Sabtu, 24 Ogos 2024

Cuti-Cuti Malaysia: DoubleTree by Hilton Damai Laut

Birthday Trip Ayra Sofea - Menginjak Usia 6 Tahun di DoubleTree Damai Laut

Pada tahun ini, kami kembali ke DoubleTree by Hilton Damai Laut untuk meraikan ulang tahun Ayra Sofea yang ke-6. Kali terakhir kami ke sini adalah lima tahun lalu, ketika Ayra masih bayi, untuk sambutan ulang tahunnya yang pertama. Banyak yang telah berubah sejak itu, termasuklah pemilikan hotel ini yang bertukar dari Swiss-Garden Resort ke DoubleTree by Hilton. 

Tempat sama ambil gambar 5 tahun lepas

Pintu masuk

Penginapan yang Berbaloi

Kami memilih untuk menginap selama 3 hari 2 malam dengan harga RM420 satu malam. Walaupun harga agak tinggi, kami berpendapat ianya berbaloi memandangkan pengalaman kami yang lepas serta kenangan manis yang ingin diulang kembali. Penginapan kali ini sama seperti yang diingati, dengan pemandangan laut yang menenangkan dan bilik yang selesa untuk sekeluarga.


View dari lobi

Map masih sama seperti dulu


Boleh sewa basikal


Mini Water Park dan Kolam Renang: Lebih Seronok untuk Si Kecil

Mini Water Park dan kolam renang masih kekal seperti dahulu tanpa sebarang penaik tarafan. Namun, kali ini lebih seronok kerana Ayra kini lebih besar dan lebih berani bermain air. Jika dahulu kami terpaksa memantau setiap langkahnya kerana masih bayi, kini dia bermain dengan bebas, berlari ke sana sini dan menikmati setiap detik di taman air mini tersebut.








Aktiviti Pantai yang Pelbagai

Pantai di sini kini diselia oleh pihak ketiga, yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti ATV, Banana boat, snorkeling, dan trip ke Pulau Pangkor. Kami juga bawa mainan pasir sendiri untuk anak-anak bina sandcastle di tepi pantai. Melihat Ayra dan adik-adiknya bermain pasir sambil ketawa riang memang menceriakan suasana.

Pertandingan sand castle paling cantik





Kid's Club dan Gym yang Dinaik Taraf

Satu perkara yang kami perasan adalah Kid's Club dan gym telah dinaik taraf. Kid's Club kini tampil dengan reka bentuk baru serta pelbagai mainan yang lebih moden, termasuk PlayStation 4 dan mini cinema untuk hiburan kanak-kanak. Gym masih mengekalkan peralatan yang sama, namun bilik persalinan dan tandasnya telah dinaik taraf dan lebih selesa.

Wayang dia lagi selesa dari dulu

Ada port main PS4

Nakal-nakal masuk sini



Gym dengan view laut

Apa yang kurang sikit

Sayangnya, beberapa aktiviti yang pernah kami nikmati semasa lawatan dahulu sudah tidak ada. Petting Animal dan Damai’s Farm telah dihentikan, begitu juga dengan permainan memancing dan menunggang kuda. Kehilangan aktiviti-aktiviti ini sedikit sebanyak mengurangkan daya tarikan bagi kami yang datang bersama anak-anak kecil.

Masalah yang kami hadapi adalah lalat yang agak banyak di sekitar kawasan hotel. Namun, kami perasan bahawa pihak hotel telah mengambil tindakan proaktif dengan memasang perangkap lalat dan alat penghalau serangga di sekeliling kawasan hotel. Walaupun agak mengganggu, usaha pihak hotel untuk menangani masalah ini amat kami hargai.

Lagi satu, kawasan Damai Laut ini memang agak dalam dan jauh dari kehidupan. Belajar dari penginapan yang lalu kami bawa makanan siap-siap andai kata tak lalu nak bayar nasi goreng RM50 dekat hotel. Kemudian kami cari makan warung kampung, mee udang ini kira-kira 15min drive dari hotel.

Warung Mee Udang

Macam ni RM16

Secara keseluruhannya, lawatan kali ini berjaya menghidupkan semula kenangan manis kami di Damai Laut, dan yang paling penting, Ayra Sofea kelihatan sangat gembira menyambut ulang tahunnya yang ke-6 di tempat yang istimewa ini. Kami mungkin akan kembali lagi suatu hari nanti, untuk mencipta lebih banyak kenangan bersama keluarga tercinta.

Tiada ulasan:

Catatan Popular