Ahad, 22 September 2013

Alif Ba Ta

photo: aizuddin | edit: adeq


Langkah berdiri tegak kau atas muka bumi Allah,
Berdiri demi menegak haq menjatuh yang salah,
Bangkitlah berjuang berlandas atas qalam dan kalimah.

Isikan dalam hati, iman dan jati diri.
Bersihkan ia dari kotor berdaki.
Ubati ia dari barah berduri.

Alif Ba Ta,
Permulaan kalimah.
Penentuan kisah,
Perjuangan ummah.

Alif, agamamu.
Ba, bangsamu.
Ta, Tanah airmu.

dengar: Ramli Sarip, Tuhan Yang Tahu & BahasaTerindah | Malique ft. Jamal Abdillah, Aku Maafkan Kamu | MonoloQue, Batu Belah Batu Konkrit | Hujan, Rumah Kita

Rabu, 18 September 2013

Sabarkan Jelah Banyak-Banyak

Yang lapuk digilapkan, jangan biar habuk bersarang. Rumah biar berkitab, jemput malaikat datang menetap. Hias dinding bersama cahya berkat, biar yang hitam jauh nak lekat. Beradu atas tilam kalimah, berpupuk iman di dada tak lemah. Ujian datang badai menggempar, urutlah dada engkau bersabar.

-----------------------------------------------------------------------------

Satu malam, aku balik kerja. Usai isyak, aku lapar. Aku cakap pada emak.

"Mak, laparlah"

Mak jawab.

"03 8000 8000 sedia membantu, ey ey!"

Barulah aku mengenali erti kesabaran yang hakiki. Sabarkan ajelah banyak-banyak.

Selasa, 17 September 2013

Buku: Mudahnya Menjemput Rezeki

Rezeki: Pada Yang Hak Dan Definisi

Rezeki,
Bukan pada helaian not.
Bukan pada kilauan logam.
Bukan pada angka maya.
Bukan pada maal semata.
Bukan saja.
Bukan.

Rezeki,
Pada definisi,
Apa saja yang beri manfaat pada diri,
Walau ia kanan ataupun kiri,
Mana yang buat engkau berdiri,
Nafas yang kau hirup sehari,
Yang penuhnya perut dan hati,
Senyum di pemberian anak isteri,
Sokong dokongnya kaum famili,
Jiran-jiran yang punya pekerti,
Ilmu ukhrawi maupun duniawi,
Lubuk dagang yang disenangi,
Dan lagi,
Dan lagi,

Apa saja yang beri manfaat pada diri.

Rezeki,
Hak hakiki sang Pemberi.

Sumber: Mudahnya Menjemput Rezeki, Fathuri Sallehuddin

Bacaan Ilmiah, memberi spektrum yang lebih tentang apa itu "Rezeki"

Ahad, 15 September 2013

13 September

Genap, bertambah setahun.
Selangkah lagi, aku ke depan.
Sekian ini, aku menghampir.
Adakah layak, aku bertemu.
Dengan zat Mu, Sang Pencipta.

Di hujung mata, aku memandang.
Pada yang silam, aku berkira.
Adakah catatanku ini, yang terbaik.
Mampukah aku, menjadi yang lebih.
Pada hemat Mu, Pengampun dosa.

Di detik ini
Berkata hati
Adakah tercapai
Segala di impi

Begitu pun disitu
Bersujud aku
Menjulang syukur
Aku pada Mu

Trivia: Saya sepatutnya lahir 31 Ogos., tapi tangguh sampai 13 September sebab tak puas duduk dalam perut

Selasa, 3 September 2013

Kembali Pada Asas

Kita sering dihadapkan dengan masalah, isu, rintangan jua cabaran yang menjadi aral yang melintang ditengah jalan, dan kita sering tertanya-tanya kenapa yang melintang itu adalah aral, bukanlah seorang awek atau pakwe cun yang sedang berjemur di bawah matahari, atau emas yang berkilau-kilau, atau teddy bear gergasi, kenapa?

Tetapi kita lupa untuk bertanya soalan yang lebih penting. Bagaimana kita hendak melintasi aral tersebut. Itu lebih penting.

Balik kepada asas penyelesaian masalah. Penyelesaian masalah memerlukan pemikiran yang analitikal serta kritikal. Teknik paling mudah adalah dengan try and error. Dimana memerlukan logika otak kita untuk menganalisis setiap salah yang kita temui. Dan terus mencuba sehingga kita temui jawapannya. Logiknya bila difikirkan bila kita sering salah walau telah berulang kali menukar pemboleh ubah, maknanya punca penyebabnya besar kemungkinan adalah yang malar.

Contoh teknikalnya, jika komputer anda menghadapi masalah, dan tetap begitu walau anda telah menukar atau membaiki RAM, power supply, cooler, graphic card dan sebagainya. Bermakna permaslahatannya bermula pada objek yang malar, motherboard misalnya.

Seperti contoh, jika seorang awek telah bercinta dengan tujuh belas jejaka yang berlainan yang berbeza paras rupa, latar belakang, keimanan, panjang bulu kaki dan sebagainya. Namun malangnya setiap lelaki tersebut telah berlaku curang padanya. Inferensnya bukanlah semua lelaki adalah sama, walhal punca masalah adalah awek tersebut yang malar. 

Begitu jua jika anda mempunyai masalah di tempat kerja, namun sering mengalami masalah walau telah menukar kerja sebanyak tiga puluh sembilan kali di syarikat yang berlainan latar, ekonomi, perniagaan, susunan meja, makcik cleaner dan sebagainya. Lihat apa persamaan dari masalah-masalah tersebut, persamaan paling jelas adalah anda.

Sekian mohon ampun.

nota kecil: masalah kenaikan harga petrol?
nota lagi kecil: masalah sama dalam negara lepas 56 tahun merdeka?
  

Catatan Popular