Selasa, 10 April 2018

Meremang Di Lebuhraya


Muzafar, seorang pemuda yang berasal dari sebuah desa yang damai di sebuah negeri di Pantai Timur sedang dalam perjalanan, dari ibukota ke kampung halaman. Setelah 3 tahun membanting tulang di kota, mencari secebis rezeki di tanah orang. Terasa rindu akan damai desa, terngiang-ngian lagu Nyanyian Serambi dari Ramli Sarip di telinga Muzafar. Almaklumlah di kota ni sibuk berselubung asap-asap, debu-debu, dan kerakusan manusia. Sungai nya taklah nyaman seperti sungai di desa, kalau pancing belum tentu dapat ikan, silap-silap dapat mayat orang.

Menjadi lumrah hidup, manusia ni asal berjaya sikit dah mulalah takbur, riak, sombong. Untuk menunjukkan dia dah berjaya, Muzafar membeli kereta baru sebelum pulang ke kampungnya. Tak kan nak bawa motor buruk je balik kampung. Dulu masa dia masih tak berduit, zaman dia masih bawa Honda 2-seaters, takde bumbung, iaitu Honda EX5, cintanya telah ditolak Tijah, anak Pak Abu. Demi nak membongkakkan diri, Muzafar angkat Perodua Myvi satu, kereta idaman Tijah satu tika dulu, warna putih, gear auto, spec basic je, sebab loan tak lepas.

Jadi memandulah Muzafar malam itu, dia tak suka memandu jarak jauh di siang hari, panas. Lagi pula silap timing jalan jem, sebab tu dia suka memandu malam. Lepas Isyak lebih kurang jam 11 dia keluar rumah, berbekalkan minuman tenaga kukubima, choki-choki sepeket dan gula-gula hack bagi menemankan pemanduan solo beliau. Kalau ngantuk boleh mengunyah, kata Muzafar dalam hati kecilnya.

Lepas saja dari tol Gombak, kelihatan jalan sunyi sepi malam itu. Bulan mengambang penuh, tak ada awan dan bintang yang kelihatan. Tapi jalan agak terang dek suluhan cahaya sang purnama. Adalah dua tiga kenderaan kelihatan selang setengah jam macam tu. Muzafar buat rilek je lah. Keadaan lancar sehinggalah dia melepasi kawasan hutan yang berbukit. Terasa kereta beliau seakan semakin berat. Tekan punya tekan minyak, tapi tak pergi. Menjerit-jerit gaklah enjin kereta baru dia ni.

Radionya tiba-tiba senyap tak berbunyi. Bulu roma si Muzafar ni pun dah berdiri. Nak baca ayat qursi pun jadi tonggang terbalik, dia pun bukan hafal sangat. Dia pun baca saja apa yang terlintas di kepala termasuk lah niat puasa dan juga doa tidur, itupun tajwid lari. Masih berat lagi kereta tu, saat itu Muzafar mula menyesali dosa-dosa beliau, menyesal tipu bapak dia masa dia ponteng kelas mengaji dulu. Kalau tak boleh gak baca-baca apa yang patut, bisik diri nya sendiri sambil tangan menggeletar menyuakan kukubima kebibir. Kering tekak.

Dia tak berani mengerling ke cermin pandang belakang, apatah lagi menoleh ke seat belakang, belajar dari kesilapan watak-watak dalam cerita seram malaya. Mata dia hanya fokus ke jalan saja.
Peluh dingin pun menitis didahi, Muzafar dapat merasakan seperti ada yang entiti lain dalam kereta ini, yang pasti entiti tersebut bukan lipas, sebab sebelum bertolak siang tadi dia sempat hantar car wash. Basuh luar dalam, walaupun kereta baru.

"Ya Allah, kenapa berat kereta aku ni" Doa Muzafar yang ketika itu baru ingat tuhan.

"Ada hantu tumpang kereta aku ke ni berat semacam je ni" Ujar Muzafar sendiri dalam kepucatan.

"Memang la berat, kau pakai gear rendah tu" Ujar lembaga berambut panjang di seat belakang sambil tangan nya dihulur ke depan membetulkan saluran radio Muzafar.

"Suka-suka kau je, asal berat je salahkan hantu" Bebel lembaga itu lagi.

"Sini Era.fm frequensi dia lain" Sambung lembaga tersebut lagi.

Usai saja radio mendapat frequensi yang betul, lembaga itu pun keluar menembusi bumbung kereta. Cuma dihujung-hujung kedengaran suara kecil dia mengomel "Sikit-sikit salahkan kita. Hish".

---------------------------------

nota: semak diri sendiri sebelum tergopoh kita salahkan orang (atau hantu) lain.

Tiada ulasan: