Isnin, 25 September 2017

Trip Famili: Pulau Redang


Pulau Redang, letaknya dijajahan negeri Terengganu. Lebih kurang 1 jam setengah menaiki feri dari Jeti Shahbandar, Kuala Terengganu. Lebih kurang 4 jam 30 minit perjalanan dari Kuala Lumpur melalui LPT.

Terkenal dengan air lautnya yang biru kehijauan, pasir putih,  lautan yang kaya dengan kepelbagaian hidupan laut. Syurga bagi penggemar aktiviti diving atau snorkeling.

Al-kisahnya, famili kami dah lama tak buat family day, kalau dulu rajinlah masa geng-geng otai masih aktif. Sekarang yang otai-otai pun dah slow down relax-relax layan cucu. Dalam group whatsapp lak ramai yang mencadang, yang nak menggerak tu tak ada. Sudahnya tahun ke tahun macam tu je la, tak jalan-jalan cadangannya.

Tahun ni aku nekad, siapa nak join, join. Yang tak nak, tak paksa. Buat group whatsapp baru, invite yang betul-betul minat. Bincang dua tiga hari, terus decide pergi Redang. Gerak kerja pun dimulakan, jemput otai-otai, cari quotation, cari resort, kutip duit, cari transport, etc. Dapatlah peserta 48 orang. Muat satu bas.

Tarikh: 7/9/2017 - 10/9/2017 (ini pun 3-4 kali pinda)
Venue: Redang Lagoon

PAKEJ PULAU
REDANG LAGOON (3H2M)
Tel: +609-666 5020/18
Fax: +609-666 5019
E-Mail: admin@redanglagoon.com

Twin(2 orang sebilik) :280/person
Triple(3 orang sebilik) :260/person
Family(4-6 orang sebilik) :260/person
Bebudak(4-11 tahun) :150/person
Baby(0-3 tahun) : FREE

Pakej termasuk :
✔ Snorkeling Trip x 3 Trip (first day 1x, second day 2x) ( Excluded Equipment )
✔ Makan pagi 2x, makan tengahari 2x, makan malam 1x, BBQ dinner siap hidang 1x dan 2 x Tea Break.
✔ Penginapan bermalam di resort aircond 3H2M
✔ Tiket boat Transfer Pergi Balik (Jeti - Resort- Jeti)
✔ Aktiviti Bebas
✔ Mandi pantai

Pastu eloklah bawak sabun/syampoo/barang-barang mandi/sejadah/towel sendiri. Sebab dia tak provide atau yang di provide tak berapa nak ok. Kat bilik tak ada TV (kenapa nak TV, kalau pulau nan indah damai terbentang kat luar). Bawa roti bungkus gak nanti boleh panggil ikan datang kat kita.

Extra:
Penyu feeding - RM30-35 sorang (memang worth it, should try)
Snorkeling equipment - Goggle + Life jacket RM30
Kalau goggle yang ada power RM40 + life jacket
(powered goggle tu limited, elok bawa lens)
Marine park permit - RM5/person
Boleh sewa go pro - sehari RM60 (limited)

Bas dari KL - Jeti Shahbandar, Terengganu (pergi/balik) - RM3150/bas.
Itu tak campur extra trip (yang ni ikut milage/masa) untuk jalan-jalan beli kepok lekor apa bagai lagi. Yang naik bas ada 38 orang, Tambah extra milage sebab nak Kelulut beli kepok. So total bas jadi RM90/person.
Riuh rendah dalam bas bila famili berkumpul
Jernihnya air memang jelas melihatkan keindahan laut
Mentari terbit di ufuk timur
Lantai laut yang kaya dengan terumbu
Photobomb dari Jojo si penyu
Terima kasih, Redang Lagoon Resort
Terima kasih, Pulang Redang

Rabu, 9 Ogos 2017

Lepak Geng Lapo: Udang

Aku dan kawan-kawan sering keluar lunch sekali, kami ada satu geng yang kami panggil Geng Lapo, kerana ahli-ahlinya belum tiba waktu lunch sudah pun mengaum lapo di group WhatsApp.

Biasanya kami berlapan, cuma kadang-kadang ahlinya berkurang bergantung pada jadual masing-masing. Kalau cukup korum, memang kami akan duduk meja yang panjang atau gabung meja agar kami dapat sekali berborak, bergosip, membahan kawan-kawan, dan sebagainya.

Kadang tu waktu cuti hujung minggu atau cuti am pun kami berkumpul untuk beriadah melakukan pelbagai aktiviti (hiking, 4x4 ride, ATV ride, water rafting, etc) ataupun sekadar roadtrip biasa contohnya macam memburu durian tempoh hari.

Ada satu hari, kami keluar lunch bersama. Dalam banyak-banyak topik yang kami bualkan, adalah juga tercerita tentang durian. Aku dengar je. Bung, Aizat, Oyed, Abe duduk di separuh meja lain, diorang pun duduk dengar je, sambil main handphone, atau makan. Amad mulakan cerita tentang Musang king yang kami beli tempoh hari, Khairul kongsi tips memilih durian segar dari tangkainya. Hazim buka cerita jenis-jenis durian yang lainnya. (IOI,D24,XO, Udang Merah, etc).

Selang beberapa ketika, Abe pula buka cerita.

"Udang Laut pun sedap"

Kami pun mengangguk, tak pernah lagi dengar nama durian tu.

"Isinya putih, rasanya lemak-lemak sikit"

Kami mengangguk lagi. Mungkin spesis baru ni.

"Yang merah tu udang sungai, tak sedap sangat"

Ahhh sudah, ini cerita lain ni.

Bung tegur :"Abe, diorang cerita pasal durian tau, udang apa lak ni?"

Abe: "Laa ye ke?"

Maka berdekahlah satu kedai tu memecah suasana hiruk pikuk kota. Aku punya gelak sampai bergegar pundi kencing. Adoi.

Ini Udang Merah (durian)
Ini Udang (sejenis crustacean merah)

Selasa, 8 Ogos 2017

Explorasi Geng Lapo: 4x4 Lata Berembun

5/8/2017 -  Lata Berembun, letaknya di Sungai Klau, Raub, Pahang menjadi halatuju explorasi Geng Lapo kali ini. Ini adalah misi kami kali ke-3 ke sini, yang pertama untuk misi 4x4 dan kali kedua untuk misi memburu durian. Amad selaku ketua rombongan seperti biasa mencari port dan contact person bagi menjayakan misi kali ini. Selepas beberapa ketika menggoogle, Amad pun contact lah uncle ni, Uncle Hooi (019-9460807). Bajetnya RM240/Jeep (max. 7 orang satu Jeep) so dalam RM34 seorang lah, Amad kawtim jadi RM30, kalau nak paling cepat uncle ni reply adalah dengan call atau SMS terus, kalau WhatsApp memang alamat tak jawablah dia. Pastu kalau SMS panjang-panjang memang dia akan jawab "ok" je. Hazim lak selaku chef rombongan ditugaskan sediakan bahan-bahan untuk barbeque. Tong-tong lah sorang RM20 beli bahan makanan/alatan.

5 pagi, kami bertolak dari Shah Alam, di mana sejarah tercipta, Khairul yang biasanya paling last sampai telah sampai 15 minit awal, tu pun lepas kena kencing dengan Amad, kononnya 4.45pagi gerak. Explorasi kali ini tanpa kehadiran Abe yang masih belum recover sepenuhnya dari injury kerana eksiden motor baru-baru ini.

6 pagi, kami berhenti solat subuh di Petronas Lentang, beli jajan, air. Setelkan mana yang patut. Pastu 6.30 sambung jalan.
Sunrise di Petronas Lentang
7.30 pagi kami sampai di Raub, berhenti kejap untuk breakfast dekat mana-mana kedai tepi jalan dekat-dekat dengan simpang nak ke Sungai Klau. Masing-masing makan tak ingat dunia, Bung diwajibkan makan sama menu dengan orang lain, sebab dah ada sejarah dia sakit perut sebab makan lain dari orang lain. Nasi Lemak lauk telur dengan ayam goreng sekali dengan roti canai, dimana Oyed dan Khairul lak sibuk bersaing cara makan roti canai negeri masing-masing, Oyed dengan stail Kelate, dhal campur gula, Khairul lak dengan stail Melaka, dhal campur sambal, eloklah tu. Memang heavy breakfast kali ni sebab memang bajet jap lagi tunggang terbalik kitorang nanti atas Jeep tu.
Itu dia Khairul (kiri) dan Aizat dengan pinggan-pinggan yang telah disetelkan
8.30 pagi lebih kurang, kami bergerak pun ke rendezvous point dimana kami akan berjumpa dengan Uncle Hooi ni di BHP Sungai Klau, Lebih kurang 9 pagi, Uncle Hooi sampai. Uncle ni memang sporting, ramah dan kelakar orangnya. Walaupun SMS jawab "ok" je, tapi kalau berceloteh, memang banyak punchline dia.
Rendezvous point. Jeep 4x4 pun nampak meyakinkan.
Sebelum bertolak tu kitorang nampak lori durian lalu, belakang penuh durian. Terus kami tanya Uncle tu, ada durian tak. Uncle pun terus call member dia tauke durian untuk check, sementara tu kami loading barang dalam Jeep. Lepas beberapa minit, Uncle tu bagitau "Ok, durian ada, Musang King RM35 sekilo, gred B", Hazim try gak nego tapi uncle tu kata tak dapat murah lagi. Kitorang pun bertolak, first check point, Memburu Musang King (part 2)

9.30 lebih kurang, kami tiba di port durian. Hazim berjaya gak nego Musang King gred B, RM25 sekilo dengan tauke tu. Uncle Hooi senyum je. Nampak durian pun fresh-fresh. Banyak lori/jeep kat situ tengah load durian untuk di hantar ke Singapura/China. Kat sana memang dorang jual mahal gila. Kalau lambat ni memang melepas kitorang macam misi yang lepas tu.

Khairul try nego lak RM20 sekilo, Bung (kiri) kelihatan tak sabar nak kokak Durian 
Lepas tapau 3 biji Musang King, ekpedisi ini di teruskan (tanpa kicap Jalen). Misi seterusnya, Air Terjun Lata Berembun. Durian tak payah kopak, uncle cakap dia ada parang. Kat atas boleh makan fresh-fresh terbaik dari ladang.

Mungkin kerana baru hujan sehari dua sebelum tu, trek kali ni lebih extreme berbanding kali pertama kami pergi dulu. Tapi perjalanan kali ini tetap menyajikan permandangan bukit bukau, hutan hijau yang indah dipandangan mata. 
Sesi sharing info pasal dusun durian. 
Menghayati keindahan bukit bukau dan kehijauan pepohonan
Meredah sungai serta ranjau onak dan duri
10.30, selepas 1 jam perjalanan turun naik bukit, panjat batu tempuh lopak gelek pokok tombang masuk sungai keluar sungai. Kami tiba juga di Air Terjun Lata Berembun. Suasana nya nyaman, sejuk walaupun dah nak masuk tengahari.  Dengan Uncle Hooi ni life jacket, parang, tiub pelampung semua provided. Uncle Hooi ni memang tiptop dari segi info, kabel orang dalam durian, teknik pemanduan serta punchline. Recommended!

Kitorang setup camp, barbeque, Oyed setup drone (video disini). Pastu start bakar, pastu makan, mandi, makan balik, mandi balik sampai lebam. Air terjun sejuk, resepi chef Hazim sedap, memang layan.

Ahli Geng Lapo yang sedang lapo berkerjasama menghidupkan api
Musang king & Kambing: Nikmat Tuhan mana yang kamu dustakan
Lepas kenyang mandi manda lak sampai lapar balik
Amad yang kekenyangan terjelepuk diatas batu hamparnya
Begitulah seterusnya sehingga masing-masing tewas kekenyangan serta kepenatan. Terbit rasa menyesal sebab lepas ni nak turun bukit balik kena lalu jalan tadi, memang menyeksakan, ikutkan hati nak suruh uncle tadi balik lalu highway je. Nasib tak ada jalan masuk highway.

3 petang kami turun balik. Sekitar jam 4 petang kami sampai ke BHP Sg. Klau. Lepas siap-siap mandi singgah kejap masjid untuk solat. Memandangkan Hazim nak balik awal, ada majlis tahlil, kami pun membatalkanlah niat nak singgah Lemang Tok Ki dan GPO yang baru bukak tu.

6.30 petang kami sampai di Shah Alam.

Sekian.

Nantikan explorasi kami yang seterusnya.

Terima kasih, Lata Berembun



Khamis, 29 Jun 2017

Salam Rindu Buat Ramadhan

Semakin kita mengharung usia, semakin kita akan menghargai Ramadhan. Dan semakin kuranglah menikmati meriahnya Syawal.

Kerana Ramadhan itu lebih mesra dengan dompet kita.

Maksud aku, selain dari yang Ramadhan itu bulan berkat, terkandung didalamnya malam seribu bulan dan bulan diturunkannya Al-Quran. Penghulu segala bulan yang digandakan pahala baginya semua amalan dimana kau berpeluang memperkukuhkan iman kau yang rapuh itu. Dan bila datangnya Syawal kau tak tahu jalan mana yang iman kau pilih, samada ke atas menambah-nambah keimanan, atau kekal statik begitu, atau kembali merudum kepada iman kau di Rejab Syaaban.

Ya, maksud aku selain dari yang itu.

Ekonomik.

Rabu, 31 Mei 2017

Cuti-Cuti Malaysia: The Chateau Spa & Organic Wellness Resort, Bukit Tinggi

Pengalaman Mewah, Percutian Mendamaikan

Lokasi: Letaknya ditengah hutan tropika, di puncak Bukit Tinggi. Yang pastinya menjanjikan percutian yang nyaman. Cuma 50 minit dari pusat bandar KL melalui Lebuhraya Karak, menjadikan ia pilihan sesuai untuk weekend getaways buat para penduduk kota melepaskan diri dari sesak kotaraya. Selepas exit 805 - Bukit Tinggi, jalannya sedikit merbahaya, kawasan berbukit, jalan sempit, banyak selekoh dan ada risiko tanah runtuh/pokok tumbang dikiri dan kanan jalan, jadi pandulah dengan berhati-hati.

Resort: Sedari beberapa KM sebelum tiba ke resort ini, sudah kelihatan dari kejauhan binaan megah berkonsepkan seni bina istana Perancis. Ini menjadikan pengalaman tinggal disini lebih unik. Di kelilingi kehijauan rimba, nyaman tanah tinggi, sesekala kabus meliputi kawasan pastinya membuatkan kita terlupa kesesakan kotaraya. 



Entrance yang gah, buat kita rasa seperti memasuki dunia lain

Bilik: Kami tempah Spa Suite 1, sangat luas. Macam keluasan kondo 1 bilik. Ada kawasan verandah yang luas dilengkapi private outdoor jacuzzi dibawah gazebo dan ruang istirehat, cuma kalau nak mandi jacuzzi tu bawalah baju renang yang bersesuaian sebab walaupun ada blinder cover, still boleh nampak dari bilik ditingkat atas. Bilik air pula diasingkan untuk tandas, shower, dan bathtub. Jadi nampak macam ada 3 bilik air.


Bilik tidur dengan honeymoon deco (boleh request)
Bilik air yang luas dan selesa
Ruang terrace untuk relax dan jacuzzi
Ruang living room
Model sambilan 

Makan: Ada 2 pilihan restoran (dalam resort) dengan berlainan specialty, ada fine-dining (L'assiette), dan international all day dining (La Vie), fine-dining tu restoran 7 bintang, tapi rasanya tak ada halal certificate, sebab diorang serve alcohol dan makanan dimasak dengan wine. Tapi boleh special request dekat resort untuk halal food, chef dia akan buatkan. Kitorang cuba La Vie, ada pelbagai masakan, local pun ada. Tapi agak-agak was-was boleh ke Colmar di sebelah, ada restoran lain disitu. Breakfast disini pun tiptop dengan layanan seperti anak raja. Lagi pula katanya bahan-bahan makanan disini semuanya organik dan berkualiti tinggi. Rasanya pun sedap-sedap dan makanan sihat, berbaloi dengan harganya.


Breakfast, ada buffet dan serve
Aktiviti: Di Bukit Tinggi ni ada banyak aktiviti, ada tempat-tempat cantik seperti Japanese Garden dan France Village (Colmar Tropicale). aktiviti lasak seperti flying fox, paintball, climbing, ada juga rabbit farm, ladang kuda. Kalau nak relax-relax di The Chateau ni ada spa dengan pakej-pakej yang menarik.


Watashi wa arigato suzuki honda kawasaki yamaha

Konklusi, kalau ada rezeki, dan terasa inginkan percutian tanah tinggi yang privacy dan damai, The Chateau adalah sangat sesuai. Walau dari segi harga, agak mahal. Tetapi berbaloilah dengan servis disediakan. Kalau bangsawan bolehlah pergi tiap minggu.

May 2017, Terima kasih The Chateau

Isnin, 22 Mei 2017

Pejamkan Mata dan Skizofrenia

PEJAMKAN MATA (Malique ft. Dayang)

Sebermula maka dipaksa diam
Dengar, patuh dan terpaku tunduk
Selesakan di bawah, sujudnya rujuk telunjuk
Tenagamu kencanaku katanya fitrah gawai
Kedanamu ketawaku dekahnya hingga sawai
Berontak, dongak, lembayung ku ternampakkan
Si hering menyorak, ngoyak awan canggung dan berantakan
Dah diragut total, cinta resiprokal
Bila dipersoal kekal equivokal
Katanya tanggal tali leher itu
Cukuplah seharian digembala
Lupuskan logarithma yang menghantui kepala
Dalam tafakur, akur, sadur mimpi yang dikabur
Karektor kartun kantor dan karikatur diktator
Dikabur takbur shabab yang bermusim
Tak punya tempat di benak jiwaku jemaah mereka bermukim
Al-malik, Al-kudus, As-salam, Al-mukmin
Ubat gementar senja suara ngekor roh ke kasur
Masyghul, runsing… jah

[Chorus: Dayang Nurfaizah]
Pejamkan mata
Mata yang lesu itu
Dan mimpikan yang indah
Mimpikan aku
Biarkan gelita
Menghapus derita
Pejamkanlah matamu

(Malique)
Aku terdengar suara itu lagi
Dari tenggara namaku diseru
Disuruh hembusnya lilin di setiap empat penjuru
Katanya mata penamu tak mencoret solusi
Kata magismu takkan mampu cetus revolusi
Manusia kan sentiasa menyakiti
Yang tak membunuh buatmu kebal sehari lagi
Masa untuk koktel Lorazepam, Ambien, Risperdal
Semoga afdal bertemu di astral
Selamat tiba kita ke republik cinta
Lagenda dimensi ruang dan waktu tak bersempadan
Halaman terbentang suci, dicuci noda dan nista
Terhapus dogma dan stigma, kepincangan dan kehilangan
Arasy yang tiada penghuni mengugut buli
Tak perlukan runut bunyi, sembunyi, bersunyi sakan
Di hati dan pituitari menarinya tanpa bumi
Menyanyinya tanpa bunyi, keghaibannya kita raikan

[Chorus: Dayang]

(Malique)
(Hakikatnya nirvana di sana
Di sini masih lagi samsara
Cuba tak diperhambanya dunya
Sukar tapi aku cuba
Sukar tapi aku cuba ya)

(Dayang Nurfaizah)
Kembalikan senyuman
Serimu yang dulu
Kembali ke dakapan
Ku perlindunganmu
Walaupun gerhananya
Seakan tak berakhir
Selagi ku di sisi
Tak usah khuatir

[Chorus]

-------------------------------------------------------------------------

Rungkaian personal aku, lagu masterpiece ciptaan Tn. Jeneral, Malique secara tersurat ini berkisar tentang perjuangan pesakit skizofrenia yang diolah cantik liriknya, menusuk rapnya, disulam pula dengan merdu suara Dayang Nurfaizah.

Masyarakat kita perlu dididik dengan kewujudan penyakit ini, Skizofrenia. Yang mana acap kali pesakit dilabel, dihukum dan dihakimi. Gila, sasau, bela saka, kacau dek hantu, salah menuntut, bermacam lagi kata-kata yang sekaligus menidakkan hak pesakit untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Skizofrenia: sejenis penyakit gangguan mental akibat dari ketidakseimbangan bendalir dalam otak yang kebiasaannya berpunca dari genetik atau persekitaran. Simptom kebiasaannya adalah halusinasi, delusi, masalah dalam timbang tara pemikiran, perubahan emosi, masalah dalam menjalani kehidupan harian (hygenik)

Dalam rangkap pertama Malique bercerita tentang autoriti yang menidakkan hak, mendiamkan suara sekaligus mencetus stress (triger awal bagi pesakit skizofrenia). "KataNYA tanggal tali leher itu",  NYA disini mungkin merujuk kepada halusinasi auditori si pesakit, yang secara am nya menyuruh pesakit untuk rebel dan lepaskan tanggungjawabnya. Rangkap ini juga bercerita yang si pesakit menenangkan diri dengan ubat rohani, zikir, takafur dan meditasi sendiri. Namun suara halusinasi itu terus mengikuti nya hingga walau dalam tidurnya.

Di rangkap verse rap kedua, jelas di cerita kan suara yang terus-terus menganggu beliau. Suara yang menjatuhkan motivasi dan keyakinan diri. Inilah yang dilalui pesakit skizofrenia sehari-hari. Dalam kepala mereka terus-terusan kedengaran suara mengtertawakan, menghina, mengutuk, mencaci mereka. Pengambilan preskripsi yang disarankan dapat menghilangkan simptom ini. Lorazepam - untuk mengawal anxiety disorder, Ambien - sedatif untuk insomnia. Risperdal - antipsikotik. Lain pesakit memerlukan berlainan perskripsi, sila rujuk doktor yang berkaitan. Dan bahagian bawah verse ini Malique dengan unik menceritakan kesan pengambilan perskripsi ini dan akhir di empasis di "keghaibannya kita raikan", hilangnya halusinasi auditori tadi.

Di chorus dan verse nyanyian Dayang, saya membayangkan ini adalah suara sokongan yang tak berpenghujung, dari isteri/famili/rakan si pesakit, memberi semangat dan melupakan segala masalahnya. Dan meneruskan perjuangan untuk pulih semula.

Walaupun gerhananya
Seakan tak berakhir
Selagi ku di sisi
Tak usah khuatir

"SUKAR TAPI AKU CUBA"

[nota kaki: andaian Malique menulis tentang skizofrenia hanya berdasarkan lagu-lagu beliau yang terdahulu yang ada jelas menyebut tentang penyakit tersebut, halusinasi dan delusi boleh juga berpunca dari beberapa penyakit mental yang lain]

Rabu, 3 Mei 2017

Cantik

Razif sibuk sekarang ni, dengan ekonomi dunia yang tak menentu. Kalau dulu kerja dia asal siap bahagian dia, ok lah. Kalau tak siap pun esok-esok ada lagi. Tapi sekarang ni, dia kena jaga-jaga. Silap haribulan kang jadi penganggur segera. Kena lah bagi bos dia nampak elok je di mata bos. Tu lah, memang rutin harian Razif sekarang ni keluar rumah gelap, balik rumah gelap.

Jikalau hari-hari lainnya, Razif akan tidur awal, sebab penat seharian membanting tulang, ataupun membanting otak, memandangkan kerjanya tak guna tulang 4 kerat pun, lebih kepada mengadap komputer riba dan menyelesaikan masalah klien. Tapi hari ni ada final Champions League pukul 3 pagi, Manchester United vs Real Madrid pula tu, mana boleh miss. Jadi Razif rancang untuk berjaga malam ni.

Jam 1 pagi, sambil-sambil Razif membancuh milo di dapur, kedengaran suara dibelakang rumahnya. Suara perempuan, menangis.

"Wuuu wuuu wuu"

Berderau darah dia, mana pula datang suara perempuan tengah-tengah malam buta ni. Sebelah kanan rumahnya kosong, sebelah kiri dan belakang hutan semak. Bini nya sudah tidur awal tadi lepas tidurkan baby.

"Aishhh, jangan bukan-bukan" bisik Razif pada dirinya sendiri.

Razif pun menyelak tingkap dapurnya, di intainya laman belakang rumahnya, gelap. Dalam samar-samar kegelapan itu dia mencari punca bunyi tangisan itu.

Nah! Penanggal!

Jantung Razif kencang berdegup, kaku seketika dia disitu melihatkan makhluk yang mengerikan itu begitu hampir dengannya, di atas pokok pelam yang cuma terletak beberapa kaki dari tingkap dapurnya.

"Ke.. Kenapa kau menangis, Syaitan" Ujar Razif tergagap-gagap ketakutan.

"Aku juga adalah manusia, kerna dambakan kecantikan aku berdamping dengan syaitan" Makhluk itu menyahut.

"Ca.. Cantik?, ada apa dengan kecantikan?"  

"Perempuan dengan kecantikan."
"Se-brutal mana pun wanita itu, jauh di sudut hatinya pasti ada menginginkan untuk kekal cantik menarik tertarik kau memang the boom."
"Walau cantik itu subjektif, tapi apa yang ada ini tidak cukup, tidak akan pernah cukup. Lagikan cantik itu fitrahnya tak pernah sejajar dengan umur, umur yang memamah mulusnya kulit, montoknya tubuh, ikalnya rambut, sinarnya mata, segala yang sementara"

"Tak akan pernah cukup" Sambung makhluk itu lagi.

......

Termenung sekejap Razif, cuba menghadamkan luahan hati (bukan hati fizikal yang tergantung keluar kat kepala Penanggal tu, hati rohani) makhluk tak dikenalinya ini.

"Ahaa.. Nak cantik? Kenapa tak cakap awal-awal" Sentak Razif lantas masuk sebentar kedalam.

Seketika kemudian Razif keluar semula.

"Gunakanlah produk kosmetik cap Akak Mantap, keluaran bumiputra. Yang krim ni untuk kulit, pakai sebelum tidur, ni krim siang, sapu kat muka 3 kali sehari, yang ni toner, blah blah blah lipstik blah blah blah foundation blah blah colgate blah blah #terlajaklaris #barulahputeh....... "

Si Penanggal: "....."

Dari ruang tamu kedengaran lagu intro Champions League menandakan bola dah nak mula.

Selasa, 2 Mei 2017

Roadtrip Geng Lapor: Memburu Doyan

31/03/2017 -  Hari ni Geng Lapor (Kerul, Aijat, Hasim, Amad saja yang follow, yang lain tak join) buat kerja pandir ambil cuti separuh hari semata-mata untuk memburu raja buah - Doyan, lebih spesifik lagi - "Musang King". Dengar khabarnya dari orang dalam, Amad, selaku malim gunung merangkap anak jati Pahang, musim Doyan dah pun kembali.

Jadi Jumaat tu jam 12 tengahari kami bergerak terus dari pejabat, sumbat 5 orang 1 Myvi, dah macam sardin. Berhenti solat di Lentang kejap. Lepas setel apa yang patut, kami pun sambung gerak lebih kurang 2pm menghala ke Sg. Kerian. Kalau di ikut apa yang Amad cerita la, kat Sg. Kerian ni la tempat lubuk Musang King aka Raja Durian, bayangan durian berlambak-lambak tauke longgok tepi jalan letak dalam bakul buluh jual murah-murah sampai melimpah keluar dari bakul pastu tergolek-golek durian ke tengah jalan. Kalau dapat Musang King RM20 sekilo memang mabuk durian le aku haritu. Silap-silap siap angkut bakul bawa balik tidur bertilamkan durian kang masing-masing ni.

Keluar je kami dari tol Bentong, si anak jati Pahang ni, Amad dah momok momok kan kami dengan bayangan yang memang penuh sepanjang jalan ni dari Bentong sampai ke Sg. Kerian dengan durian. Melayankan hati yang girang ni kami pun berkaraokelah  dalam kereta tu, dengan diketuai oleh Kerul bekas lead vokalis kumpulan nasyid peringkat sekolah.

Sudahnya, hujan. Gerai ada, tapi tak sebanyak yang kami jangkakan. Lepas pekan Bentong tu ada Kedai Lemang Tok Ki, tapi tak singgah situ, sebelum kedai tu ada satu kedai Durian besar, berenti kejap tanya harga Musang King, RM70 SEKILO! mak ai kulitnya je tu pun dah sekilo, mau kunyah kulit je ni. Tapi selaku ketua rombongan, Amad memainkan peranan menenangkan kami semua. "Sabor, sabor, ni ke 'luar' lagi ni, nanti masuk kedalam lagi murah le tu, silap ada yg bagi free lagi kang"

Selepas beberapa kedai kami singgah, lebih kurang itu gak harganya, paling murah pun Musang King RM50 sekilo, D24 dapatlah dalam RM25, kalau nak murah pun ada durian lama, dapatlah dalam RM35 sekilo. Kami tak putus asa, pantang anak melayu moden menyerah kalah. Masuklah terus sampai ke Sg. Kerian.

Lagi frust, pokok nampak tepi jalan punyalah banyak, yang jual 1 pun tak ada. Lepas tanya 1 apek ni dia pun cakaplah, kena datang pagi-pagi. Biasa diorang pagi-pagi hantar pergi Singapura. Ades! Ikutkan hati  nak je park kereta tepi jalan pastu rembat yang kat tepi jalan tu.

Daripada tak dapat apa, ondeway balik tu kami pun bertanya lagilah dekat  kedai-kedai yang ada tepi-tepi tu. Jumpa juga la yang paling ok, Durian Musang King, RM40 sekilo. Jadilah..

Lepas tibai 3-4 bijik Musang King, tambah lagi 2-3 bijik D24, kami pun beli lah sikit bawa balik. Tauke kedai tu pun friendly. Puas hatilah jugak. Singgah Tok Ki jap pastu balik bersama jiwa yang tersemat dendam untuk repeat lagi.

inilah rupa durian, dari depan D24, belakang Musang King



Selasa, 14 Mac 2017

731

14/03/2015 - Sedari subuh pagi itu aku rasa seakan dunia ini sunyi tanpa bunyi. Sepi hingga tiap degup-degup jantung ini aku dengari. Di hari itu, aku melafazkan bait-bait rangkap yang menjalin ikatan indah bersama bidadari hati.



14/03/2017 - Genap 731 hari, 2 tahun yang penuh warna-warni. Moga dengan berkah hendak Nya kami kekal bahagia, cinta bersemi hari demi hari, sebegini atau mungkin lebih lagi, hingga akhir perkiraan hari, dan bersatu kembali di perjalanan alam yang seterusnya nanti.

Khamis, 9 Mac 2017

Explorasi Geng Lapo: Air Terjun Jerangkang

Air Terjun Jerangkang
4/3/2017 - Geng Lapo yang terdiri dari Aku, Hazim Oliver (chef), Kerul Si Gagak Hitam, Bung Cikabung, Amad Maling Gunung, Abe Arai, Oyedrone, Ijat Torreto bertolak seawal jam 4 pagi dari Shah Alam ke Jerangkang di Gambang, Pahang. Lepak dulu solat subuh, melepas dan minum-minum di RnR Temerloh yang dengar kata nya ada jamban dua lubang. Dan tiba sekitar jam 7 pagi disana, lalu LPT kena exit Sri Jaya, lepas tol ambik kiri dan terus sampai nampak signboard Jerangkang kat belah kiri.

Pick up point kami di sebuah kedai runcit bertentangan kedai tom yam. Jadi kami sarap dulu se round dua di kedai tom yam tu. Nak merasa nasi lemak kopi O kampung, sambil-sambil tu try cuba test go pro baru Amad baru beli, eksklusif untuk trip ni. Abe dah membebel nasi lemak telur mata dengan teh tarik dia kena RM8. Layankan je la. Aku lak boleh terlupa bayar sebab tumpang melabur jap, keluar-keluar toilet dorang dah hilang, tengok-tengok dah parking seberang jalan sebelah kedai runcit. Jam 8-9 macam tu kitorang bergerak naik 4x4 dah, lepas dah siap agih-agih barang untuk di angkat naik atas, Amad selaku ketua rombongan dah contact brader 4x4 ni lebih kurang sebulan awal untuk trip ni. Objektif trip kali ni nak relaks-relaks tak nak beriya sangat hiking sebab bulan lepas dah buat kerja gila naik Berkelah hujan-hujan, baru kenal erti penyesalan. Kiranya naik 4x4, lepas tu hiking kejap dalam sejam, then set camp bakor kambing/ayam yang Chef Hazim perap, layan air terjun, pastu balik.

Naik 4x4 ni mencabar gak, dah lah sempit, dengan pokok-pokok, turun naik bukit, jalan off road, dah macam pendatang asing dah semua. Ada 3 buah 4x4 gerak sekali, tapi lagi 2 tu group lain la, maybe diorang bermalam kat sini, kitorang balik hari je. Pukul 10 camtu kitorang sampai base Jerangkang, tengok dah ada banyak group kat situ, ada yang berkhemah kat situ, ada tengah kumpul orang.

Settle down kejap, lepas sakit bontot cramp kaki naik 4x4, kitorang bertolak panjat bukit. Kat dalam tu pun dah ramai orang, maybe dorang bermalam atau gerak naik awal pagi. Kalau nak camping memang kena datang awal lah weekend-weekend ni, takut tak dapat port cantik. Kitorang hiking sampai lebih kurang sejam, sampai jumpa port sedap sikitlah nak mandi-mandi, tapi seberang sungai tu ada group lain lak, perempuan lak tu, laki suci macam aku ni segan la nak mandi situ. Kitorang pun naik lagi la, sampai nampak port atas ni macam tak sedap je, kitorang turun balik. Air terjun kat atas ni memang cantik, tapi laju ya rabbi. Nak lak baru je jadi kes 2 budak lemas kat Berkelah baru ni, kitorang pun turun.

Park kat port yang ada group perempuan tadi, rupanya ada antara dorang tu ada yang kawan sekolah lama Kerul. Budak-budak tu yang tegur Kerul, Kerul kata dia tak kenal, dengan riak tu kata "Aku memang popular". Apa boleh buat, kawan-kawan,kan? Layankan je. Lepas tu start la upacara membakor. Menu hari ni, hotdog cheese, kambing dan ayam bakar, baked potato, coleslaw.

Makan kambing bakar panas-panas sambil celup kaki dalam air sejuk sambil menikmati pemandangan flora dan fauna memang best. Oyed bukak drone, ambil gambar dari atas, memang lawa tempat dia. Lepas siap makan, mandi-mandi, kitorang pun berkemas nak turun sekitar jam 2.30 tengahari. Kat atas digi ada line, tapi edge je la. Call brader 4x4 tu siap-siap. Target 3.30 sampai bawah.

Sampai bawah brader tu tak sampai lagi, so kitorang lepak la dulu. Dalam pukul 4 bergerak keluar. Masa ni tak fikir apa dah. Bung Cikabung seperti biasa, lepas aktiviti-aktiviti macam ni bateri dia habis so dia cop awal-awal naik 4x4 dia nak duk depan.

Sampai bawah, aku gi bayar nasi lemak yang lupa bayar yang pagi tadi lepas tu kitorang gerak ke Masjid Gambang, mandi-mandi solat jamak apa semua, kemudian bertolak ke Teluk Cempedak untuk makan malam dan main drone tepi pantai. On the way tu Aizat boleh lak terlepas simpang sebab melayankan lagu Aiman Tino.

Lepas tu dinner kat kedai ikan bakor kat Teluk Cempedak tu, menu malam tu Ikan Merah Bakor Sambal Petai (ok la not bad), dengan berhiburkan akak (ke abang?) selaku menu bergerak kedai tu. Tapi ikan bakor sampai lambat, tomyam, telur dadar, kailan ikan masin dah nak habis, baru main dish sampai. Ades.

Dan berlalulah kitorang balik sambil berkaraoke kan lagu single dari kumpulan nasyid tempatan macam Hijaz,Rabbani,Raihan, sebab Abe tak larat nak layan lagu lagho orang-orang muda, dia request lagu Sumayyah tapi tak ingat lirik.

Dari kiri: aku, kerul si gagak hitam, hazim oliver, amad maling gunung,
abe arai (chick magnet), bung cikabung, oyedrone, aizat torreto 



[cubaan menulis travelog secara santai tanpa ayat-ayat puitis]

Isnin, 6 Mac 2017

Lily Yang Terperangkap dan Basikal Baru Daniel

[ini kisah imaginasi semata]

Lily, amoi kenit molek yang berkerja disyarikat swasta, sebuah syarikat kecil perusahaan solusi IT. Baru sahaja graduasi dalam ijazah sarjana muda perkomputeran. Selaku orang dalam dunia pekerjaan ini Lily baru saja dalam proses perkenalan dengan realiti dunia yang kejam ini. Tersedak cita-citanya yang dulu nak kan rumah cantik, kereta power, petrol percuma, bangun tidur lewat jam 10pagi, rakan-rakan yang bersumpah kita buddyz selamanya. Perlahan-lahan dia telan dan berhenti seketika, dan percayakan dirinya yang semua tak semudah disangka. Suatu hari nanti, mungkin suatu hari nanti.

Lily rasa terperangkap dalam alam kedewasaan, segala tanggungjawab ini dia rasa membebankan, dan dia berharap agar menjadi budak kembali.

Daniel hari ini genap umurnya 13 tahun. Baru sahaja 2 bulan sudah beliau mula menjejak kaki ke sekolah menengah, belum pun puas beliau menikmati zaman abang-abang disekolah rendah, dah terperosok menjadi junior kembali. UPSR tempoh hari pun sedang-sedang sahaja, tak dapatlah beliau masuk ke sekolah "elit" sikit. Memandangkan ayahnya semakin sibuk nak ke pejabat lagi, nak hantar adik-adik beliau lagi, jadi ayahnya membelikan beliau sebuah basikal. Basikal biru. Walaupun begitu, Ayah tidak izinkan Daniel menyertai rakan sebayanya bermain basikal keliling kota di tengah malam hari.

Daniel rasa terperangkap dan jiwa mudanya memberontak mahukan kebebasan, dan dia berharap untuk menjadi dewasa serta merta.

---------------------------------------------------------------

Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi

Lily baru pulang dari kerja. Dia terpaksa kerja lebih masa untuk menyiapkan sedikit kertas kerja.

Daniel baru keluar dari rumah. Dia terpaksa memanjat keluar tingkap rumahnya untuk keluar tanpa pengetahuan orang tuanya.

Tanpa mereka sedar, yang seketika nanti pada jam 3.38 pagi, takdir mereka akan berubah.

Rabu, 15 Februari 2017

Khilaf Moden

Pagi ini, hari pertama Fatah bangun seawal 8 pagi sejak dari sebulan lepas habis SPM. Bangun pagi ,gosok gigi, mandi-mandi sambil nyanyi la la la la. Mak Fatah garu kepala sambil termenung melihatkan anak terunanya yang tak pernah-pernah berkelakuan begini, biasanya kalau ikut jadual harian selepas jam 1pm, iaitu lepas maknya siap masak tengahari baru dia bangun. Itu pun dok bergolek lagi sambil main fesbuk.

Seusai Fatah bersiap. Disarungnya baju tshirt kosong seluar ketat slim fit gaya terkini beli dekat uniklo, rambut letak pomade sikit, sikat tepi.. Fatah terus turun mengapai kunci motor ayahnya mahu keluar. "Tak makan dulu?" Mak tanya. "Takpelah mak" Jawab beliau sambil mengikat tali kasut converse hitamnya. Disarungkan helmet ke kepala slow-slow takut rosak rambut sambil mengundurkan motor keluar dari pagar otomotik rumah teres orang tuanya. "Bawa elok-elok, awak tu baru lesen L je!" Laung mak nya. "Ye la mak, along gi dulu. Semekom, Goodbai".

Trengggg teng teng! Motor EX5 itu berlalu dibawa angin sayup sayup meninggalkan deruan enjin dari kejauhan.

------------------------------------------------------------------

gambar hiasaan
Setibanya Fatah di perkarangan KLCC, port remaja-remaja bandar masa kini bersidai. Kadang-kadang berdating, ada yang main pokemon, usha awek, berselfie, tak kurang juga yang sedang joget Ravers. MasyaAllah. Fatah membuka helmetnya lantas dikemas-kemaskan rambutnya. "Boleh tahan juga pomade ni" Bisik hati beliau.

Vroooooooomm SHRIEEKKKKKK!!

Kedengaran bunyi enjin kereta yang menderu kuatnya dan kemudiannya membrek emergency. Fatah yang sedang leka membelek gambar selfie nya dalam henfon sambil bersidai dikawasan pancuran air terkejut beruk lalu mencari punca bunyi tersebut. Kelihatan dikawasan valet parking KLCC kereta wira yang siap di modify memasuki parking secara melulu, bawa kereta macam orang tak ada pedoman, logo proton di ganti dengan logo yamaha. Ntah apa-apa tah. Fatah sedikit kagum. Kelihatan seorang brader, gaya bongkak, lebih kurang hujung 20-an, baju polo, kolar tegak, berkaca mata hitam, seluar khakis pendek petak-petak, kasut crocodile. Macam nak pergi main golf. Dicampaknya kunci keretanya ke penjaga valet tu, anak muda dari Bangladesh ni terkial-kial lah nak menyambutnya dek kunci yang hampir terlepas dari tangkapannya. Tak kata apa, brader bongkak tadi terus memasuki KLCC membiarkan keretanya diurus parking oleh pemuda Bangla tadi.

Fatah rasa kagum.

Inspirasi, hadirnya menyinari. Bagaikan tali yang mengurai jatuh dari sinarnya puncak juram yang dalam dan kelam. Menghulurkan harapan pada anak muda yang membungkam terperosok dipenjuru hitam duniawi. Bersamanya digendong maknawi kehidupan dan disuluhi impian yang sudah lama tenggelam, lemas dalam serabutnya liku-liku kehidupan.

Fatah bangkit, dikibas-kibaskan punggung seluarnya.

"Satu hari, aku juga akan berjaya"

#KhilafModen

------------------------------------------------------------------

[kisah ini tidak ada kena mengena antara yang hidup ataupun yang mati ataupun yang mati akalnya]

Isnin, 13 Februari 2017

Paradox Dalam Pemilihan

Adakah apa yang kita pilih ini, betul?
Jika ada dua lorong, keduanya nampak sama. Yang mana satu kita pilih?

Walaupun kita pilih kanan dan akhirnya menemukan jalan mati, mengulangi pemilihan dua lorong ini tadi adalah satu proses pemilihan yang lain secara keseluruhannya. Kita masih perlu memilih, untuk mengulangi ke jalan mati tadi atau memilih ke kiri, yang mana tidak pasti lagi kesudahannya. Sekurang-kurangnya kau tahu yang kekanan tadi jalan mati. Manusia macam kita ini lebih gemar bergantung pada anekdote sementara berbanding dari bekalan bukti yang ahli. Mungkin datang seorang yang ahli, pakar, bertahun dia mengkaji 2 jalan ini, dan dia katakan pilihlah yang kanan, tapi kita sudah melaluinya tadi lantas kita bangkang sebangkangnya dan berkeras memilih mengikut gerak hati, ketersediaan heuristik, dari memori dalam jangkau kita. Mungkin pilihan itu benar, mungkin tidak.

Selagi mana kita tidak melakukan pilihan, statik. Segalanya mungkin.

Jadi adakah pilihan yang sebenarnya adalah dengan tidak melakukan sebarang pilihan?



-------------------------

Untuk memilih, yang mana perlu kita pilih.
Bila pilihan terbentang itu berlebihan.
Atau bila kita sentiasa merasa pilihan yang lain lebih baik dari yang sekarang.




Nota kecil: Entah, aku pun tak faham apa aku merapu ni.

Rabu, 1 Februari 2017

Megalomania

Jadi. Syamsul ada tanya,
"Kau fikir kau siapa?"

--------------------------------------------------------------------

Merasa dirinya yang terpaling hebat. Konon-kononnya. Obses dalam mendominasi dan mengeksploitasi. Berangankan cakerawala ini ber-orbit mengelilingi dia sebagai paksi. Menyangkakan peribadinya maksum sempurna tanpa tersedarkan naluri narsistiknya itu menjengkel lagi jelekkan pada pandangan orang lainnya disisi.

Walhal, tanpa dia sedar, segala itu cumalah ketidakseimbangan bendalir kimia dalam otak kecilnya.

Khamis, 26 Januari 2017

Explorasi Geng Lapo: Air Terjun Berkelah

waterfall
Hutan Lipur Berkelah

berkelah waterfall

Dengan berhujan basah, penat lelah, rintang berliku lagi berhelah, adrenaline mengalir membuang resah, berkerjasama mengharung yang susah, sampailah ke puncak Air Terjun Berkelah. Tersergam disana pemandangan indah, pepohonan hijau damai terserlah, air terjun yang menderu dari balik bebatu nan gah. 

Salam perkenalan pada Bumi, baru kenal diri yang kerdil ini. 

---------------------------------------------

UPDATE: Air Terjun Berkelah, letaknya di daerah Gambang, Pahang. Mengambil masa kira-kira 3 jam perjalanan dari Kuala Lumpur, melalui Lebuhraya Pantai Timur dan keluar di exit 827, persimpangan Sri Jaya. Selepas dari plaza tol Sri Jaya, ambil simpang kekiri dan kira-kira 13km akan ada simpang ke kiri untuk ke Berkelah. Simpang tersebut berhampiran dengan Masjid Kampung Gelugor. Selepas simpang tersebut anda akan memasuki jalan kampung dan seterusnya offroad sebelum sampai ke tapak kem.

Dari tapak kem, anda perlu hiking untuk ke puncak air terjun, yang mengambil masa kira-kira 2-3 jam perjalanan. Semoga maju jaya.

25 orang, explorasi outdoor teramai yang kami pernah anjurkan

Cuaca yang tidak sesuai untuk mendaki, kelajuan air dan
trek berbatu membuatkan trek agak licin dan merbahaya

Sebahagian dari Geng Lapo yang hadir

Trek sempit bersebelah dengan jurang dalam,
silap langkah padah menerkam

Alhamdulillah semua selamat berkat doa dan kerjasama peserta 

Rabu, 18 Januari 2017

Tutup Sebelah Mata

Amin hirup udara yang nyaman dipagi itu sambil duduk bersandar pada pokok sambil berbantalkan lengannya. Dari tempat dia berehat, dapat dia perhatikan kumpulan biri-biri berbulu gebu macam cotton candy makan rumput dan bermain kejar-kejar dikaki bukit. Padang hijau melata dengan permaidani hijau permai menyelimuti bukit amat sesuai bagi Amin, si pengembala kambing untuk mengembala.

Selang seketika, datang seekor makhluk naik belon udara panas. Dari jauh nampak macam jin, atau jembalang. Mukanya hodoh. Pakai topi nazi, dan sangat rasis. Tapi badannya gedempol dan ketot. Amin benci makhluk kemetot.

"Oiiiiiiii" Laung si jembalang dari atas.

Amin pandang.

"Oiiiiii, cabut weh.. ada serigala kat situ" Laung si jembalang lagi.

Amin pandang lagi, dia buat bodoh. "Hantu punya jembalang, nak game aku lettew, dah la pakai seluar Levi's, yahudi tu" bisik hati Amin.

Amin keluarkan telefon pintarnya, ambil video dan post di facebook

Dia taip status: "Jembalang laknat cuba merogol biri biri, 1 like = 1 doa kematian jembalang tersebut, ketik like dan share #mohonviral #rogol #biribiri #jangankataabangtakpayung"

Puas. Amin senyum, belon udara tadi dah berlalu.

Sementara itu, tiga ekor biri-biri Amin telah diculik oleh sindiket Serigala Malam yang terkenal dengan aktiviti pemerdagangan organ.

--------------------------------------------
We all create a narrative based on what we think is important.We see what we want to see. But just because you're not looking at something, doesn't mean it's not there. (Angela Zamparo in Imperium, 2016)

Ramai yang mahu jadi Tuhan, menjatuh hukum sebelum jelas pun kebenaran. Ramai yang berhenti mendengar, hanya kerana yang berkata-kata tidak sehaluan pada warna kulit, kepercayaan, aliran politikal yang mendengar. Lantas dicantas selumat-lumatnya sehingga tak tersisa sedikit pun kebenaran itu. Dan dipilih hanya pada yang memenuhi ruang sempit benaknya. 

Khamis, 12 Januari 2017

Perjalanan: Mula

Pergi kerja, balik kerja. Faiz bosan, hari demi hari berlayar dalam sungai rutin yang sehala dan linear. Walau dibenak fikiran beliau kadang terlintas untuk persetankan segala, namun beliau terus mengharunginya. "Tanggungjawab, komitmen, ekspektasi, yang memaksa aku mengharung semua ini", bermonologue beliau sendiri.

Tetapi sampai bila?

Faiz berasa yang kebosanan ini akan perlahan-lahan membahamnya, membawanya kepada kematian, kematian inspirasi, motivasi anjakan nilai diri. Dijerut ketat dengan lilitan responsibiliti menyesakkan respirasi. Dengan permainan ilusi ruang selesa yang sementara, membuat beliau leka dan terus menelan kebosanan ini dengan alasan-alasan cliche semata.

Lelaki yang dulu berimpian, wawasan dan dahagakan cabaran. Lenyap perlahan-lahan, pudar umpama gelap menelan senja.

"Aku perlukan adventure" bisik Faiz pada dirinya dalam nada tegas membangkitkan semangat diri.

Mungkin suatu hari, bangun pagi si Faiz ini, persetankan segala rutin yang membosankan ini. Kopak dadanya, sauk tangan kedalam kerangka dada, gapai jantung yang berdegup dan pamkan darah dan bangkitkan adrenalin dan lari serata penjuru dunia dan jeritlah beliau sekuatnya, "Aku bebas!"

..............................

Bebaskah kita?
Atau masih dibelenggu sekatan rutin sendiri?

Rabu, 11 Januari 2017

2017

Tirai layar dilabuhkan
Berlatarkan ulang tayang dipaparan
Perlahan tenggelam disebalik tirai
Meninggalkan audien tergapai-gapai
Cipta konklusi dari apa disaji
Dengan kolektif informasi tadi
Persembahan seterusnya dimulakan
Tidak menunggu siapapun yang ketinggalan

---------------------------------------------------------------

Hidup berpaksi ekspektasi
Letih lelah lupa apa di impi

Catatan Popular