Selasa, 7 Mei 2024

Cuti-Cuti Malaysia: The Chateau, Colmar Tropicale dan Japanese Village di Bukit Tinggi

Ini bukan kali pertama aku dan isteri ke Bukit Tinggi ni, kami pernah menginap di Colmar dan The Chateau sebelum ini dalam dua kunjungan berbeza sekitar tahun 2017. Jadi hari tu Ayra Sofea ternampak gambar kami di sana, dia tanya kenapa daddy tak ajak dia pergi castle, tapi dia lahir tahun 2018. 

The Chateau


The Chateau ni memang resort hotel yang berkonsepkan istana Perancis dalam hutan. Aku ada tulis reviewnya di SINI. Cuma dulu datang cuma berdua, sekarang dah berempat. Untuk kunjungan kali ini kami menginap disini. Harga masih sama seperti dulu dan service masih tiptop.







Colmar Tropicale

Colmar Tropicale pula konsepnya hotel dalam perkampungan Perancis abad ke-16 yang berwarna-warni dan tradisional. Dari The Chateau ke Colmar cuma dalam 200-300 meter sahaja, tapi jalannya berbukit, so berpeluh juga kalau nak menapak, jadi eloklah bawa kereta. Kedua-dua hotel ini dibangun oleh Berjaya Corporation Berhad, namun kedua-duanya mempunyai dua target customer yang berbeza. Colmar lebih mesra poket dan lebih murah, dan juga lebih terbuka untuk pelancong, The Chateau pula esklusif untuk yang menginap sahaja. Kalau anda sukakan kemeriahan boleh menginap di Colmar sebab ada bermacam aktiviti disini, ada VR, carnival games, permainan budak-budak. Dan ada 5 restoran dengan pelbagai citarasa, ada juga Starbuck dan 7e Cafe. 

Colmar juga dibuka untuk yang tidak menginap, tapi caj RM14 untuk dewasa dan RM7 kanak-kanak dikenakan.

Cuma masalah untuk Muslim dekat sini hampir semua restoran ni ada jual arak, Starbuck takde arak tapi tu lah, kena boikot, jadi ada baiknya tapau makanan siap-siap kalau tak nak pening kepala.

Walaupun kita berada di tanah tinggi, tapi suhu disini sama saja macam di bawah, mungkin kerana pemanasan global kot, jadi tak perlulah bawa jaket sejuk apa bagai.






Japanese Village


Dari Colmar/Chateau ke Japanese Village dalam 3km, ada shuttle service disediakan di depan Colmar.

Di Japanese Village, tempatnya sangat cantik dengan tema taman Zen yang tenang dan nyaman, masuk percuma, namun tidak sesuai buat mereka yang kaput atau kurang upaya, sebab memerlukan pendakian yang agak sayup, walau tak jauh tapi boleh tahan lencun bila tiba di atas. Di sini memang instagrammable dan cantik untuk bergambar, selain fotografer official yang ada, anda juga boleh menyewa kimono dan payung sebagai prop pengambaran anda. Harga untuk gambar printed adalah RM50 untuk satu set (satu frame satu frigde magnet) manakala untuk sewa kimono, dewasa di caj RM25, kanak-kanak RM20 dan payung RM10 untuk 30 minit (kalau tak ramai orang boleh kawtim lebih kurang minta lama sikit). 

Tapi servis ini kedua-duanya owner berlainan jadi tak dapatlah anda nak gambar printed dengan berkimono (mungkin boleh tapi kena berjalan jauh dengan kimono, kami tak cuba/tanya pula)








Memang seronok anak-anak dapat berjalan di tempat unik macam ni, ikutkan ada bermacam tarikan (Rabbit Park, Adventure Park, etc) lagi disini tapi kami tak sempat cuba kerana masa yang terhad. 

Gambar tahun 2017, Ayra Sofea tanya kenapa tak ajak dia

Catatan Popular