dikendongnya.

Jadi aku sudah tak ada masa. 

Jumaat, 29 November 2024

Nasi Goreng Pattaya

Hujan malam ini tidak henti-henti dari pagi. Mungkin air akan naik dan banjir disesetengah kawasan, bisik hati aku. Tapi selari dengan hujan ini ia membawa kesejukan bersamanya, bersama kesejukan juga datang kelaparan. Atas dasar rasa kelaparan ini aku singgah ke kedai tom yam yang dipilih secara random bersama rakan-rakan sekerja aku.

Ada yang order nasi dengan sup ekor, ada yang order nasi goreng paprik, ada yang order telur bistik, ayam kunyit. Aku? Aku pilih untuk order Nasi goreng Pattaya. "Ok" kata waiter kedai tomyam tu. Dari percakapan dan gaya waiter ini nampak seperti anak muda melayu dari pantai timur, atau mungkin dari selatan Thai. 

Sesampai makanan satu per satu, rakan-rakan semua makan dengan nikmatnya, makanan panas ala-Thai di kala kesejukan dan kebasahan hujan malam memang tersangat nikmat. Makanan aku yang terakhir sampai.

Waiter letak makanan atas meja, aku tanya "Ini apa ya?"
Dia jawab, "Nasi goreng petai"

Aku gelak dulu, terpinga-pinga waiter tersebut. "Saya order Nasi goreng Pattaya, bukan nasi goreng petai ya"

Maka kami pun bergelaklah secara berjemaah.

Aku terus je makan, malam pun berlalu seperti biasa

Rabu, 24 Januari 2024

Cloud Scammer

 Perjalanan balik dari ofis ke rumah aku mengambil jarak sejauh kurang lebih 20-30 km. Bergantung pada trafik dan untung nasib di lampu isyarat, ia boleh mengambil masa dari 20 minit hingga ke 1 jam lebih dengan menaiki motorsikal.

Penunggang motorsikal tegar macam aku ni perlulah peka dengan peredaran cuaca, apa tanda-tanda nak hujan, panas, ribut, petir dan sebagainya.

Hari tu, aku bawa motor dengan tenang sebab cuaca cerah secerah-cerahnya. Awan di langit memutih dan dalam kelompokan yang kecil, bertaburan dilangit biru. Matahari petang mula mendekati ufuk barat. Kanak-kanak berkejar-kejaran di taman permainan. Burung-burung berkicauan.

Sepanjang perjalanan cuaca sungguh baik, sehinggalah tiba dipersimpangan rumah aku, 500 meter lagi aku akan sampai, rumah aku sudah pun dalam pandangan. Tiba-tiba.. HUJAN.

Hujan lebat selebat-lebatnya. Aku kena scam bro.

Adakah ini yang dikatakan cloud scammer?


Isnin, 10 Ogos 2020

Angin Hitam

Sementelah setahun berlalu, kontang langsung bumi yang suatu ketika dahulu hijau lagi mendamaikan. Sejak bertiup angin hitam yang menyinggah lantas membunuh hidupan-hidupan dengan perlahan-lahan. Kini yang masih bertahan cumalah hidupan yang punya daya tahan dan imunisasi yang kuat sahaja, "survival of the fittest". 

Di tanah tandus ini, tinggal cuma seorang lelaki. Menjalani hidup sehari-hari berseorangan bertemankan cuma lagu Akon - Lonely. Selepas setahun beliau berdepan dengan kematian dan angin hitam yang menyelubungi seluruh pelusuk Bumi. 

---------------------

Setahun lalu, Azmir adalah seorang pegawai eksekutif pemasaran di syarikat pembekal makanan. Seperti lelaki biasa, beliau menjalani hidup normal bersama isterinya, Julia dan dua orang anaknya, Marisa dan Amir. Sedari pulang beliau dari pejabat, Azmir singgah sebentar di gerai Nasi Kandar Salman untuk membeli bekal makanan buat mereka sekeluarga, mengetahui Julia pasti letih pulang dari kerja dan tidak larat untuk memasak. Julia bekerja sebagai kerani di pejabat guaman di ibu negara, dan beliau perlu menempuhi kesesakan lalu lintas selama sejam untuk pergi dan balik ke tempat kerjanya.

"Anney, bungkus nasi kandar lauk ayam 3, kuah kasi asing ya, satu letak sayur" Ujar Azmir kepada pekerja gerai setibanya beliau di gerai Nasi Kandar Salman. Pekerja gerai berbangsa India itu cuma mengangguk kepala tanda faham.

Selepas beberapa ketika "Siap, bayar sana bos", pekerja tadi menghulurkan plastik berbungkus nasi dan lauk sambil mulutnya menjuih kearah majikannya, lelaki gempal bermisai tebal di meja bayaran. "Thank you" Azmir menyambut dan terus kemeja bayaran, dihulurnya beberapa helai not wang kertas bertukar tangan selepas menyatakan pembelian beliau.

Kemudian beliau berlalu keluar dari kedai, sebaik sahaja melangkah keluar. Azmir disapa pakcik berjanggut dan berserban meminta sedekah, sambil menghulurkan tisu dan muka yang teramat kasihan. Dek rasa belas dihati, Azmir menghulur sehelai not RM5 buat pakcik tadi dan berlalu memasuki keretanya.

Dari dalam kereta dia memerhati pakcik tadi menegur beberapa lagi orang pelanggan kedai. Entah sudah berapa ramai manusia sudah pakcik itu menagih simpati. Bentak hati Azmir, lalu beliau meneruskan perjalananan. 

Sebelum tiba dirumah, Azmir sempat berhenti mengisi minyak di petrol pam bersebelahan masjid. Teringat pula beliau belum menunaikan solat Asar, lalu beliau pun singgah di masjid. Sempat juga beramah mesra dengan tok imam, bilal dan beberapa kariah masjid yang baru selesai menyempurnakan solat jenazah arwah Ustaz Zali, yang meninggal mengejut kerana sesak nafas awal pagi tadi.

Seusai solat, Azmir bergerak menuju ke sekolah untuk mengambil dua orang anaknya yang tercinta. Ketika dipintu sekolah beliau terserempak dengan cikgu anaknya yang dihadapan pintu sekolah. Cikgu Arifin mesra orangnya, beliau juga sangat berdedikasi mendidik anak bangsa untuk berjaya. Selepas beberapa ketika berborak pendek, Marisa dan Amir pun tiba lantas Azmir pun meminta diri untuk pulang pada Cikgu Arifin.  

"Marisa belajar apa hari ni?" soal Azmir pada anaknya, "Hmmm.." panjang Marisa berfikir, belum sempat Marisa menjawab, adiknya Amir pula mencelah "Amir belajar kira-kira, melukis, blah blah" Marisa cuma mencebik bibir comelnya membiarkan adiknya membebel. Azmir cuba tersenyum sambil memandu pulang.

Tiba saja mereka kerumah, Amir dan Marisa terus terjelepuk diatas sofa sambil tangan kecil Amir menekan-nekan butang alat kawalan televisyen. "Marisa, Amir, pergi mandi tukar baju, nanti mama balik kang mama marah" ujar Azmir kepada anak-anaknya sambil meletak beg kerja dan bungkusan nasi kandar di meja makan. Kedua-dua anaknya cuma berlakon longlai seperti tulang-tulang mereka memberat menjadi besi, Azmir cuma tersenyum melihat telatah anak-anaknya.

Tiba-tiba kedengaran enjin kereta Julia tiba didepan rumah. "Ha, siaplah korang" sergah Azmir pada anak beliau, tapi tak diendahkan mereka, malah berkejaran dua beradik tadi mendapatkan ibu mereka.
Beberapa ketika kemudian Julia masuk kerumah disambut suami tercintanya dengan salam, cium, dan pelukan kasih. "Penat?" soal Azmir, Julia mengangguk longlai.

"Aah, esok kena ke mahkamah, kena teman Dato' Syafiqi, ada kes besar" Julia mengadu pada suaminya. "Patutlah nampak stress je muka, meh abang urut" Azmir mengusik. "Gatal" ujar Julia sambil mencubit manja suaminya.

--------------------------

Dan begitulah berlalu hari normal terakhir yang Azmir ingati. Seterusnya, cuma angin hitam mencorak sejarah berhembus. 


Isnin, 6 Mac 2017

Lily Yang Terperangkap dan Basikal Baru Daniel

[ini kisah imaginasi semata]

Lily, amoi kenit molek yang berkerja disyarikat swasta, sebuah syarikat kecil perusahaan solusi IT. Baru sahaja graduasi dalam ijazah sarjana muda perkomputeran. Selaku orang dalam dunia pekerjaan ini Lily baru saja dalam proses perkenalan dengan realiti dunia yang kejam ini. Tersedak cita-citanya yang dulu nak kan rumah cantik, kereta power, petrol percuma, bangun tidur lewat jam 10pagi, rakan-rakan yang bersumpah kita buddyz selamanya. Perlahan-lahan dia telan dan berhenti seketika, dan percayakan dirinya yang semua tak semudah disangka. Suatu hari nanti, mungkin suatu hari nanti.

Lily rasa terperangkap dalam alam kedewasaan, segala tanggungjawab ini dia rasa membebankan, dan dia berharap agar menjadi budak kembali.

Daniel hari ini genap umurnya 13 tahun. Baru sahaja 2 bulan sudah beliau mula menjejak kaki ke sekolah menengah, belum pun puas beliau menikmati zaman abang-abang disekolah rendah, dah terperosok menjadi junior kembali. UPSR tempoh hari pun sedang-sedang sahaja, tak dapatlah beliau masuk ke sekolah "elit" sikit. Memandangkan ayahnya semakin sibuk nak ke pejabat lagi, nak hantar adik-adik beliau lagi, jadi ayahnya membelikan beliau sebuah basikal. Basikal biru. Walaupun begitu, Ayah tidak izinkan Daniel menyertai rakan sebayanya bermain basikal keliling kota di tengah malam hari.

Daniel rasa terperangkap dan jiwa mudanya memberontak mahukan kebebasan, dan dia berharap untuk menjadi dewasa serta merta.

---------------------------------------------------------------

Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi

Lily baru pulang dari kerja. Dia terpaksa kerja lebih masa untuk menyiapkan sedikit kertas kerja.

Daniel baru keluar dari rumah. Dia terpaksa memanjat keluar tingkap rumahnya untuk keluar tanpa pengetahuan orang tuanya.

Tanpa mereka sedar, yang seketika nanti pada jam 3.38 pagi, takdir mereka akan berubah.

Rabu, 15 Februari 2017

Khilaf Moden

Pagi ini, hari pertama Fatah bangun seawal 8 pagi sejak dari sebulan lepas habis SPM. Bangun pagi ,gosok gigi, mandi-mandi sambil nyanyi la la la la. Mak Fatah garu kepala sambil termenung melihatkan anak terunanya yang tak pernah-pernah berkelakuan begini, biasanya kalau ikut jadual harian selepas jam 1pm, iaitu lepas maknya siap masak tengahari baru dia bangun. Itu pun dok bergolek lagi sambil main fesbuk.

Seusai Fatah bersiap. Disarungnya baju tshirt kosong seluar ketat slim fit gaya terkini beli dekat uniklo, rambut letak pomade sikit, sikat tepi.. Fatah terus turun mengapai kunci motor ayahnya mahu keluar. "Tak makan dulu?" Mak tanya. "Takpelah mak" Jawab beliau sambil mengikat tali kasut converse hitamnya. Disarungkan helmet ke kepala slow-slow takut rosak rambut sambil mengundurkan motor keluar dari pagar otomotik rumah teres orang tuanya. "Bawa elok-elok, awak tu baru lesen L je!" Laung mak nya. "Ye la mak, along gi dulu. Semekom, Goodbai".

Trengggg teng teng! Motor EX5 itu berlalu dibawa angin sayup sayup meninggalkan deruan enjin dari kejauhan.

------------------------------------------------------------------

gambar hiasaan
Setibanya Fatah di perkarangan KLCC, port remaja-remaja bandar masa kini bersidai. Kadang-kadang berdating, ada yang main pokemon, usha awek, berselfie, tak kurang juga yang sedang joget Ravers. MasyaAllah. Fatah membuka helmetnya lantas dikemas-kemaskan rambutnya. "Boleh tahan juga pomade ni" Bisik hati beliau.

Vroooooooomm SHRIEEKKKKKK!!

Kedengaran bunyi enjin kereta yang menderu kuatnya dan kemudiannya membrek emergency. Fatah yang sedang leka membelek gambar selfie nya dalam henfon sambil bersidai dikawasan pancuran air terkejut beruk lalu mencari punca bunyi tersebut. Kelihatan dikawasan valet parking KLCC kereta wira yang siap di modify memasuki parking secara melulu, bawa kereta macam orang tak ada pedoman, logo proton di ganti dengan logo yamaha. Ntah apa-apa tah. Fatah sedikit kagum. Kelihatan seorang brader, gaya bongkak, lebih kurang hujung 20-an, baju polo, kolar tegak, berkaca mata hitam, seluar khakis pendek petak-petak, kasut crocodile. Macam nak pergi main golf. Dicampaknya kunci keretanya ke penjaga valet tu, anak muda dari Bangladesh ni terkial-kial lah nak menyambutnya dek kunci yang hampir terlepas dari tangkapannya. Tak kata apa, brader bongkak tadi terus memasuki KLCC membiarkan keretanya diurus parking oleh pemuda Bangla tadi.

Fatah rasa kagum.

Inspirasi, hadirnya menyinari. Bagaikan tali yang mengurai jatuh dari sinarnya puncak juram yang dalam dan kelam. Menghulurkan harapan pada anak muda yang membungkam terperosok dipenjuru hitam duniawi. Bersamanya digendong maknawi kehidupan dan disuluhi impian yang sudah lama tenggelam, lemas dalam serabutnya liku-liku kehidupan.

Fatah bangkit, dikibas-kibaskan punggung seluarnya.

"Satu hari, aku juga akan berjaya"

#KhilafModen

------------------------------------------------------------------

[kisah ini tidak ada kena mengena antara yang hidup ataupun yang mati ataupun yang mati akalnya]

Sabtu, 19 Disember 2015

Frozen (Versi Tempatan)

Di sebuah wilayah kayangan nun jauh dari hiruk-pikuk manusia, jauh dari sesak serdak-serdak dedebu kota. Wujudnya sebuah istana lama yang indah dipenuhi dengan kebahagiaan, pagar-pagarnya dihiasi bunga-bunga yang memancarkan bau-bau yang indah, bumbungnya berilhamkan reka bentuk unik Minangkabau, dengan tingkap-tingkap seperti dalam iklan Adabi.

Didalamnya berpenghunikan sebuah keluarga harmoni, Raja dan Permaisurinya, dan 2 anugerah terindah, Puteri Elisa dan Puteri Hannah. Kehidupan harian mereka berhiaskan rutin yang menggembirakan, seperti aktiviti berkelah di tepi highway, bermain polis sentri di tapak pembangunan, memancing ikan sepat secara berjemaah, membantu gelandangan dengan mengadakan kelas menjahit percuma, dan sebagainya.

Sementelah sekian lama begitu, konflik mula memerca tatkala Puteri Elisa mencecah umur 9 tahun, dimana dia tetiba (jeng jeng jeng) menjadi gadis pelik yang menguasai bakat yang luar biasa, yang amat berbeza dengan gadis-gadis yang sebaya dengannya. Raja dan Permaisuri mula resah dengan perubahan itu, resah gelisah akan busuk mulut-mulut orang, apa kata jiran-jiran nanti tatkala anak-anak gadis jiran ralit bermain teng teng, main pondok-pondok, khatam novel Suamiku Encik Gorila, mencecah level 700 dalam Candy Crush, bercinta mukabuku dengan pakcik pebet yang menyamar jadi abang idaman sekolah menengah, akan tetapi Puteri Elisa, seorang anak Raja, lain? Berbeda?

Ibu bapa masa kini mahukan anak-anak mereka berjaya, namun definisi kejayaan itu datang dari kamus rekaan mereka sendiri. Membesar "normal", menghafal buku-buku teks untuk mencetak A diatas transkrip-transkrip yang membuktikan kejayaan terjemahan "manusia normal". Dan membesar berkerjaya, terperangkap dibelakang monitor bersangkarkan pejabat, berkerja mengejar wang, cukup bulan bayar hutang. Bakat yang seperti Puteri Elisa ini, mereka kata tak akan kemana.

Selepas kian lama dibawakan Doktor, Pawang, Bomoh, Tok Kadi, Pakcik Mail Anti-rasuah, peragut rantai Wan Maimunah, namun tak seorang pun mampu menormalkan kembali Puteri Elisa, risaukan Puteri Elisa akan mempengaruhi Puteri mereka yang satu lagi, Raja dan Permaisuri membuat keputusan menghantar Puteri Elisa ke Kokdiang. Ya, ke Kokdiang, ke sebuah keluarga angkat di Kokdiang.

Maka terpisahlah Puteri Elisa dari kisah-kisah keluarga bahagianya, dari adiknya yang tercinta, Puteri Hannah.

Pun begitu, 12 tahun berselang.

Nama Puteri Elisa gah dikenali. Sering kali menjadi buah bualan orang ramai. Viral, hashtag #ElisaFrozen menjadi trend di tuwiter, pesbuk, insetagrem, blogger (jika masih wujud), dan lain-lain. Acapkali juga Puteri Elisa keluar menghiasi kaca television menjadi penaja-penaja rancangan realiti seperti Gegar Avanza, Akademi Fantasia Bulan Madu, Tanah Kubur dan juga Silauan Warga Emas.

Produk roti canai frozen cap Anak Raja, hasil keringat anak muda Kokdiang, Puteri Elisa kini menjadi kegilaan umat nusantara, dan mula mencipta nama di pasaran antarabangsa. Bakatnya membuat roti canai yang dulunya diperkotak-katikkan masyarakat umum kini menjadi tulang belakang buat kejayaan Puteri Elisa.

Sementara itu, Puteri Hannah sedang menyeberang ke Naratiwat untuk kahwin lari bersama jejaka pilihannya, Mujibur dari Bangladesh selepas bertelagah dengan Raja dan Permaisuri yang mahu mengahwinkannya dengan anak Tan Sri pemilik Maju Jaya Konon Holding, macam babak cliche drama melayu lain.

Sekian.

    

Ahad, 6 Februari 2011

Abdillah Jamil Masih Seperti Dulu

Dari terik matahari yang memacak di atas langit tanpa berkawankan awan ini membentuk bebayang redup di bawah atap zink perhentian bas ini. Tapi bahangnya panas masih ada meruap-ruap hingga membangkitkan aroma tar jalan yang berbau seperti kopi hangus itu ke liang hidung Amin Makruf bin Abdillah Jamil.

Anak tunggal Abdillah Jamil ini kelihatan sedang berseorangan membuaikan kakinya yang terapung pabila dia duduk atas bangku perhentian bas itu. Bawah matanya ada air hangat mengalir ke pipinya yang terus gugur ke lantai tiap kali Amin Makruf menyedak menahan sebak dadanya. Esak kedengaran jauh di langit yang tiada awan.

Amin Makruf tanya pada fatamorgana berupa Aminah Mas'out, ibunya yang tercipta atas tar yang panas membahang. "Kenapa?"

Lantas air mata atas lantai menyejat menjadi awan berupa unikorn dan pergi ditiup angin meninggalkan Amin Makruf sendiri. Di sebuah perhentian bas.

Ahad, 30 Januari 2011

Menjadi Rajin: Menyambung Entri

Sedutan entri lepas: sini

Hm. Kata Encik Jamal.

Keletuk keletuk Encik Jamal menekan butang kekunci mesin masanya untuk menetapkan frame masa yang akan dia pergi.

Duapuluhsembilan januari duaribusebelas? Tanya mesin masa tersebut.
Ya. Jawab Encik Jamal.
Konfem eh? Tak nak tukar tarikh? Tanya lagi mesin masa tersebut.
Hm. Jawab Encik Jamal.
Oklah, sebelum nak pergi ada apaapa pesanan tak? Tanya mesin tu lagi.

Phiiiu.

Sampailah Encik Jamal ke masa silamnya, iaitu tarikh sehari sebelum tragedi Maria di langgar pemandu teksi yang sedang leka mengusha kakikaki perempuan.

Hm. Kata Encik Jamal.

Jumaat, 28 Januari 2011

Encik Jamal Dan Mesin Masanya

Encik Jamal, lelaki berumur limapuluhan ini bermenung kosong menonton mesin masanya yang diperbuat dari bahan-bahan terpakai sedang memproses data yang ditekan masuk oleh beliau. Terciptanya mesin ini dari peluh peluhnya mengerjakan bahan bahan terpakai yang dikumpul sejak berkurun lalu, beliau cintakan alam. Dan beliau tak ada bajet nak guna bahan bahan baru.

Pada tika itu Encik Jamal terkenang kembali. Bagaimana beliau mendapat epifani untuk mencipta mesin yang hebat lagi durja begitu.

Kalaulah Encik Mohsin tak bawa teksi hari tu.
Kalaulah Sabrina tak tertinggal bas rapidKL pagi tu.
Kalaulah Encik Mohsin tak usha betis licin Sabrina disimpang tu.
Kalaulah Sabrina muat pakai jenama Roksi lamanya saiz 26 tu.
Kalaulah Azlan tak guna minyak dagu kat Sabrina hari tu.
Kalaulah Azlan tak asyik nak bawa awek dia dating di Mekdi dulu.
Kalaulah Maria, kekasih Encik Jamal tak temankan Sabrina pagi tu.

Hm. Kata Encik Jamal.

Khamis, 23 Disember 2010

Godot Telah Hilang

Drakula dan vempayer yang sebenarnya adalah jisim. Jisim yang sama komposisinya dengan manusia. Cumanya mereka takut keluar dari peruk keranda mereka disiang hari. Takut akan sinarnya mentari.

Dari itu, mereka gemarkan kegelapan. Dan hanya keluar diwaktu dunia sedang kegelapan. Dan pada tika itu mereka bergerombolan berpusu-pusu mencari sesak-sesak dosa. Meraba-raba apa yang tak nampak dimata dalam gelap pikuk sesat dunia.

Dan kita manusia, oleh itu selain darinya kita gelarkan sang durjana tanpa mereka rela.

Haslin Ismail, 2009
(Antara Bahan Campuran, Balai Seni Lukis)

Sabtu, 18 Disember 2010

Telinga Arnab, Amin, dan Disneylen.

Dalam hiruk-pikuk bisingnya bilik darjah pelajar tahun dua itu. Amin duduk riak bongkak di meja yang paling depan bersama kawan-kawan Amin yang terlopong mendengarkan cerita Amin yang teramat dahsyat.

Amin kata, dia ada telinga arnab yang boleh bawa dia pergi Disneylen.

Kawan-kawan Amin angguk. angguk. angguk. percaya.

Tapi sebenarnya. Amin tak ada pun telinga arnab yang boleh bawa dia pergi Disneylen. Papa Amin yang bagitau Amin yang Amin akan dapat telinga arnab yang boleh bawa Amin pergi Disneylen. Kalau Amin tak bagitau Mama Amin pasal Auntie Zara tidur di rumah mereka malam tika Mama Amin tengah ada kerja di Beijing.

Amin tak bagitau Mama Amin pasal Auntie Zara tidur di rumah mereka malam tika Mama Amin tengah ada kerja di Beijing. Jadi Amin pasti Papa Amin pasti akan beri dia telinga arnab yang boleh bawa dia pergi Disneylen.

Petang itu Amin balik rumah buka kasut cabut stoking campak beg terus mendapatkan telinga arnab dari Papa amin. Tapi Amin cari-cari tak jumpa Papa Amin. Belakang rumah ada Mama Amin tengah bakar sampah.

Amin tanya Mama Amin. Mana Papa Amin, Mama?

Mama Amin cakap, itu.

Selasa, 30 November 2010

Cahya Untuk Mata

Malam begini perlahan membaham panas petang dengan dingin yang mampu membuat perjalanan darah dalam sistem badan manusia mengalir perlahan. Malam seperti inilah. Dinginnya bukan datang dari suhu persekitaran yang menurun selepas matahari menghilang, tapi dari rasa sepi di hati. Aku dingin. Aku lelaki dingin. Aku dengan dinginnya menonton rancangan karut paparan ejen barat yang berlumba-lumba menendang manusia kedalam lahad kesesatan. Aku, seorang aku.

Di tangga rumah teres dua tingkat yang letaknya disisi ruang tamu rumah ini, aku lihat seorang gadis genit berbaju panda yang comel, sedang menonton aku, yang sedang menonton tivi. Dahlia, aku tengok dia menggosok-gosok matanya dengan tangan kirinya dengan tangan kanannya memegang telinga patung arnab yang terseret dilantai sebaik dia berjalan menghampiri aku, yang menghulur tangan dari atas sofa biru ini.
Tak boleh tidur ke sayang, aku tanya.
Dia terus baring diribaku dengan tangan kecilnya yang dua itu memeluk Bibi, patung arnab merah jambunya itu. Senyum senyum aku memadam aku yang dingin tadi. Jari jari aku menyisir setiap helai rambutnya, lembut. Dan dengan suara bisik aku dendangkan lagu kegemarannya, Arnab diatas Pelangi.

Dicelah keceriaan itu aku terkenang, mama Dahlia.
...........................................................

Sebagai selebriti tivi terkenal yang cantik, berpewatakan menarik dan ayu, mama Dahlia dikerumuni ramai peminatnya dari setiap ceruk tanah ini. Tak kurang juga peminat fanatiknya yang lunatik. Menerima gambar-gambar aktiviti harian mama Dahlia setiap pagi ahad memang perkara biasa bagi kami. Nasib baik percubaan menculik Dahlia untuk mendapat perhatian mama Dahlia dulu gagal, kalau tak kerana Bibi, mungkin aku sudah tiada lagi Dahlia. Tapi itu cerita dulu. Sebelum hari perkelahan kami sekeluarga di Grand Park. Celaka kau, maskot beruang. Kasihan Dahlia, tiada lagi mama. Kerana kau! maskot beruang. Celaka. Aku harap kau jahanam dalam hidup kau dan hidup kau yang seterusnya. Jahanam.

............................................................

"Papa?''
"Yes sayang.''
"Are you crying?''
"No i'm not, i just miss your mom.''
"Me too, i miss mama so much."
"Em.''
"Can i see mama again, papa?''
"Em.''
"Does mama miss us?"
''Em."
"Goodnight papa.''
"Em."

Ahad, 21 November 2010

Doktor Rohit Dan Solusi Kesempurnaan

Bertahun-tahun. Doktor Rohit korbankan tabiat liarnya, duduk dibawah eskalator supermarket diwaktu musim jualan murah, atau mencuri buah ceri di kedai kek, atau menari tango dalam cawat jerami, dan semuanya hanya untuk ciptaannya yang satu ini.

Di waktu Doktor Rohit menuntut di kolej dulu. Beliau telah gagal di pertengahan jalan kerana selain gemar mengamalkan aktiviti yang tidak berfaedah, hati beliau juga sering dijahanamkan oleh melodi kehancuran jiwa nyanyian perempuan perempuan dingin.

Doktor Rohit tahu beliau tidak sempurna untuk mereka.
Beliau tahu yang beliau, pendek.

Oleh kerana itu, dengan sedaya upayanya. Beliau korbankan jiwa raganya untuk ini. Ciptaan unggul, masterpis dari galaksi minda seorang lelaki genius yang kecundang. Solusi pada isu kesempurnaan sejagat.

Spesimen terakhir untuk ekperimen terakhir ini sebelum beliau memenuhi hipotesis ciptaannya ini ialah, beliau sendiri. Doktor Rohit. Beliau mahu jadi sempurna. Jadi itu beliau cucukkan segala rasa benci diri itu dengan suntikan dua dos Promaxistat 05CX.

..................................................................................

Tamat eksperimen.
Beliau masih pendek.
Doktor Rohit masih pendek.
Dan beliau tahu akannya.
Yang beliau sudah pun sempurna, dari awalnya.

"Pergi jahanam perempuan perempuan dingin."
"Aku awesome. "

Kredit:Oh Farah!(she got knife, help me)

Rabu, 20 Oktober 2010

Kajian Bahasa: Peribahasa

Bila kucing tiada gigi, tikus berani melompat tinggi

Merujuk pada peribahasa diatas, ingin saya nyatakan kesahihannya melalui kajian-kajian yang telah saya lakukan bertempat di kawasan sasar saya, dimana kadar penempatan kucing disitu adalah seimbang dengan tikus. Seperti mana yang kalian sedia maklum, jika belum maklum biar saya maklumkan disini, kucing dan tikus tak boleh bertemu. Mereka seperti pasangan kekasih yang telah berpisah kerana perhubungan sulit yang dilakukan oleh sang boifren sehingga menyebabkan peperangan berlaku jika mereka bertemu. Atau analogi yang lebih mudah, penyokong bola sepak Selangor dan Kelantan.

Saya telah mengumpul rekod dengan menjalankan intebiu keatas beberapa makhluk yang terlibat.

Encik Azman, menceritakan kisah tikus yang bermain lompat tinggi dikatilnya ketika kucingnya sedang ke klinik gigi untuk memasang pendakap gigi.

"Saya mencuci baju pada tika itu, bini saya sedang bebel bebel. Tiba-tiba kedengaran bunyi riuh gemuruh dalam bilik tidur saya." Kata Encik Azman menceritakan perihal tikus yang berani melompat tinggi bila kucingnya tiada.

Si Comot, kucing comot bertompok oren, hitam dan biru ini juga sempat menceritakan pengalamannya selepas beliau mencabut giginya yang sensitip dek kerna terlalu kerap makan aiskrim dan minum minuman berkarbonat.

"Suatu malam, kat jalan sempit sana tu. Ada seekor tikus ini mengejek saya sambil menjilat-jilat aiskrim padelpop di tangan kirinya. Marah sungguh saya melihatkan tikus itu makan guna tangan kiri." Kata Si Comot sambil tangannya menunjukkan kearah jalan sempit sebelah kedai mamak itu.

Kesimpulannya, sepandai-pandai tupai melompat. Lagi pandai tikus melompat bila jumpa kucing tak ada gigi.

Jumaat, 17 September 2010

Menyambut Syawal Di Medan Tempur

Senja pada satu Syawal melakarkan seribu satu perasaan. Khaleed menahan cemas di dada yang bagai ombak menggila. Kepalanya di sandar ke dinding rumah usang yang menanti saat menyembam ke tanah. Peluh dingin mengalirkan gelora jiwa cemasnya keluar melalui liang-liang roma epidermisnya. Khaleed tahu. Malam ini, malam ini akan lebih dahsyat gejolaknya dari malam-malam sebelumnya. Malam ini, mesti. Khaleed tahu dia mesti berjuang habis-habisan.

Saat senja berlalu. Matahari berlabuh diufuk bumi. Dinginnya suasana satu Syawal datang melepas pergi Ramadan yang diberkati. Bahangnya pertempuran ini kian dirasai. Khaleed perlahan meneguk air liurnya dalam debaran dia menanti.

Tika itu montaj kenangan dulu bermain dilayar matanya. Teringat Khaleed pada ayahbondanya, sanak saudara, dan teman-teman seperjuangannya. Khaleed teringat rakan karibnya, Fathullah ibn Majid yang menjadi mangsa pertempuran kejam ini. Rakaman wajah rakan karibnya menjerit keperitan menahan seksa kehilangan tangan berulangkali dimainkan dalam kotak fikirannya.

BOOMMM!!!

Dentuman kuat menyentak Khaleed dari lamunannya. Pertempuran sudah bermula. Dan Khaleed sudah lama bersedia. Lantaran itu Khaleed mencucuh meriam buluhnya dengan kadar yang segera.

BOOMMM!!!

Masih ada sepuluh paket kabaid yang perlu dihabiskan.

Perjuangan belum selesai.

Catatan Popular