Hujung minggu hari tu, bosan-bosan duduk rumah masa PKP ni ternampak trailer filem arahan Khir Rahman ni, "Arwah Pak Mat, Lif dan AJK". Daripada sedutan beberapa minit tu pun aku dah boleh agak cerita ni konfem barai punya. Jadi aku order popcorn dan terus langgan filem ni dekat Astro First.
Jalan cerita dia simple je, Pak Mat meninggal dunia, beliau duduk dekat tingkat 25 Flat Seri Us. Anaknya Nordin (lakonan Joey) bersama AJK-AJK flat nak menguruskan jenazah, tapi lif rosak. Jadi diorang terpaksa bawa turun jenazah tu ikut tangga. Bermacam-macam dugaan dan cabaran mereka tempuhi selain dari cabaran fizikal nak mengangkat Arwah Pak Mat yang berat tu (lakonan Wan Gegau).
Yang aku minat dengan cerita ni banyak isu yang Khir Rahman tekankan dalam filem ni, macam isu kepimpinan, kemasyarakatan dan pemuafakatan, perkauman, kekeluargaan, ada juga isu berat seperti akhlak dan agama, tapi Khir Rahman bijak menegur penonton secara santai walaupun sinis satiranya, dan penuh jenaka-jenaka yang tak putus-putus. Kadang-kadang jenaka itu bukan pada dialog atau scene sahaja, tapi pada setting semasa seperti background, iklan-iklan yang ditampal, prop-prop yang karakter-karakter pegang dan juga diselit sedikit jenaka-jenaka spastik.
Watak-watak yang dalam ini semuanya dekat dengan kita, kaki kipas, kaki politik, pemimpin yang tak jalan kerja (tapi time mengundi baru buat-buat rajin), pembangkang yang asyik cari salah tapi tak menyumbang pada penyelesaian, masyarakat yang menilai hanya pada rupa, pengadu domba, kaki umpat, yang papa asal bergaya, macam-macam ada.
Kredit pada Khir Rahman yang berjaya membuat aku ketawa (tiga round aku tengok ulang-ulang), namun jenakanya bukan kosong, jenakanya berisi dengan pemikiran dan nilai yang perlu diketengahkan dikalangan masyarakat masakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan