Rabu, 28 Disember 2011

Raut Yang Tak Mahu Aku Lihat

Ohh sakitnya rasa dalam dada. Disebalik setiap rusuk dan diafragma. Berpaksi pada susunan ruas tulang yang memangku sokongan buat jasad bernyawa. Degupnya bagaikan gempa. Deritanya teramat seksa.

Bila, raut itu kau tayangkan. Sedihnya kau, sedihlah aku. Dukanya kau, dukalah aku. Tangisnya kau, tangislah aku.

Raut yang tak mahu aku lihat.

Beri aku peluang, untuk raut itu jauh-jauh aku buang.

Selasa, 27 Disember 2011

Pemilik Hati

Aku adalah lelaki. Punya hati.
Merahnya bersalurkan bendalir darah.
Kecilnya mampu memuatkan segala dunia.
Degup-degupnya berlangsung dalam tiap waktu.
Terkadang lemahnya ia tak bermaya.
Hadirnya kau si gadis beri upaya.
Terkadang sakitnya ia seribu luka.
Hadirnya kau gadis pengubat duka.
Terkadang sesatnya ia tiada hala.
Hadirnya kau gadis haluan terbuka.

Kau adalah si gadis. Pemilik hati ku.
Terus. Jangan pernah tinggal aku.

Khamis, 22 Disember 2011

Berpantang Maut Sebelum Ajal

Mari kau! Satu persatu aku bereskan.
Setiap yang lelah, aku tak endah.
Kepala hotak yang ini berdenyut.
Sudahnya kesemua ku henjut.

Mari lagi, selagi belum sampai ajal.
Selagi belum henti nafas.
Selagi belum gelap mata.
Selagi belum sampai akhirnya.

Akan aku atasinya.

........................................................................................

Kondisi diri : [Kritikal]

Selasa, 13 Disember 2011

Epifani Pagi

Bila yang biasa hilang dari biasanya. Rasa yang lenang dulu dihempuk oleh kekalutan amanah dan percaya di mana makin lanjut waktu. Hempas pulas kau berdamping dengan mata kau yang layu mengadap entiti yang kau tak mahu. Setiap gerak kau membunyikan tulang belulang yang berkarat kerna disekian waktu terlalu lama diam terpaku. Otot-otot kejang dek tiupan angin pagi. Membuat rasa masa yang berlalu laju tanpa sepanjang ini bagai makin hampir ke akhir. Ini belum lagi akhirnya. Selesai berenang keluar dari derita yang ini, datang menanti sekali lagi. Deringan loceng ke pusingan seterusnya. Masih belum tamat lagi..

Jumaat, 12 Ogos 2011

Rasa-rasa Yang Sudah Pergi

Walau terhias dibibir nampak keterimaan rasa tidak diperlukan itu. Tak pernah dapat segumpal hati ini menerima setelah sedayanya diserah apa yang termampu. Namun balasan keraguan itu menggumam segala rasa lantas tenggelam dibalik batas kesabaran. Masa depan, tidak lama lagi menghampiri kerana yang belum tentu lagi akan terjadi, apa yang sedang menanti. Langkah ke hadapan memilih akan pilihan yang membuat rasa itu terpadam lantas pergi jauh-jauh dari susur hati dicoret dalam nota kehidupan ini.

Jelas. Tiada yang perlu diendah pada rasa tidak diperlukan itu.

Biarlah rasa itu pergi.

Hilang

Lama-lama setiap yang ada tak akan lama lagi akan wujudnya kerna ia tercipta sementara oleh belas Nya yang maha esa.

Bila kau, kau dan kau rasa akan hilangnya rasa kehilangan. Makanya, disitulah bermulanya kehilangan hakiki.

Hilang disini bukannya tiada. Cuma terlupa. Selepas dijirus lemas arus kesibukan.

Selasa, 31 Mei 2011

Keretapi

Kepala aku masih berpinar menahankan terik mentari sebentarnya tadi menusuk ke tengkorakku memanggang setiap sel-sel otakku. Dari seberang kaca lutsinar ini aku memandangkan indahnya luar sana sambil dahiku menyandar selesa menahankan getar-getar bawakan reroda keretapi yang memalu landasannya. Setiap dari desingan bunyi yang membingit melintasi cecuping telingaku lantas ditangkapnya menjadi santapan dek gegendangku. Sesekali aku menoleh ke tempat duduk di seberang sana keretapi yang sebentar tadi aku tinggalkan. Jika ditanya disebabkan apa aku memilih untuk bertukar tempat duduk. Aku akan berkata. "Ini kata hati aku."

Rabu, 11 Mei 2011

Belenggu Rindu



Rantai-Rantai Belenggu, Lepaskan Aku!

Pantang lepa sang dia dari mata. Benak ini bagaikan menggempa mencari manakan gerangan sang dia berada. Resah gelisah bagai segalanya tidak kena. Di setiap sudut yang aku pandang bagai penuh dengan wajah sang dia yang aku cinta. Di setiap masa yang berhempas bagai mengukuhkan lagi rantai-rantai belenggu ini sehingga hendak bernafas pun tiada daya. Sakit dada menahan racau kacau degupan yang membentak kuat hingga kebas segala gegendang telinga. Di tiap tika minda melayang membayang detik-detik bersama penuh mesra. 

Bebaskan dari belenggu ini, hati ini mahu sang dia.





rindu

Sabtu, 7 Mei 2011

Metafora Di Pagi Saturday

Aku rasa detik jam bagai bergerak dalam gerak slow-motion membuatkan setiap kali jarum saat pada jam mahu bergerak bagai mahu mengembara ke lain benua. Jauhnya rasa. Oh!

Dari ruang tidur berbentuk segi empat yang bertiangkan besi kosong menampung beratnya aku selama masa yang bergerak seperti mana kura-kura yang mahu melancong ke benua antartika, aku berbaring merenung rasa-rasa yang semakin kosong semakin lamanya. Kejauhan ini buat aku rasa kosong. Bagai terasa seperti disedut berulang-ulang kalinya kedalam vorteks ruang masa yang tak punya apa-apa. Oh!

Aku renung ke langit terik di sebalik tingkap yang mendung. Apakah ceritanya dia disana. Setiap cebisan buat otak ini berdenyut tak keruan. Dada ini berdetak kuat bagai ada goblin kecil sedang menendang kuat dada ini untuk mencuri hati ini untuk dibawa lari jauh ke luar negeri. Oh!

Pagi ini pagi Saturday. Hari ini hari Saturday. Hari Saturday hari biasanya kami bersama. Gurau senda. Canda mesra. Luang masa. Kami bersama. Oh!

Jumaat, 29 April 2011

Senyum Itu Aku Mahu

Kerap kali aku sesat dalam semaknya hati yang ragu, bergalaskan setiap kilo tanggungjawab di atas bahu, lemas dalam graviti sifar diruang waktu. Buat aku lupa pada sekian masa akan apa rasa nikmatnya senyum itu. Yang sebegitu. Untuk aku. 

Lepas sudah sudah aku puas mengeluh. Lepas segala dibenak ini semua yang keruh. Kerana mengecapi senyum itu yang bisa buat degup detak jantung, denyut nadi, hirup hembus nafas ini tidak seseimbang biasa. Buat aku rasa luar biasa.

"Ya Tuhan, aku berterima kasih atas kurniaan ini, kekalkanlah senyum itu terus menerus disisi diri ini sehingga aku pergi, kerna sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Nikmat." Seraya aku bertadah tangan umpama pengemis di tepian jalanan yang tiada langsung akan dayanya.

L'histoire Derrière Les Portraits

Sameer Wahnan, Shah Alam
Ameera Hannan, Shah Alam
Puteri Balqis & Sameer Wahnan, Kuala Kangsar
Muzakkir, Shah Alam
Nor Afiqah, Lendu
Naim Rahidin, Segamat
Syed Mohd Hafiz, Shah Alam
Atok & Tokcu, Bukit Jelutong
Opah, Lenggong

Selasa, 15 Mac 2011

Debu Debu Poket

Dalam cerah hari membawa gembira. Paula berjalan dengan senyum manis dimuka membayangkan kisah-kisah yang ceria yang bakal tiba. Pancaran mentari dibalik awan komunisnimbus itu memerca hangat yang mesra bertemankan dayu-dayu bayu yang menyapa sisir sisir rambut hinggakan terciptanya iklan syampoo yang menarik.

Dalam langkah perlahan Paula menyeluk poketnya. Mendapati ada debu debu sisa kisah dia yang dulu. Biar sekelumit saja yang wujud namun sudah bisa buat seketul hatinya sebak, sesak bagai mahu menghempas muka dibantal sehingga basah hangat bantal itu dibuatnya. Tapi Paula tabahkan langkah langkahnya kehadapan sambil membuang debu debu poketnya membiar ia terbang dihanyut angin berhembus syahdu.

Dalam sebak itu, dia tahu.
Dihadapannya ada kisah baru.
Yang lebih baik dari yang dulu.

Rabu, 9 Mac 2011

Manis





Manis itu biar yang punya rasa.
Yang lain biar lemas dengan kata kata mereka.
Kerna yang nyata tentang ini hanya kita sang empunya.

Rabu, 2 Mac 2011

Musim Ini

"Kelopak kelopak merah bangkit menggeliat bangun dari hibernasi yang sepi, Kicau kicau burung menyanyi bait bait lagu merdu berlirikkan kisah cinta dulu dulu, segala isi rimba berpesta sorak sorai merai dingin beku yang baru menjauh pergi memadam suram mencipta ceria, warna warna meriah indah memecah mana mana gelisah resah rasa susah membawa ceria gembira rasa cinta dalam jiwa jiwa manusia, yang seperti kita."

Musim ini, musim bunga.
Akan nanti, dia pergi.

Mari kita, menghargai.
Dan mengharap ia, datang lagi.

Selasa, 15 Februari 2011

Mencari Jam Tangan Yang Hilang

Dia dah hilang. Jam tangan aku yang bernama Bob. Bob lah yang mengendong masa-masa aku dulu. Masa-masa aku bergelaktawa bersama keluarga selepas habis diner sambil menonton cerita drama entah apa-apa. Masa-masa aku berguraucanda bersama rakan-rakan tatkala karaoke nyanyi lagu yang buat jiwa-jiwa kita rasa muda. Masa-masa aku berkasihmesyera bersama sang cinta yang utama hingga buat kaki tak rasa cecah dek dunia.

Dah tak ada. Dah hilang. Hilang. Entah ke mana. Bob dah hilang. Bersama masa-masa punya aku yang dikendongnya.

Jadi aku sudah tak ada masa.

Selasa, 8 Februari 2011

Sedih Kau Adalah Sedih Aku


Sambil aku pegang naskah yassin itu, aku dapat rasa getar kesedihan dari sedu suara yang kau lontarkan tadi. Aku dapat rasa. Sedih itu. Sama.

Sedang itu aku menciptakan plot baru dalam layar kepala aku sendiri.

"Aku, seorang lelaki yang kononnya sedang jiwa racau, gigit segala yang kacau, kenang pada tiap yang terkenang, hembus perlahan sisa karbon dioksida yang aku tak pernah minta, dongak lalu ku renung ke langit, aku mengadu pada tuhan, kerna hanya dia yang aku ada, kerna dia yang memberikan aku, kau."

Ahad, 6 Februari 2011

Abdillah Jamil Masih Seperti Dulu

Dari terik matahari yang memacak di atas langit tanpa berkawankan awan ini membentuk bebayang redup di bawah atap zink perhentian bas ini. Tapi bahangnya panas masih ada meruap-ruap hingga membangkitkan aroma tar jalan yang berbau seperti kopi hangus itu ke liang hidung Amin Makruf bin Abdillah Jamil.

Anak tunggal Abdillah Jamil ini kelihatan sedang berseorangan membuaikan kakinya yang terapung pabila dia duduk atas bangku perhentian bas itu. Bawah matanya ada air hangat mengalir ke pipinya yang terus gugur ke lantai tiap kali Amin Makruf menyedak menahan sebak dadanya. Esak kedengaran jauh di langit yang tiada awan.

Amin Makruf tanya pada fatamorgana berupa Aminah Mas'out, ibunya yang tercipta atas tar yang panas membahang. "Kenapa?"

Lantas air mata atas lantai menyejat menjadi awan berupa unikorn dan pergi ditiup angin meninggalkan Amin Makruf sendiri. Di sebuah perhentian bas.

Ahad, 30 Januari 2011

Menjadi Rajin: Menyambung Entri

Sedutan entri lepas: sini

Hm. Kata Encik Jamal.

Keletuk keletuk Encik Jamal menekan butang kekunci mesin masanya untuk menetapkan frame masa yang akan dia pergi.

Duapuluhsembilan januari duaribusebelas? Tanya mesin masa tersebut.
Ya. Jawab Encik Jamal.
Konfem eh? Tak nak tukar tarikh? Tanya lagi mesin masa tersebut.
Hm. Jawab Encik Jamal.
Oklah, sebelum nak pergi ada apaapa pesanan tak? Tanya mesin tu lagi.

Phiiiu.

Sampailah Encik Jamal ke masa silamnya, iaitu tarikh sehari sebelum tragedi Maria di langgar pemandu teksi yang sedang leka mengusha kakikaki perempuan.

Hm. Kata Encik Jamal.

Jumaat, 28 Januari 2011

Encik Jamal Dan Mesin Masanya

Encik Jamal, lelaki berumur limapuluhan ini bermenung kosong menonton mesin masanya yang diperbuat dari bahan-bahan terpakai sedang memproses data yang ditekan masuk oleh beliau. Terciptanya mesin ini dari peluh peluhnya mengerjakan bahan bahan terpakai yang dikumpul sejak berkurun lalu, beliau cintakan alam. Dan beliau tak ada bajet nak guna bahan bahan baru.

Pada tika itu Encik Jamal terkenang kembali. Bagaimana beliau mendapat epifani untuk mencipta mesin yang hebat lagi durja begitu.

Kalaulah Encik Mohsin tak bawa teksi hari tu.
Kalaulah Sabrina tak tertinggal bas rapidKL pagi tu.
Kalaulah Encik Mohsin tak usha betis licin Sabrina disimpang tu.
Kalaulah Sabrina muat pakai jenama Roksi lamanya saiz 26 tu.
Kalaulah Azlan tak guna minyak dagu kat Sabrina hari tu.
Kalaulah Azlan tak asyik nak bawa awek dia dating di Mekdi dulu.
Kalaulah Maria, kekasih Encik Jamal tak temankan Sabrina pagi tu.

Hm. Kata Encik Jamal.

Rabu, 19 Januari 2011

Ephemera

Dari celah wayar earphone keluar suara lagenda dulu dulu pekikkan suara hati meminta merayu agar tunggu sekejap, wahai kekasih.

Hiruk pikuk ini cuma ephemera.

Macam fesyen Lady Gaga.

Oh, dah dua ribu sebelas ke?

Sabtu, 1 Januari 2011

365

Aku selak satu persatu helai buku setebal dua inci itu. Aku cari penuh perinci disetiap permukaan kertas tebal itu. Tapi apa yang aku cari entah kemana tak mau mata aku temui.

Tiga ratus enam puluh lima helai kertas. Hilang. Dalam tebal tebal dua inci buku itu. Hilang. Macam chipsmore. Aku mula letak syak yang bagai bagai. Aku tanam prejudis aku pada setiap mat rempit, aku cipta benci pada semua kaki politik, aku rendam amarah pada semua minah tudung, aku, seorang aku stereotaipkan semua homosapien memang bajingan.

Semua mereka curi tiga ratus enam puluh lima helai muka surat dari diari hidup aku. Walhal apa yang aku tak tahu, sebenarnya semua helaian muka surat itu ada pada dia, sang pencinta.

Datang seorang tua berkata
"Tak perlulah kau salahkan dunia"
"Kau, seorang engkau yang pilih untuk jatuh cinta"


Catatan Popular