Sabtu, 13 Jun 2015

Explorasi Geng Lapo: ATV Adventure Park, Kemensah

ATV atau All-Terrain-Vehicle adalah aktiviti sukan permotoron lasak, ATV kebiasaan adalah kenderaan empat roda (ada juga yang tiga roda) ditunggang seperti motorsikal melalui trek-trek yang mencabar. Uniknya ATV ini, ia ada stabilizer yang menghalang kenderaan ini dari terbalik walau di permukaan yang curam dan mencabar.

Di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur, terdapat satu pusat iaitu ATV Adventure Park, terletak di Kampung Kemensah yang berada dalam 5km dari Zoo Negara Malaysia, Ulu Kelang. Disini ada ditawarkan berbeza pakej yang berbeza tahap kesukarannya. (boleh lihat sini)

Tanggal 13 Jun 2015, menjadi hari bersejarah dimana bermulanya explorasi pertama Geng Lapo di ATV Advendture Park. Dengan kekuatan 7 orang ahli, Geng Lapo memilih package C yang mengikut trek ke air terjun Sofea Jane dan mengambil masa dalam 2 jam untuk 2 hala termasuk mandi-manda selama setengah jam.

Gambar sebelum kejadian
Sesi latihan diberikan sebelum ke trek sebenar
"Kaki jangan turun" sesi briefing dari instructor disitu
Belum apa-apa hal, Bung dah tidur
Yang paling buat hal akan diletak didepan sekali
Mula mendaki, tipsnya jangan dipulas laju-laju throttle tu
Tiba di tapak kem Air Terjun Sofea Jane
"Appollooo!" Selingan iklan makanan ringan waffle kanak-kanak
Gaya tersendiri
Air Terjun Sofea Jane, Sofea Jane nya tak ada.
Mandi-manda dengan air paras lutut.
Siap sedia untuk turun balik
Khairul banyak kali kena marah sebab gatal nak turun kaki macam bawa EX5
Terima kasih ATV Adventure Park

Isnin, 23 Mac 2015

Cuti-Cuti Malaysia: Tanjong Jara Resort, Dungun, Terengganu

Destinasi Bulan Madu Malaysia

Sepanjang aku menjelajah keliling semenanjung Malaysia, boleh dikatakan pantai tercantik adalah pantai di Terengganu (tak termasuk Sabah Sarawak, tak habis pusing lagi). Dan Tanjong Jara Resort ini terletak di daerah jajahan Dungun, Terengganu. Letaknya cantik di persisiran pantai Tanjong Jara, 7KM utara dari pekan Dungun. Perjalanan dari Kuala Lumpur pula lebih kurang 4 jam pemanduan melalui Lebuhraya Pantai Timur, keluar di exit Kuala Dungun.

Sebelum berlangsung pernikahan aku dan isteri aku, Nor Afiqah. Aku sibuk mencari lokasi terbaik untuk berbulan madu didalam negeri. Dan memang kalau boleh mahu di dalam negeri Terengganu kerana jadual kami yang agak padat dan cuti yang terhad. Jadi jumpalah Tanjong Jara Resort ni.

Laman Web: Tanjong Jara Resort

Pengalaman pertama kami menginap di hotel 5 bintang mungkin agak sedikit kekok. Di layan seperti bangsawan walaupun masuk resort tu kami berselipar, pakai kemeja biasa saja, kereta proton je pun. Tapi servis still tiptop. Tiba di lobi kami disambut paluan gong, bellboy pantas meminta izin mengangkat beg dan barangan kami, kereta di parking kan, di jemput ke ruang menunggu untuk check-in, di hulurkan wet towel untuk segarkan muka, dihidang welcome drink. Sememangnya top-class layanan nya.

Sementara menunggu bilik kami siap dikemas, kami dibawa mengelilingi resort untuk melihat kelengkapan, restoran, dan aktiviti sekitar resort. Kawasan sekililing resort sangat bersih dan cantik. Staf disitu sangat ramah dan mesra, dari bellboy, front desk, tukang kebun, cleaner semua ramah. Kalau dia tengah kerja (sapu sampah ke, hantar barang ke) lepas tu ada tetamu lalu, mereka akan berhenti, senyum dan tegur kita. Dan tak terlalu ramah, just nice. Ada hotel aku pernah pergi, dia jumpa kita mesti nak tanya kita apa tak cukup, how is your stay, kalau sekali tak apa lagi, ini kalau dah 10 staf kita jumpa, 10 tanya soalan sama menyampah gak.

Pantai membiru, pasir putih dipantai. Bayu berhembus. Tersedia pula tempat beristirehat disekitar resort yang betul-betul mengadap laut dan ombak menderu. Pepohonan nyor melambai-lambai. Syurga dunia buat pasangan bermadu asmara.




Kami menginap di Bumbung Seaview, bilik nya luas menghadap pantai. Lengkap dengan segala ameniti, tab mandi, verandah yang luas, satu katil king dan satu katil daybed. Seni binanya berkonsepkan melayu tradisional dengan rekaan kayu menyuntikkan lebih keintiman.

Kami makan malam di restoran "Di Atas Sungei". Servis pelayan sangat baik dan makanan juga sedap dan kena dengan selera. Chef siap datang kat meja bagi rekomen makanan yang ada di situ. Seperti namanya, restoran ini letaknya diatas sungai dan mempunyai ambien yang cantik. Tapi kalau makan di luar memang jadi lauk nyamuk lah. Kita boleh juga request untuk private dinner di tepi pantai ala-ala Ombak Rindu, caj boleh cek kat sini

Breakfast memang kami ambil sekali dengan booking bilik. Buffet breakfast, setakat ini buffet breakfast yang terbaik pernah aku rasa. Makanan sedap dan fresh. Pilihan yang banyak, kawasan dining yang luas, meja banyak, tak berebut makanan banyak. Satu sebab aku suka hotel high end ni, kita tak bertembung dengan pelancong China, biasa dorang pakai agensi cari hotel murah, kalau yang pernah duduk sehotel dengan diorang ni tau la rasa dia. Makan buffet breakfast macam tak makan seminggu. Bila menjelang tengahari, matahari naik, agak panas kat sini. So pilih duduk dalam lagi baik, melainkan korang nak tan kulit.

Overall, penginapan bulan madu kami sangat memuaskan, sangat privasi nak bercinta (pantai dia private, so public tak boleh masuk), Nak acah-acah Ombak Rindu, Romeo Juliet, kat sini lah tempat dia. Kalau anda pelancong luar, berminat untuk aktiviti sekitar Terengganu, ada juga pakej yang di offer. Macam ke trip Pulau, Air Terjun, aktiviti air scuba diving, snorkelling, jetski.

Terima kasih Tanjong Jara Resort untuk pengalaman yang tak dapat kami lupakan.

[Tak banyak gambar yang layak dikongsi sebab pakai kamera cikai masa ni]

Isnin, 14 April 2014

Bilamana Lambat Kahwin Menyebab Kematian

Hamdan, seorang pemuda bujang. Berparas rupa kacak dan berbadan sasa umpama atlit. Gemar menunggang motorsikal dek kerna peningkatan harga petrol. Berkerjaya sederhana selaku eksekutif syarikat nasional swasta, menjadikan rutin hari-harinya pergi kerja 9.30 walaupun waktu pejabatnya adalah 9.00 pagi ke 6 petang. Dan pulang malam ikut suka hati dia kerana tiada bini yang menanti dirumah menyambutnya sambil hulur tuala dengan secawan kopi.

Dan hari itu, dia terlambat. Walaupun tak pernah cepat. Tapi kali ini dia terlambat dari lambat-lambatnya yang biasa. 9.30 pagi baru terjaga dari tidur kerana malamnya tadi lewat dia tidur dek melayan otaknya yang berlegar-legar ditaman cinta bersama bayangan bidadari, sambil menyembur feromon memenuhkan ruang legar mindanya dengan hormon-hormon kelakian. Jadi, dia terlewat.

Dengan mengendong hati yang bersalah, dia memecut motorsikalnya walau dia tahu lambatnya dia tak ada orang yang nak marah. Sehingga secara terkejut, berselindung dibalik terowong dan pepohon. Di balik selekoh, segerombolon polis melakukan pemeriksaan. Kejutan.

Dek kerna terkejut umpama beruk, Hamdan menekan brek emergensi hingga memalu tayar bengkang-bengkok kekiri kanan hingga betul-betul terberhenti didepan kasut berkilat polis tersebut.

"Lesen, roadtax, IC" ujar polis tersebut.

Hamdan tersengih. Sambil mengagau-gagau koceknya mendapatkan dompetnya.

"Macam mana kau boleh brek emergensi? Tak nampak ke roadblock". Polis bertanda nama Rosli itu tanya.

"Saya tak nampak road block tuan" Jawab Hamdan sambil menghulur dokumen-dokumen diminta.

"Tak nampak? Ini koman-koman 50 meter boleh nampak. Kau bawa laju ni"

"Saya dah lambat nak ke ofis ni tuan"

"Macam mana lambat, bangunlah awal. Tak ada orang kejut pagi?"

"Tak ada tuan, saya bujang lagi"

"Tu lah, kahwin cepat, ada gak bini nak kejut"

"..."

"Tau tak kelajuan tu boleh membunuh, dah. Bawa motor elok-elok". Leter Tuan Rosli sambil memulangkan dokumen-dokumen Hamdan.

Hamdan menghidupkan enjin motornya sambil berlalu pergi.

Sambil otaknya menyimpulkan. "Kalau lambat kahwin boleh membunuh"

Catatan Popular