Rabu, 15 Februari 2017

Khilaf Moden

Pagi ini, hari pertama Fatah bangun seawal 8 pagi sejak dari sebulan lepas habis SPM. Bangun pagi ,gosok gigi, mandi-mandi sambil nyanyi la la la la. Mak Fatah garu kepala sambil termenung melihatkan anak terunanya yang tak pernah-pernah berkelakuan begini, biasanya kalau ikut jadual harian selepas jam 1pm, iaitu lepas maknya siap masak tengahari baru dia bangun. Itu pun dok bergolek lagi sambil main fesbuk.

Seusai Fatah bersiap. Disarungnya baju tshirt kosong seluar ketat slim fit gaya terkini beli dekat uniklo, rambut letak pomade sikit, sikat tepi.. Fatah terus turun mengapai kunci motor ayahnya mahu keluar. "Tak makan dulu?" Mak tanya. "Takpelah mak" Jawab beliau sambil mengikat tali kasut converse hitamnya. Disarungkan helmet ke kepala slow-slow takut rosak rambut sambil mengundurkan motor keluar dari pagar otomotik rumah teres orang tuanya. "Bawa elok-elok, awak tu baru lesen L je!" Laung mak nya. "Ye la mak, along gi dulu. Semekom, Goodbai".

Trengggg teng teng! Motor EX5 itu berlalu dibawa angin sayup sayup meninggalkan deruan enjin dari kejauhan.

------------------------------------------------------------------

gambar hiasaan
Setibanya Fatah di perkarangan KLCC, port remaja-remaja bandar masa kini bersidai. Kadang-kadang berdating, ada yang main pokemon, usha awek, berselfie, tak kurang juga yang sedang joget Ravers. MasyaAllah. Fatah membuka helmetnya lantas dikemas-kemaskan rambutnya. "Boleh tahan juga pomade ni" Bisik hati beliau.

Vroooooooomm SHRIEEKKKKKK!!

Kedengaran bunyi enjin kereta yang menderu kuatnya dan kemudiannya membrek emergency. Fatah yang sedang leka membelek gambar selfie nya dalam henfon sambil bersidai dikawasan pancuran air terkejut beruk lalu mencari punca bunyi tersebut. Kelihatan dikawasan valet parking KLCC kereta wira yang siap di modify memasuki parking secara melulu, bawa kereta macam orang tak ada pedoman, logo proton di ganti dengan logo yamaha. Ntah apa-apa tah. Fatah sedikit kagum. Kelihatan seorang brader, gaya bongkak, lebih kurang hujung 20-an, baju polo, kolar tegak, berkaca mata hitam, seluar khakis pendek petak-petak, kasut crocodile. Macam nak pergi main golf. Dicampaknya kunci keretanya ke penjaga valet tu, anak muda dari Bangladesh ni terkial-kial lah nak menyambutnya dek kunci yang hampir terlepas dari tangkapannya. Tak kata apa, brader bongkak tadi terus memasuki KLCC membiarkan keretanya diurus parking oleh pemuda Bangla tadi.

Fatah rasa kagum.

Inspirasi, hadirnya menyinari. Bagaikan tali yang mengurai jatuh dari sinarnya puncak juram yang dalam dan kelam. Menghulurkan harapan pada anak muda yang membungkam terperosok dipenjuru hitam duniawi. Bersamanya digendong maknawi kehidupan dan disuluhi impian yang sudah lama tenggelam, lemas dalam serabutnya liku-liku kehidupan.

Fatah bangkit, dikibas-kibaskan punggung seluarnya.

"Satu hari, aku juga akan berjaya"

#KhilafModen

------------------------------------------------------------------

[kisah ini tidak ada kena mengena antara yang hidup ataupun yang mati ataupun yang mati akalnya]

Tiada ulasan:

Catatan Popular