Sabtu, 28 April 2018

Pulang Ke Desa

Allah, Selamatkanlah Terengganu
Musim
Dinihari Sepi
Pulang Senja
Akar di Bumi
Setenang Pagi
Jalan Yang Lurus

Lensa: Huawei Smartphone Nova 2i

Isnin, 16 April 2018

Terengganu dan Kepok Awang Goneng

Kali pertama aku ke Terengganu adalah pada tahun 2004, rombongan sekolah ke Terengganu dan Kelantan. Ketika itu hati aku, anak muda kota raya ni dah mula tertambat dengan keunikan kedua-dua negeri di Pantai Timur ini. Rasanya lain, ada sesuatu yang buat aku terpikat. Budaya, alam semulajadi, suasana, makanan, semuanya bagi aku unik.

Aku mendapat peluang untuk lebih mengenali Terengganu bila aku mendapat peluang melanjutkan pelajaran di UiTM Dungun. Ketika itu ramailah makcik-pakcik bawang yang cakap "tak lama lagi dapat la orang Terengganu tu."

Tak diduga-duga, memang betul dapat memperisterikan anak dara Terengganu, tapi jumpa di Shah Alam. Benarlah kata orang, kalau dah jodoh, tak kan kemana. Dan peluang ini dapatlah aku alasan untuk lebih kerap ke Terengganu, dan menjadikan Terengganu sebagai rumah kedua aku.

.........................................................................


Memang menjadi rutin aku dan isteri, balik kampung ke Terengganu mesti tak akan lupa untuk tapau keropok lekor buat bekalan di rantau kota ni. Terengganu dengan keropok lekor memang tak asing lagi, kalau di tanya mana-mana warga negara Malaysia ni, apakah makanan popular di Terengganu? Salah satu jawapannya mesti Keropok Lekor, atau orang sana panggil "kepok".

Keropok Lekor Crispy Awang Goneng, sejak dua menjak ni jika berkesempatan pasti kami akan borong Keropok Lekor ni. Di Terengganu banyak lagi Keropok Lekor lain, antara yang popular ialah di Losong dan Kelulut. Special Keropok Awang Goneng ni, dia datang dalam vakum packaging yang senang untuk kami bawak balik. Lagipun tauke dia memang kawan aku dari degree sampai ke ofis.

Banyak lagi produk-produk lain dia, macam frozen takoyaki dan kuih ropa. Boleh dapatkan detail di sini. Tapi feveret kami suami isteri adalah Keropok Lekor Crispy. Memang tiap kali makan memang akan terkenangkan kampung halaman, cicah kepok sambil menikmati suasana desa tercinta. Terus rasa nak cari Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Kuah Singgang dan sebagainya.

Terima kasih Awang Goneng, lain kali kita borong lagi

Khamis, 12 April 2018

Lalang

LALANG (Imperata cylindrica)
sejenis tumbuhan kategori rumpai yang tumbuh melata
Mari mengenali jenis-jenis Lalang

1. Lalang, sejenis tumbuhan yang tidak memberi manfaat dalam agrikultural dan ekonomikal petani. Walau wujudnya memenuhkan ruang tanah dan berkongsi sumber kemandirian seperti air dan cahaya pada tumbuhan pertanian lainnya, kadang-kadang ianya berguna untuk main sorok-sorok.

2. Lalang, sejenis manusia yang tak punya pendirian. Sering memilih pendapat popular masyarakat dari berpegang pada pendapat sendiri, atau tidak memilih mana-mana pendapat dan cuma terperuk dalam dunianya sendiri membiarkan orang lain menentukan haluan hidupnya.


#JomMengundi #PRU14

Selasa, 10 April 2018

Meremang Di Lebuhraya


Muzafar, seorang pemuda yang berasal dari sebuah desa yang damai di sebuah negeri di Pantai Timur sedang dalam perjalanan, dari ibukota ke kampung halaman. Setelah 3 tahun membanting tulang di kota, mencari secebis rezeki di tanah orang. Terasa rindu akan damai desa, terngiang-ngian lagu Nyanyian Serambi dari Ramli Sarip di telinga Muzafar. Almaklumlah di kota ni sibuk berselubung asap-asap, debu-debu, dan kerakusan manusia. Sungai nya taklah nyaman seperti sungai di desa, kalau pancing belum tentu dapat ikan, silap-silap dapat mayat orang.

Menjadi lumrah hidup, manusia ni asal berjaya sikit dah mulalah takbur, riak, sombong. Untuk menunjukkan dia dah berjaya, Muzafar membeli kereta baru sebelum pulang ke kampungnya. Tak kan nak bawa motor buruk je balik kampung. Dulu masa dia masih tak berduit, zaman dia masih bawa Honda 2-seaters, takde bumbung, iaitu Honda EX5, cintanya telah ditolak Tijah, anak Pak Abu. Demi nak membongkakkan diri, Muzafar angkat Perodua Myvi satu, kereta idaman Tijah satu tika dulu, warna putih, gear auto, spec basic je, sebab loan tak lepas.

Jadi memandulah Muzafar malam itu, dia tak suka memandu jarak jauh di siang hari, panas. Lagi pula silap timing jalan jem, sebab tu dia suka memandu malam. Lepas Isyak lebih kurang jam 11 dia keluar rumah, berbekalkan minuman tenaga kukubima, choki-choki sepeket dan gula-gula hack bagi menemankan pemanduan solo beliau. Kalau ngantuk boleh mengunyah, kata Muzafar dalam hati kecilnya.

Lepas saja dari tol Gombak, kelihatan jalan sunyi sepi malam itu. Bulan mengambang penuh, tak ada awan dan bintang yang kelihatan. Tapi jalan agak terang dek suluhan cahaya sang purnama. Adalah dua tiga kenderaan kelihatan selang setengah jam macam tu. Mujur ada stesyen minyak di Lentang, sempat juga beliau mengisi minyak. Sesudah mengisi minyak, beliau meneruskan perjalanan menyelusuri hutan dan kawasan berbukit. Tiba-tiba terasa kereta beliau seakan semakin berat. Tekan punya tekan minyak, tapi tak pergi. Menjerit-jerit gaklah enjin kereta baru dia ni.

Radionya tiba-tiba senyap tak berbunyi. Bulu roma si Muzafar ni pun dah berdiri. Nak baca ayat qursi pun jadi tonggang terbalik, dia pun bukan hafal sangat. Dia pun baca saja apa yang terlintas di kepala termasuk lah niat puasa dan juga doa tidur, itupun tajwid lari. Masih berat lagi kereta tu, saat itu Muzafar mula menyesali dosa-dosa beliau, menyesal tipu bapak dia masa dia ponteng kelas mengaji dulu. Kalau tak boleh gak baca-baca apa yang patut, bisik diri nya sendiri sambil tangan menggeletar menyuakan kukubima kebibir. Kering tekak.

Dia tak berani mengerling ke cermin pandang belakang, apatah lagi menoleh ke seat belakang, belajar dari kesilapan watak-watak dalam cerita seram malaya. Mata dia hanya fokus ke jalan saja.
Peluh dingin pun menitis didahi, Muzafar dapat merasakan seperti ada yang entiti lain dalam kereta ini, yang pasti entiti tersebut bukan lipas, sebab sebelum bertolak siang tadi dia sempat hantar car wash. Basuh luar dalam, walaupun kereta baru.

"Ya Allah, kenapa berat kereta aku ni" Doa Muzafar yang ketika itu baru ingat tuhan.

"Ada hantu tumpang kereta aku ke ni berat semacam je ni" Ujar Muzafar sendiri dalam kepucatan.

"Memang la berat, kau tarik handbrake tu" Ujar lembaga berambut panjang di seat belakang sambil tangan nya dihulur ke depan membetulkan saluran radio Muzafar.

"Itulah manusia, asal berat je salahkan hantu, aku dah diet la" Bebel lembaga itu lagi.

"Sini Era.fm frequensi dia lain" Sambung lembaga tersebut lagi.

Usai saja radio mendapat frequensi yang betul, lembaga itu pun keluar menembusi bumbung kereta. Cuma dihujung-hujung kedengaran suara kecil dia mengomel "Sikit-sikit salahkan kita. Hish".

---------------------------------

nota: semak diri sendiri sebelum tergopoh kita salahkan orang (atau hantu) lain.

Catatan Popular