Selasa, 27 Ogos 2013

Sabarkan Ajelah Lagi

Peralihan angin macam ini buat aku penat. Buat aku sedar bahwa aku tak semuda dulu lagi. Bercampur gaul dengan rakan-rakan baru yang tak sebaya lebih usianya sajalah buat aku rasa muda. Hari-hari rutinnya begini, keluar pagihari, pulang dinihari. Penat bukan saja di tangan kaki, tapi jua pada mentaliti. Tapi aku ikhlaskan hati, demi mencari rezeki Ilahi.

Balik rumah jumpa mak, buka kasut, bagi salam.

Salam mak jawab, lepas tu mak tanya. "Macam mana kerja hari ni?"
Sambil tu mata mak tengok tivi.

Aku hulur tangan salam mak, mak sambut dengan fokus matanya tak lari. Aku cium mak punya pipi, aku jawab. "Ok mak."

Aku labuhkan punggung disebelah mak melayan drama tivi bersiri, tak habis-habis lagi dengan cinta terhalangnya tu. Biarlah. Aku buka mulut. "Mak, hari ni abang dapat bos baru, dari Hungary"

Mak jawab "Kau bagilah dia makan"

Aku cakap "Apa kena mengena pulak mak?"

"Dah kata dia hungry, bagilah makan. Ehekhekhek" Mak jawab selamba sambil gelak nakal.

Orang kata kita bila meningkat usia ni makin bertambah tahap kesabarannya, ye dok? Sabarkan ajelah.

"Tengok bunga ni sama dengan baju mak kan?"

Isnin, 26 Ogos 2013

Kenapa Garang Sangat?

Hujung dada rasa pedih, salur tekak rasa kering, di anak tekak seperti ada kewujudan si pari-pari nakal mencucuk-cucuknya menggunakan garfu mini. Dari paru-paru menghembus satu buih, berisi perit, pedih dan jerih. Bagai menarik segala urat berurat bersamanya tika mengalir keluar dari rongga trakea selepas ditendang keluar oleh diafragma. Sepantas superbike Ninja ia sampai ke pagar gigi. Uhuk!!
Sekurang-kurangnya itulah apa yang aku bayang dia rasa, aku rasalah.

Suara comel dah tak ada, tapi oklah. Ada sikit-sikit bunyi macam Ella si ratu rock negara.

Bila suara dah tak ada, buat apa pun rasa tak kena. Pantang ada silap, membulat terus matanya. Makan pun tak ada selera. Silap-silap aku pula dicakarnya.

"Kenapa garang sangat ni?" Aku tanya.

"Rawrrr" Dia kata.

"Garangnya, tapi kiut" Aku senyum sahaja.

Sabtu, 17 Ogos 2013

Saya Sangat Comel

Miow, kehadapan makhluk manusia sekalian alam. Berlututlah kalian keatas kecomelan daku. Kehkehkeh. Pacan comey plok kitew. Tuan kitew gi datim, terlupa tutup lappy dier. Dikesempatan ini kitew ingin mengucapkan selamat hari rayew :) Meowhahahhahaha.

"Pebende? Ada aku kesah?"

Jumaat, 16 Ogos 2013

Obsesi

Obsesi aku, pada kamu.
Meniup resah, rasa gelisah.
Pada hemat itu, ku tahu, mana yang salah.
Dihening ini ku hulur maaf, biar berlalu segala amarah.

Obsesi aku, pada kamu.
Memberi rasa, mencari bahagia.
Supaya aku jadi jejaka, memancar karisma.
Punya wibawa, untuk bawa, kita ke syurga.

Izinkan aku, dan obsesi ini.
Membawa kita, selangkah lagi.
Moga dengan, izin Ilahi.
Cinta ini, terus bersemi.

--------------------------------------------------------------------

Berlatar deru ombak menghadap lautan.
Berlantai pasir bersandar di pohonan.
Berteduh cinta di bayangan kenangan.

Lagu latar : Chinta by MonoloQue

Catatan Popular