Ahad, 27 September 2009

Mengapa Perlu Berlari

Situasi: Mama, Papa dan Bob sedang menaiki kereta untuk pulang ke kampung menziarahi Nenek Bob yang sudah sakit gigi. Papa sedang memandu sambil matanya melilau mencari bahan pencuci mata di pinggiran jalan. Mama sedang sibuk bermesej dengan Datin N tentang program kebajikan mereka untuk rumah anak-anak yatim Kampung Sulawesi Utara. Bob sedang bosan.

"Papa, Mama, kenapa pak cik itu berlari"
Tanya Bob merujuk kepada seorang pak cik berseluar trek, berbaju jersi Selangor FC, berstokin yang koyak tapaknya berserta muka yang paling selekeh yang mampu wujud atas muka bumi ini.

"Oh, pak cik itu anak kepada bekas pelari pecut negara. Dulu kaki dia kudung masa kecil dan selepas bapa dia mati, bapanya telah menghadiahkan kakinya kepada anak tunggalnya. Sampai sekarang pak cik itu berlari untuk memecah rekod larian bapanya."
Jawab Papa.

Mama memandang sinis Papa.
"Bukanlah abang, dengar ceritanya. Pak cik itu ketika remaja dia telah jatuh cinta pada anak dara Haji Man. Satu hari sebuah awan yang hitam telah menculik anak dara Haji Man si kekasih hati pak cik tersebut dan terus membawanya terbang ke selatan bumi. Pak cik tersebut terus kejar dan mengejar dan terus mengejar kekasih hatinya sehingga hari ini."
Jawab Mama pula.

"Papa! Mama! Ada piring terbang dekat atas sana."
Jerit Bob lantas berpura-pura tidur.

Selasa, 22 September 2009

Manusialah

Cinta antara gadis dan dua jejaka.
Gadis berwajah bulat, berkulit gelap, bermata hitam, berbadan katek,dan sedikit gempal itu terpaksa membuat pilihan.
Untuk memilih antara dua jejaka.
Mubarak atau Fitri.
Mubarak si jejaka miskin berhati mulia.
Tatkala Fitri anak bangsawan pemenang tiga tahun berturut-turut pertandingan jejaka paling ganteng di kampung.

Dulu tiada siapa yang mahukan si gadis.Selain Mubarak.
Ketika bersama Mubarak. Terdidik si gadis menjadi wanita solehah.
Diujung silau kesolehan si gadis.
Datang Fitri yang tertarik hati akan kemulian jiwa si gadis.
Anak dara mana yang tak mahukan Fitri, si anak bangsawan.
Namun sesudah beralih hati pada Fitri.
Segala yang terlintas dihati bergolek ke tangan.
Dan si gadis sudah lupa tanah dijejak.
Terasa dirinya diawangan seperti anak merpati yang baru pandai terbang.
Yang menanti peleraian kisah hidupnya di ujung laras senapang patah. Atau disebalik keanjalan getah lastik.

..............................

Gunakanlah otak anda sebaik-baiknya.
Cipta sendiri pengakhiran kisah gadis berdasarkan imaginasi anda.

Janganlah hidup seperti kacang lupakan kucing.
Belum lagi tua untuk alzheimer,
Belum pernah terentak tengkorak untuk amnesia.
Tamak bukan alasan yang layak untuk dunia.
Orang yang tamak selalu rugi.
Bagaikan anjing dengan kucing.

[Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batik]

Selasa, 15 September 2009

Malam-Malam Pergi Sweden

Ketika Yamato berguling bosan di ruang lantai bilik bujang sambil mencampak-campak assignment yang berterabur dalam ruang otaknya yang kian malas. Rakan sebiliknya, Kenji sedang sibuk bertempur membunuh Dinosour yang cuba merampas kawasannya.

Yamato berdialog dengan telinganya sendiri.
"Kebosanan tak membunuh aku."

"Em.." Kenji menyampuk.

"Aku tak cakap dengan kau, Kenji"
Luah mulut Yamato.

"Em.." Kenji mengiyakan.

"Aku nak terbang, pergi Sweden"
Kata Yamato lagi.

"Bawa balik kek coklat." Kenji jawab.

Yamato mencampak jauh pandangan matanya keluar dari jendela bilik bujangnya. Kenji tenung mata Yamato yang tiada nampak ruang untuk dimuatkan bayangan kek coklat.

"Yamato.." Perlahan Kenji memecah kesunyian.

"Em." Jawab Yamato dan terus terbang keluar dari jendela bilik bujang mereka meninggalkan Kenji dengan harapannya.

"Jangan lupa! Kek Coklat!" Pekik Kenji.
..............................................................................

[Bila kawan mampu bertukar menjadi ATM Machine. Henshin]
Terima Kasih, Kawan.

Catatan Popular