Masa zaman gerakan muzik indie sedang top sekitar hujung 2000-an. SOG atau nama betul Sekumpulan Orang Gila adalah antara band yang ada dalam playlist aku. Walaupun aku bukan hardcore peminat muzik screamo/metal tapi ada masa aku lain juga, ikut mood.
Lama lepas tu muzik indie makin tenggelam, aku pun makin tua dan tak larat nak mengikuti pergerakan mereka. Cuma kadang-kadang aku akan cari balik playlist lama untuk layan balik. Tak pernah terlintas kat otak aku yang satu hari nanti muzik screamo akan diterima oleh pemain industri aliran perdana. Sedangkan muzik indie genre pop pun susah nak lepas, lagikan genre yang kurang popular walaupun dikalangan gerakan bawah tanah ni.
Aku tonton AJL 36 baru ini, agak terkejut nampak line up SOG ft Shila Amzah dengan lagunya Pelukan Angkasa berjaya ke final juara lagu. Aku tak pernah dengar lagu ni, masa mereka mainkan malam tu adalah pertama kali aku dengar, dan terus meresap, sangkut dalam kepala aku, berulang kali bermain dalam kepala. Aku dapat rasa lagu ni ada potensi untuk menang AJL tapi agak ragu-ragu sebab agak mustahil ia berlaku, dulu Meet Uncle Hussin menang pun masa tu muzik memang tengah top.
Tup tup, Pelukan Angkasa diumumkan juara. bertambah-tambahlah terkejut aku. Aku kenal juga Fazlina Hishamudin, si penulis lirik tu, masa aku muda remaja dulu pernah follow dia di event-event puisi.
Harapnya aku dapat lihat gerakan indie naik dan muzik-muzik mereka diterima ramai selepas ini. Semoga maju jaya SOG, dan industri muzik indie tempatan.
|
Tahniah SOG x Shila Amzah, majulah muzik Malaya kita |
Kupasan Lirik
Bulan purnama terangi rinduku yang sayu
Terbangkan kesumat rasa resah jiwa yang membelenggu
Langit gelita sematkan bintang di dadamu
Biar menyala jadi unggun yang membakar kalbu
secara tersurat, rangkap ini menceritakan seorang yang menikmati langit malam (bulan bintang) dan mengadukan kesedihannya, mungkin kerana rindukan seseorang
Angin bersiul
Bersiul hembus
Menghembus luka
Dingin menusuk
Menusuk meratah rongga
masih melayan kesedihan, mengharapkan hati yang luka dapat diubati dan cerita lama pergi bersama angin lalu
Pangkulah aku wahai semesta
Katakan cinta itu membebaskan
Peluklah aku wahai angkasa
Hangatkan tubuhku di alam khayalan
rangkap ini yang juga chorus lagu, agak kontroversi. dari sudut seni (tanpa menyentuh akidah - kebergantungan pada selain Allah) mungkin boleh ditafsirkan sebagai individu ini mengharapkan keindahan alam dapat mengubat lukanya (putus cinta?). bebas dan menyenangkan. terma "alam khayalan" juga agak kontroversi, adakah ia dirujuk secara literal (alam ghaib/kayangan?) atau khayal di akal melupakan segala masalah
Terik suria suluh logika rohku yang gelap
Bebaskan radiasi meluluh lumat batinku yang terseksa
boleh dikupas seperti rangkap pertama, tapi dirujuk pula pada langit (angkasa) siang. cuma bila menyentuh batin dan roh, kita boleh tafsirkan sebagai dalaman individu yang terluka mengharap keindahan alam menghilangkan kesedihannya. (dari sudut akidah adalah salah)
Kalian takkan mampu
Mampu memecahkan bongkah ini
Rangkul tanganku
Kita bersatu lawan dunia
[Chorus]
Dua jiwa dua dunia
Ingin mengecap damai bahagia
Tahukah bahawa cinta itu satu dosa
[Chorus]
adakah 2 rangkap ini (tolak chorus) menceritakan asal-usul kesedihan dari rangkap-rangkap sebelum ini? dalam genre screamo, bahagian scream biasanya adalah luahan rasa sebenar penulis, apa yang nak disampaikan. adakah ini kisah cinta yang tak direstu dunia, dimana perasan yang tak kan mampu digugat dan rebel pada yang normal. "dua dunia" - sekali lagi adakah ini merujuk literal pada alam ghaib, dunia lain/berbeza, atau juga boleh menyatakan tempat yang jaraknya jauh. "dosa" - bilakah masanya cinta itu menjadi dosa dan tak direstu dunia, cinta antara manusia dan makhluk ghaib? atau sesama jenis? atau dosa disini cuma merujuk pada dosa pada pandangan mata manusia - seperti cinta berbeza bangsa atau darjat.
Rumusannya, dari sudut seni lagu ini adalah satu naskah seni yang unik dan berada dalam kelas yang tersendiri. Tafsiran liriknya adalah bergantung pada perspektif masing-masing, bukan tempat aku yang belum cukup ilmu ini untuk menjatuhkan hukum sesat atau tidak, tapi ia adalah penulisan yang menarik untuk dikupas.
Edit: Aku baru tau yang lagu ini ditulis untuk filem KL Vampires, jadi masuk akal lah tentang cinta terhalang antara dua dunia, manusia dan vampire
Tiada ulasan:
Catat Ulasan