Isnin, 28 Mac 2022

Cuti-Cuti Malaysia: Hotel & Suites Riverine, Amverton Cove, Pulau Carey

Hotel & Suites Riverine@Amverton Cove

Tak sangka di Pulau Carey, dulu yang disangka hanya ada estet dan kampung je. Sekarang sudah ada tempat tarikan percutian. Hotel & Suite Riverine ni rasanya masih baru di buka. Sebab hasil carian di google dia akan highlight Amverton Cove Resort dan Golf Course (tempat sama, tak pasti pengurusan yang sama atau tidak). 

Perjalanan ke sini dari KL mengambil masa kurang dari 1 jam, namun perjalanannya memasuki kawasan kampung dan pedalaman. Agak terpisah dari dunia luar. 

Jadi apa yang menarik disini? Selain dari hotel, disini juga ada taman tema air (Riverine Splash), outdoor extreme park (Riverine Survival Park), Amverton Cove Golf Course dan terdapat aktiviti mini yang lain seperti ATV, Maze, boat riding, animal island. Letaknya pula berhampiran beberapa tempat tarikan awam seperti Bukit Jugra (boleh main paragliding dan hiking), Pantai Morib, dan Pantai Kelanang.

Senarai harga mini aktiviti

Ini untuk harga pakej combo

Harga untuk taman tema air

Riversplash@Amverton Cove

Ada Potensi, Masih Perlu Diperbaiki

Pengalaman aku bersama keluarga menginap di Riverine Hotel & Suite ni, masih banyak perlu diperbaiki. Melihat pada bangunannya dan jalan masuk, aku simpulkan tempat ini masih lagi belum siap sepenuhnya. Dapat lihat kawasan kelilingnya diratakan dan lori-lori pembinaan merata-rata. Untuk Amverton Cove Resort dan Golf Course, bangunannya kelihatan agak lama, jalan masuknya agak mengelirukan kerana tiada tanda jalan untuk ke lobi hotel atau receiptionist, ketika aku sampai berpandukan Google Maps, ada dalam 5 kereta lain di lobi Amverton Resort ni, semua nak check-in tapi tak tau kat mana, tiada staff di kaunter, telefon helpline juga tidak berjawab. Kami terpaksa mencari staff-staff di sekeliling, mujur ada staff sedang membersihkan pool. Beliau yang maklumkan tempat check-in adalah di bangunan hotel baru (dalam 300 meter dari situ). 

Check-in/Check-out: Lobi agak sesak, mungkin peak hour, ramai guest mahu drop-off barang dan penumpang, parking keretanya letak dikawasan lapang, tidak sesuai berjalan dengan anak kecil/OKU/orang tua ketika panas terik atau hujan badai kerana perlu naik tangga/mendaki ramp (ada parking basement tapi tidak dibuka untuk orang awam). Mungkin pihak hotel boleh fikirkan untuk sediakan bumbung pejalan kaki dari parking ke hotel, taman tema air dan ke survival park. Staff yang menguruskan check-in juga tidak terlatih, agak gopoh, tidak ramah/mesra pelanggan dan tidak sistematik. Untuk mencapai taraf hotel sekurang-kurangnya 3 bintang, ini perlu diperbaiki. 

Bilik: Bilik kami ambil memang luas, tapi tidak terasa seperti hotel (harga di booking.com sekitar RM300++), lebih kepada homestay atau apartment studio. Lantai yang tidak berkarpet atau vinyl, di pasangkan seramik ringkas, menghilangkan pengalaman seperti menginap dihotel. View sungai dan padang golf adalah plus point yang boleh menjadi salah satu tarikan disini. Dari segi kebersihan, perlu banyak pembaikan, housekeeping hanya membiarkan cadar/tuala kotor di koridor, sampah sarap dibawah katil (kami jumpa kereta mainan, sampah plastik, selipar bawah katil).

Untuk breakfast buffet, variasi dan rasa makannya bagus, kebersihan masih boleh diterima (bagi aku). Tapi itulah, servis dari staff masih banyak perlu dibaiki. Perlu peka mana tray makanan yang dah kosong, mana tetamu yang perlukan pertolongan, senyum bila berjumpa tetamu, benda-benda basic je.

Bilik luas dengan in-room ruang dapur

Upacara perasmian katil

View sunrise menghadap sungai dan taman tema
(Parking depan tu kalau hujan panas memang naya)

View golf course dan tasik

Aktiviti: Taman tema air Riverine Splash @Amverton Cove dibuka pada semua termasuk non-guest. Cuma guest diberi sedikit diskaun, cadangan aku mungkin pihak Amverton Cove/Riverine boleh adakan satu sistem yang mana membolehkan in-house guest untuk charge tiket masuk ke aktiviti-aktiviti disekeliling hotel pada deposit bilik, atau membolehkan guest untuk membayar pakej aktiviti-aktiviti itu di kaunter hotel. Riverine Splash ini kawasannya boleh kata luas juga, banyak mainan air disini, cuma kami tak cuba slide orang besar sebab anak tak cukup tinggi lagi. Jadi banyak masa dihabiskan di Kiddie Pool, itu pun sudah cukup untuk melekakan Ayra Sofea bermain selama berjam-jam disitu.

Aurora Syifa kejung

Kiddie pool @ Riverine Splash

First time Aurora Syifa masuk pool

Family time well spent

Map untuk taman tema air

Dah terbakor dah tu lama sangat mandi
Tapi tak nak balik

Ayra Sofea happy, daddy pun happy

Riverine Survival Park, disini terdapat outdoor aktiviti - seperti extreme park atau course berhalangan seperti ninja warrior. Sesuai kalau anak-anak korang suka memanjat. Ada juga kandang arnab dan seekor kuda (staff situ kata takleh tunggang sebab kuda sedang rehat). Ada servis sewa mini ATV dan scooter elektrik. Mereka juga ada sediakan sewa bakul dan tikar untuk piknik. 

Pintu masuk ke Riverine Survival Park

Peta Riverine Survival Park

Adik sedap tidur bawah pokok teduh, angin bertiup

Manusia paling excited memanjat

"Daddy look, I'm a spider"

Pelbagai laluan berhalangan yang sesuai
untuk kanak-kanak sekitar 3-12 tahun 

Kesimpulan, hotel ini punyai potensi yang tinggi, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki. Jika anda bercadang ingin ke sini, aku cadangkan mungkin tunggu dulu dalam setahun dua (selepas siap naik taraf), atau set expectation siap-siap dan enjoy aktiviti-aktiviti disekitarnya saja. Bagaimana pun, yang penting kami sekeluarga masih menikmati percutian ini sepenuhnya, tak kira apa kekurangan pun.


Rabu, 9 Mac 2022

Pelukan Angkasa

Masa zaman gerakan muzik indie sedang top sekitar hujung 2000-an. SOG atau nama betul Sekumpulan Orang Gila adalah antara band yang ada dalam playlist aku. Walaupun aku bukan hardcore peminat muzik screamo/metal tapi ada masa aku lain juga, ikut mood.

Lama lepas tu muzik indie makin tenggelam, aku pun makin tua dan tak larat nak mengikuti pergerakan mereka. Cuma kadang-kadang aku akan cari balik playlist lama untuk layan balik. Tak pernah terlintas kat otak aku yang satu hari nanti muzik screamo akan diterima oleh pemain industri aliran perdana. Sedangkan muzik indie genre pop pun susah nak lepas, lagikan genre yang kurang popular walaupun dikalangan gerakan bawah tanah ni.

Aku tonton AJL 36 baru ini, agak terkejut nampak line up SOG ft Shila Amzah dengan lagunya Pelukan Angkasa berjaya ke final juara lagu. Aku tak pernah dengar lagu ni, masa mereka mainkan malam tu adalah pertama kali aku dengar, dan terus meresap, sangkut dalam kepala aku, berulang kali bermain dalam kepala. Aku dapat rasa lagu ni ada potensi untuk menang AJL tapi agak ragu-ragu sebab agak mustahil ia berlaku, dulu Meet Uncle Hussin menang pun masa tu muzik memang tengah top.

Tup tup, Pelukan Angkasa diumumkan juara. bertambah-tambahlah terkejut aku. Aku kenal juga Fazlina Hishamudin, si penulis lirik tu, masa aku muda remaja dulu pernah follow dia di event-event puisi. 

Harapnya aku dapat lihat gerakan indie naik dan muzik-muzik mereka diterima ramai selepas ini. Semoga maju jaya SOG, dan industri muzik indie tempatan.

Tahniah SOG x Shila Amzah, majulah muzik Malaya kita

Kupasan Lirik

Bulan purnama terangi rinduku yang sayu
Terbangkan kesumat rasa resah jiwa yang membelenggu
Langit gelita sematkan bintang di dadamu
Biar menyala jadi unggun yang membakar kalbu
secara tersurat, rangkap ini menceritakan seorang yang menikmati langit malam (bulan bintang) dan mengadukan kesedihannya, mungkin kerana rindukan seseorang
Angin bersiul
Bersiul hembus
Menghembus luka
Dingin menusuk
Menusuk meratah rongga
masih melayan kesedihan, mengharapkan hati yang luka dapat diubati dan cerita lama pergi bersama angin lalu
Pangkulah aku wahai semesta
Katakan cinta itu membebaskan
Peluklah aku wahai angkasa
Hangatkan tubuhku di alam khayalan
rangkap ini yang juga chorus lagu, agak kontroversi. dari sudut seni (tanpa menyentuh akidah - kebergantungan pada selain Allah) mungkin boleh ditafsirkan sebagai individu ini mengharapkan keindahan alam dapat mengubat lukanya (putus cinta?). bebas dan menyenangkan. terma "alam khayalan" juga agak kontroversi, adakah ia dirujuk secara literal (alam ghaib/kayangan?) atau khayal di akal melupakan segala masalah
Terik suria suluh logika rohku yang gelap
Bebaskan radiasi meluluh lumat batinku yang terseksa
boleh dikupas seperti rangkap pertama, tapi dirujuk pula pada langit (angkasa) siang. cuma bila menyentuh batin dan roh, kita boleh tafsirkan sebagai dalaman individu yang terluka mengharap keindahan alam menghilangkan kesedihannya. (dari sudut akidah adalah salah)
Kalian takkan mampu
Mampu memecahkan bongkah ini
Rangkul tanganku
Kita bersatu lawan dunia
[Chorus]
Dua jiwa dua dunia
Ingin mengecap damai bahagia
Tahukah bahawa cinta itu satu dosa
[Chorus]

adakah 2 rangkap ini (tolak chorus) menceritakan asal-usul kesedihan dari rangkap-rangkap sebelum ini? dalam genre screamo, bahagian scream biasanya adalah luahan rasa sebenar penulis, apa yang nak disampaikan. adakah ini kisah cinta yang tak direstu dunia, dimana perasan yang tak kan mampu digugat dan rebel pada yang normal. "dua dunia" - sekali lagi adakah ini merujuk literal pada alam ghaib, dunia lain/berbeza, atau juga boleh menyatakan tempat yang jaraknya jauh. "dosa" - bilakah masanya cinta itu menjadi dosa dan tak direstu dunia, cinta antara manusia dan makhluk ghaib? atau sesama jenis? atau dosa disini cuma merujuk pada dosa pada pandangan mata manusia - seperti cinta berbeza bangsa atau darjat.

Rumusannya, dari sudut seni lagu ini adalah satu naskah seni yang unik dan berada dalam kelas yang tersendiri. Tafsiran liriknya adalah bergantung pada perspektif masing-masing, bukan tempat aku yang belum cukup ilmu ini untuk menjatuhkan hukum sesat atau tidak, tapi ia adalah penulisan yang menarik untuk dikupas.

Edit: Aku baru tau yang lagu ini ditulis untuk filem KL Vampires, jadi masuk akal lah tentang cinta terhalang antara dua dunia, manusia dan vampire

Catatan Popular