Memaparkan catatan dengan label Luahan Rasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Luahan Rasa. Papar semua catatan

Sabtu, 28 Disember 2024

Rama-Rama

Dalam perut, ada rama-rama.

Atau cuma sakit perut salah makan nasi kandar mamak.

Dalam cawan, ada wajah.

Atau cuma refleksi muka kau sendiri yang buruk berkocak.

Dalam hati, ada taman.

Atau itu cuma kardiac arrest dek kerna overload kolestrol yang menyumbat arteri.

Dalam minda, ada senyuman bayangan.

Atau itu cuma delusi dan halusinasi yang menghantui.

Ahad, 22 Disember 2024

Berbelah bahagi

Tak terniat apa pun.
Namun bila tersekat terlalu lama. 
Amat sukar ditarik keluar.

Mungkin tiada apa.
Tapi mungkin lebih baik aku lari.
Dari marabahaya yang mungkin datang,
atau tidak.

2025 yang datang
Apa yang utama perlu diutamakan.
Diri
Dan keluarga.

Yang lain, jika itu takdirnya, redha dengan hati terbuka.

Isnin, 24 Jun 2024

Masih

 Ya, masih.

Aku masih menulis disini.

Walau ramai kenalan blogger dulu sudahpun berhenti.

Dengan hadir pelbagai media baru, dengan tiktoklah, fblah, ig lah, tweeter lah, thread lah..

Aku? masih menulis disini.

Blogspot dulu tempat budak-budak in, budak-budak cool, lepas beralih ke generasi indie, citarasa art berat, pemuisi dan segala bagai. Namun sekarang budak cool jadi influencer buat short video je sekarang, orang mana mau baca dah blog-blog ni, layan vlog je sambil-sambil lipat baju.

Tapi entah, aku rasa blog masih ada relevan nya.

Mungkin untuk bacaan aku sendiri, tatkala aku bosan-bosan dihari tua.

Ahad, 26 Mac 2023

Bangkit

Tak apa, jika kau rasa murung. 

Tak apa, jika kau perlu menangis. 

Tak apa, jika kau mahu jerit sekuatnya. 

Tak apa, jika kau jatuh tersadung.

Yang penting, 

Diakhir semua itu, 

Kau bangkit kembali, 

Lihat kedepan, 

Dan terus mara. 

Sabtu, 4 Mac 2023

Selasa, 8 November 2022

Termangu Sejenak

Dalam bergelimpangan dek ributnya kerjaya, aku termangu sejenak.

Tertanya pada diri, apa makna?

Lontaran di alam maya hanya pura-pura.

Onak di alam nyata penuh berbata-bata.

Yang ikhlas, tak nampak dimata dunia.

Yang bermuka, itu yang dipuja-puja.


Jadi? Aku buat aku?

Kita untuk kita, jangan dipeduli dunia?


Entah, 

Berhenti termangu

Rabu, 15 Jun 2022

Melompat Lebih Tinggi

Naluri diri manusia, secara biologinya, lebih gemar mencari keselesaan. 
Kalau panas, kita on aircond. Kalau sejuk, kita off kipas. Kalau jalan jem, kita cari jalan lain (atau yang teruk perangai, selamba potong ikut lorong kecemasan). Kalau penat, kita rehat. Dan seterusnya begitulah. Kita sanggup berbelanja lebih untuk mendapat lebih keselesaan, kalau ada duit, dari pakai penyapu, baik pakai vacuum, tak pun roomba, tak pun upah je orang gaji, dari memasak, baik order foodpanda, antara contohnyalah. 

Tapi bila terlalu selesa, kita tak nak perubahan. Kita nak duduk di zon selesa itu kalau boleh selamanya. Dan kita tak akan menukar apa-apa, tak akan ambil apa-apa risiko, untuk kekal disitu. Kesudahannya, kita tidak akan tahu potensi diri kita yang sebenar. Apa yang kita akan capai jika kita keluar dari zon selesa itu.

Jadi, lompatlah keluar. Lompat lebih tinggi. Keluar dari kotak nyaman itu, dan capai potensi penuh mu.

Khamis, 12 Mei 2022

Ayra Sofea dan Atuk

Arwah ayah meninggal beberapa bulan sebelum cucu dia Ayra Sofea lahir, masih segar lagi di ingatan saat menjaga ayah di hospital dibulan Ramadhan tahun 2018, ulang alik ke hospital bawa mak buyung yang tengah sarat.

Dengan nak pergi check up lagi, baby tak gerak lagi, hampir sebulan juga masa lebih banyak diluangkan di hospital dari di rumah. Ayah pergi tu masa lagi seminggu lebih lagi nak raya. 

Baru ni bawa Ayra Sofea ke kubur atuk dia, bila kita baca fatihah tu terus dia angkat tangan baca doa. Rasa macam ada ninja potong bawang lak tiba-tiba.

Semoga arwah ayah (Jaafar bin Hashim) diampunkan semua dosanya, dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Isnin, 9 Mei 2022

Tiba-Tiba Hari Raya


Selepas 2 tahun beraya dalam PKP, tanpa persiapan. Raya tahun ini tiba-tiba diumum awal sehari, kelam-kabut lah nak buat persiapan. Boleh tahan kelakar pemegang mohor raja-raja ni berjenaka, dengan baju melayu ungu dia, dekat RTM online dah umum awal lepas buka puasa tu, tapi di TV pukul 9pm baru dorang siarkan. Jadi masih berteka-teki lagi lah beberapa jam tu samada nak siap-siap pergi terawih atau tidak. Ikutkan ura-ura nya dah berminggu awal dah, ahli falaq dah sebarkan kat dalam whatsapp pasal kemungkinan raya awal ni, dan di negara jiran pun dah siap umum awal lagi. Tapi di Malaysia, hingga hujung Ramadan baru tahu. 

Berpuasalah kita 29 hari saja, kelam-kabut satu negara malam tu, ada yang baru raya tak beli lagi (konon nak tunggu sale malam raya), ada yang kena kerja esok hari nya, ada yang belum bertolak balik kampung, ada yang masih sedang menghadap jem balik kampung, rendang ketupat, makanan-makanan jangan ceritalah, memang tak sempat, ada sampai berjaga sampai pagi nak siap kan. Tak kurang juga yang dah redha je lah, Raya ala kadar je, raya ke-2 baru siap betul-betul. 

Tak sangka dalam hayat aku dapat alami peristiwa ni, "tiba-tiba Hari Raya". Macam-macam perkongsian lucu di media sosial dengan posting video, status, gambar yang kelakar tentang pengalaman kelam-kabut masing-masing malam raya tersebut.

Apa pun, Selamat Hari Raya diucap pada semua, maaf zahir dan batin. Semoga dapat kita bertemu Ramadan tahun depan dan Ramadan yang lalu menjadi pembimbing kita menjadi manusia yang lebih baik.


Jumaat, 31 Disember 2021

2021: Rumusan

 Sedari 2020, pandemik COVID-19 masih lagi berlarutan. Di awal 2021, vaksin masih lagi dalam kajian, dan sudah pun diberikan disesetengah negara lain. Malaysia cuma menerima vaksin seawal Februari. Namun peningkatan kes COVID semakin meningkat justeru PKP kembali diperketatkan pada Ramadan dan menjadikan 2 tahun berturut-turut kita beraya dalam situasi terkurung. Ahli politik sibuk tolak tarik kerusi sehingga PM ke-8 Malaysia, Muhyidin Yassin meletak jawatan dan digantikan Ismail Sabri.

2021, aku panjatkan syukur aku pada Yang Esa, kerjaya aku semakin berkembang. Dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugasan yang lebih berat dan kritikal, bermaksud syarikat mempercayai kerja aku yang dulu dan yakin aku mampu lakukan tugasan yang diberi.

Alhamdulillah, penambahan ahli keluarga baru kami, Aurora Syifa menambah seri dalam rumah tangga kecil kami. Terima kasih isteri dan mama kepada dua puteriku atas segala pengorbanan dan sakit perih yang dilalui tika melahir dan membesarkan Ayra Sofea dan Aurora Syifa.

Selain itu, hikmah pandemik dan PKP juga adalah nikmat melihat anak-anak membesar di depan mata. Perkembangan Ayra Sofea aku lihat depan mata aku sendiri kerana daycare ditutup ketika PKP, tak lupa juga mengharungi fasa berpantang untuk Aurora Syifa dan mamanya secara sendiri, yang aku sendiri tak sangka aku mampu lakukan. Walau ada cabarannya untuk mengimbangi antara kerja dan urusan rumah serta anak-anak, aku tetap bersyukur semua dapat aku lalui dengan jayanya.

Resolusi 2021: 

1. Misi mencapai badan ideal - dalam masa 5 bulan dari Januari ke May, aku berjaya mencapai peratusan bodyfat 10%, dengan berat badan turun dari 76kg ke 65kg. 

2. Khatam Quran - untuk tahun 2021 aku dapat khatam 2 kali Al-Quran secara sendiri, 4 kali secara tadarus.

3. Buku - Berbanding 2020, aku dapat menghabiskan 20 buah buku, walaupun terpaksa pulun di hujung bulan Disember.

4. e-learning - sasaran asal hanyalah 40 jam, namun aku sudah melebihi sasaran, cuma aku berhenti track selepas melepasi 40 jam.

Tahun 2021, aku kehilangan beberapa ahli keluarga, mak ngah, pak lang, atok cu, rakan, saudara jauh dan dekat. Ada yang asbab COVID dan ada juga sebab penyakit lain. 

Disember 2021 menyaksikan musim tengkujuh yang lebih dahsyat berbanding tahun-tahun yang sudah, dengan hujan, ribut, banjir, tanah runtuh, air pasang di serata Malaysia.

Jumaat, 9 Julai 2021

Pergi Tiada Ganti

Senyummu, mengubat duka

Pesanmu, penuh makna

Hidupmu, sarat berjasa


Pemergianmu, menyentuh rasa

Jutaan memorabilia

Mengamit hiba


[tulis, padam, tulis, padam]

Kami sayang Makngah, tak dapat lain yang kami nak berikan selain doa agar dikau tenang disana, bersama para syuhada di alam yang kekal abadi. Pergi kau tiada ganti


Jasnah Binti Bontak
4/4/1958 - 7/7/2021


Jumaat, 21 Mei 2021

Terasing

Apa yang aku rasa ini?

Terasing dari dunia,

Terasing dari manusia,

Demi memutus rantaian menggila.

Pandemik meracau meragut jiwa.

Lepas satu, satu gelombang melanda.


Dari Aidilfitri yang lalu,

Tak dapat kita ketemu,

Sahabat, pakcik, makcik, saudara, sepupu,

Jiwa terus menahan rindu,

Doaku agar semua selamat selalu.

Khamis, 11 Februari 2021

2020 & 2021

Sewaktu kita tadika dulu, kita dicanang dengan wawasan 2020, kita terbayangkan kereta terbang, bangunan pencakar langit, robot, cyborg, terminator bersiar-siar di taman, alat komunikasi dalam bentuk hologram keluar dari jam tangan, manusia terbang ke hulu ke hilir pakai jetpack, apa yang orang dulu tahun 70, 80, 90-an bayangkan tentang 2020 amatlah berbeza. 

Realitinya, 2020 kita disajikan dengan pandemik, lockdown, face mask, SOP, norma baharu, gelang pink, swap test, dalgona, roti gardenia, dan pelbagai resepi masakan rakyat Malaysia dari yang menjadi seperti Kavitha atau yang tak jadi masuk facebook.

Isnin, 24 Ogos 2020

Jatuh Motor





Menjelang senja, lebih kurang sebulan lepas, seperti hari-hari lainnya, aku menunggang motorsikal untuk pulang ke rumah dari pejabat. Aku tergelincir jatuh motor dikawasan berpasir di tepi tol Bukit Jelutong, dalam kelajuan sekitar 80km/j, tergolek-golek seperti babak aksi filem Bollywood juga aku di situ, mujur kereta-kereta dari belakang tak laju kerana baru keluar tol. Entah macam mana otak aku tak fokus masa tu, mungkin sibuk fikirkan kerja. Semenjak 3 bulan sebelum itu kerja dipejabat agak berlambak juga dek kerana transformasi dalam organisasi dan cara beroperasi. Jadi skop kerja aku juga makin bertambah dan tanggungjawab semakin berat. Dalam kepala sentiasa sibuk berkerja walaupun ketika menunggang motorsikal.

Di atas motor ni, tak sama seperti kenderaan lain. Malang tak berbau, punca nahas ni boleh jadi dari sebesar-besar lori, hinggalah ke sekecil-kecil pasir. Dan malangnya tidak kiralah salah siapapun sesuatu kemalangan melibatkan motorsikal, kereta tukar lorong mengejut ke, lori tak bagi signal ke, orang langgar kita ke, atau kita langgar orang ke, penunggang motor tetap akan sakit.

Mengikut sejarahnya, ini kecederaan aku paling teruk setakat lebih 10 tahun menunggang motor (sebelum ni 2 kali kena langgar, tapi luka sikit saja, satu kali hampir jatuh ketika selekoh dan terseliuh buku lali sebab tahan jatuh, satu kali masuk parit langgar pokok pisang masa baru belajar bawa motor, tiada kecederaan). Luka-luka satu badan, syukur tak ada yang patah (kecuali patah hati duit melayang nak baiki motor), begitupun aku kena bedah dilutut kerana luka yang dalam mengoyakkan sendi lutut, jadi perlu 4 jahitan luar dan 4 jahitan dalam selepas dua hari tidur di hospital. Dapat 2 minggu MC (walaupun kena kerja juga) dan nasiblah musim PKPP jadi boleh minta bos bagi kerja dari rumah sehingga pulih sepenuhnya.

Hari ini aku kembali ke pejabat, menunggang motor seperti biasa. Tapi orang rumah dah belikan jaket dan sarung tangan keselamatan untuk langkah berjaga-jaga. Mujur ada yang sayang. Pengajarannya, berhati-hatilah dijalan raya, sentiasa fokus dan ingatlah orang yang tersayang.

 

Rabu, 16 Januari 2019

10 Tahun

Blog ini sudah 10 tahun. Sepuluh. Kalau kau beranak sepuluh tahun lalu, sekarang dah darjah 4 budak tu.

Masih disini, masih menaip.

Ramai yang bertanya, kenapa masih disini? Kan ada fesbuk, tuwiderr, insta dan sebagainya. Kan lagi ramai yang boleh baca tulisan kau, ramai yang boleh like dan komen dan share, ramai juga yang boleh kecam.

Tapi aku pilih disini, kerana disini lebih sunyi. Mungkin bagi aku kesunyian itu adakalanya mendamaikan.

Atau cuma aku yang syok sendiri. Aku sendiri tulis, aku sendiri baca.

Semoga blog ini masih disini pada 2029. Boleh aku post pasal 20 tahun pula.

Isnin, 31 Disember 2018

Hari Terakhir 2018

Di 2018 ini, menjadi tahun yang paling aku ingati sepanjang hayat aku. Mengajar aku erti kehidupan, menyedarkan aku hidup ini cuma sekadar pinjaman. Memberi maksud pertemuan dan perpisahan.

Aku sering tertanya, semenjak sedari sebelum aku bernikah, mampukah aku menjadi seorang "Ayah", Allah beri aku masa 3 tahun untuk bersedia, menimba ilmu membukti diri sebagai seorang suami. Allah beri aku peluang, untuk menebus diri menjadi anak yang lebih baik kepada Ayah ku, kerana disanjang hayat kami, peluang itu tak selalu ada.

2-Jun-2018: Allah ambil ayah, aku bersyukur diberi masa untuk berkhidmat untuk Ayah, walau cuma dalam dua minggu koma nya. Aku sempat luang waktu bersama Ayah, baca Yassin serta doa buat Ayah, bisikkan kalimah syahadah untuk Ayah tika diujung waktunya, mandikan dia di tika hayat dan selepas dia pergi. Cium peluk ayah sebelum dia pergi selamanya. 

Harapan aku, semoga Ayah ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.  

16-Ogos-2018: Allah beri aku Ayra Sofea, sekali lagi aku bersyukur diberi nikmat untuk melalui segala detik cemas itu, Allah gerak hati aku untuk bertolak awal ke kampung. Walau pada pelan asalnya aku mahu balik kampung diujung minggu, sehari-dua sebelum due date (isteriku sudah pulang lebih awal seminggu untuk precaution). Aku sempat layankan mengidam isteriku belikan kuih ropa dan takoyaki dia. Aku sempat merasa masuk labour room (walau akhirnya terpaksa C-sect sebab slow progress), penantian dihospital selama 20 jam (yang rasa seperti setahun), aku sempat azankan Ayra Sofea, merasa menguruskan kelahiran, dari dokumen hingga ke akikah, bercukur, berpantang, tanam uri, dll. Cium peluk aku pada puteri sulongku ini mengubat luka kehilangan Ayah. Hebat aturan Allah.

Doaku, semoga Ayra Sofea menjadi anak solehah penyejuk dimata, penawar dihati Papa Mama.

Terima kasih buat mereka-mereka yang hadir memberi semangat untuk aku menghadapi 2018 ini. 
[mak, ayah zul, akak, wan, akir, nor afiqah isteriku, mak mertua, ayah mertua, adik beradik ipar duai, kawan-kawan fizikal serta virtual]

Dilampirkan disini gambar anak beruang comel ini
 semoga menceriakan hari terakhir 2018 anda
Seterusnya, tak sabar rasanya mengharungi 2019 dan tahun-tahun berikutnya bersama-sama.

Jumaat, 15 Jun 2018

Tart Untuk Ayah

Sayup kedengaran takbir Aidilfitri berkumandang memenuhi ruang angkasa desa ini. Syahdu rasa di kalbu di pagi Syawal kali ini, dan Ramadan yang baru berlalu terasa bagai Ramadan yang paling panjang dalam hidup aku.

Terkenang tempoh hari di post IG live akak: "Tart untuk Ayah"

Ayah memang suka makan kuih tart, awal Ramadan tempoh hari akak tempahkan tart sebekas khas untuk ayah. Tetapi telah tertulis atas suratan, tanggal 17 Ramadan Allah menjemput ayah. Semoga di keberkatan Syawal dan Ramadan ini, Ayah di beri keampunan dan rohnya di tempatkan dikalangan orang beriman.

Amin

Ahad, 3 Jun 2018

Lena Yang Eterniti

Arus sungai mengalir perlahan,
tak terhenti walau berintangan,
ke muara dengan ketenangan.

Pengakhirannya pasti, 
destinasi yang hakiki,
menuju lena yang eterniti.


Al-Fatihah
Jaafar bin Hashim
07/03/1957 - 02/06/2018

Sabtu, 2 Jun 2018

Euphoria Dalam Vessel Kosong

Terawang-terawang.
Melevitasi dari vessel yang dibiar kosong tak berpenghuni.

Nafas dah lafaz.
Berhembus angin kosong meruap dicerminan topeng yang mendakap.

Bersahut-sahutan.
Runut-runut mesin talian hayat tak seirama buat pejuang yang bertarung diatas garisan hidup dan kematian.

Ketidakpastian.
Konsep kelahiran dan kematian diluar ruang lingkup kefahaman insan menjadi rahsia Tuhan.

Bersedih jangan.
Kerana setiap kita sama sahaja di pengakhiran.
Bezanya cuma, iman dan amalan.

Rabu, 23 Mei 2018

Gerimis Petang

Kereta ku meluncur diatas lebuhraya di celahan antara kenderaan-kenderaan yang menghala ke tujuan masing-masingnya. Perjalanan ini ku rasa jauh, setengah jam pemanduan kurasa bagai 3 hari perjalanan. Di kepala ku berlegar-legar memori silam.

Teringat aku kelibat seorang lelaki ini, tinggi lampai, berbadan sasa, berkulit gelap, tapak tangannya kasar, berqurta putih dan labuh. Jarang aku lihat dia tanpa kopiah atau serban di kepala. Di waktu kecil aku, hanya susuk belakang dia yang kerap ku ingat, kerana jalannya laju meninggalkan aku yang berlari mengejarnya di belakang. Sesekali dia menoleh dan tersenyum. "Aiyyyy ceeeepat da"

....................................

Akak dah sampai, matanya lembab. Ditangannya senaskah Yassin. Dari duduknya dia berdiri menyambutku yang baru tiba. "Seorang je ke?"

Aku hanya mengangguk lemah.

.................................

Dihujung kerongkong ku bagai ada sekatan, Perit ku rasa di tiap lafaz kalimahku. Dari belakang mata terasa panas dan perlahan-lahan melembab. Berat dihati mendetakkan tiap degup yang seterusnya. "Salaamun qaulammirabbirahim"


Catatan Popular