Isnin, 24 September 2018

Review: One Two Jaga

Disklaimer: filem ini tiada kaitan dengan lagu Elizabeth Tan

"Polis and thief, one two jaga,
Polis mati, pencuri jaga"

Naskah segar yang datang dengan sindiran pada realiti pahit negara kita ini, datang tepat pada masanya dengan semangat Malaysia baru yang masih berdegar-degar di bulan kemerdekaan pasca pilihan raya yang bersejarah kali ini. Isu yang nak diketengahkan dalam filem ini adalah isu rasuah/makan suap/peras ugut oleh anggota polis, ini bukanlah isu baru, semua orang tahu dan ada yang pernah mengalaminya pun. Cuma tidak ada yang berani untuk tampilkan. Itulah rangkap lagu "Polis mati, pencuri jaga" yang dinyanyikan sekumpulan kanak-kanak diawal filem bagi aku sangat mendalam ertinya.

Plot, aku agak terkejut sebab aku jangka ini adalah filem deep (which is my favourite) yang memerlukan penonton berfikir. Tapi tak, plot dan jalan ceritanya simple dan mudah difahami yang dipadatkan didalam filem berdurasi 80minit ini. Dan diselit twist-twist yang tak dijangka. Cuma aku agak terganggu dengan tapisan-tapisan pada carutan dan sesetengah isu sensitif lain yang dimainkan didalam filem ini. Kalau dapat tengok yang tak tapis punya mesti lagi layan. Lagi satu ini lebih pada genre jenayah (yang mana jarang-jarang ada di Malaysia) jadi scene aksi tu tak banyak pun. Jangan ingat ini macam filem aksi gaduh-gaduh macam Polis Evo, KL Gengster lak. Aku nampak Nam ron lebih nak menampakkan realistik, jadi cara bercakap polis-polis pun macam orang biasa je, tak macam Gerak Khas tu.

Antara sebab aku lain aku suka filem ini tak lain tak bukan sebab line-up castnya. Semua pelakon favourite aku yang mantap-mantap, yang bagi aku berjaya menyampaikan mesej-mesej masing-masing.

Bersuntikkan skor muzikal dari semangat indie seperti Tanah Tumpah Darah (DISH), Prindu (Laila's Lounge) dan Tembak Tepat (Iqbal M.). Sememangnya membawa filem ini ke satu dimensi yang asing tetapi dekat. Bersesuaian dengan tema dan mood filem ini yang gelap dan depressing.

Aku bukan pakar filem pun nak kritik, review banyak-banyak. Tapi aku terpanggil nak tulis review ni sebab aku rasa rugi sebab aku tengok wayang hari tu hari ahad, boleh nampak penuh kat depan sinema ni. Tapi bila masuk panggung tak sampai separuh pun seat terisi. Couple yang duduk depan aku nampak sibuk bercinta, tak sampai separuh movie diorang dah keluar.

Apa pun good job Nam ron, Bront and the team.

Aku bagi 7.5/10

Khamis, 13 September 2018

Hari Lahir

Tanggal 13 September.
Menjadi lumrah notifikasi di telefon pintar kan menderu-deru dengan ucapan hari lahir dan doa yang manis-manis, terima kasih facebook dan applikasi pintar lain yang memberi ingatan acap tahun akan hari bersejarah ini.

Ingin aku ucap terima kasih tak terhingga buat emak yang melahirkan ku dan juga ayah yang membesarkan ku. Bertambah umur setahun lagi bukanlah satu pencapaian untuk aku, tapi ku harap apa yang ku lalui dan capai di setahun yang bertambah ini sedikit sebanyak memberi bahagia dan bangga buat emak ayah tercinta. 

Di usia 29 ini, tahun 2018 aku kehilangan seorang ayah, dan aku juga menjadi seorang ayah. Sekaligus mengajar aku erti hidup diantara kelahiran dan kematian. Kecapilah setiap detik yang berlalu ini dengan bahagia berteman sanak keluarga serta teman-teman.

Hiduplah sehidup-hidupnya, jangan mati nanti kau dilupa

Khamis, 6 September 2018

Pesan Ayah

Budak: "Pakcik ni ustaz ke?"

Ayah: "Pakcik bukan ustaz, pakcik baru nak start"

Seorang anak kecil bertanya pada ayah aku, yang kelihatan asing baginya kelihatan kemana-mana berjubah berserban.

Ayah pada ketika hayatnya pernah berpesan, beliau gemar menyelit pesan dicelah-celah perbualan-perbualan kosong kami anak-beranak. Berikut antara kompilasi pesanan beliau (kalau ada aku ingat lagi akan aku update dari masa ke semasa)

...

"Perangai kita ni, cerminan macam mana akhlak kita dalam solat, macam tulah perangai kita dalam kehidupan seharian ni.Yang khusyuk, fokus, tawaduk, rendah diri, tepat masa, yang itulah kita bawa dalam hidup kita. Yang sambil lewa, endah tak endah, lewat, yang itulah kita bawa dalam hidup kita."

...

"Penyakit tu makhluk,  doktor pun makhluk, ubat pun makhluk, Allah itu maha Pencipta. Sakit tu Allah yang cipta, ubat pun Allah cipta, doktor pun Allah cipta. Jadi bila makan ubat, jumpa doktor bila sakit, kenapa kita letak iman dan yakin pada makhluk. Jadi sebelum makan ubat bacalah:

Bismillahiys Syafi
Bismillahil Kafi
Bismillahil Mua'fi
Bismillahil lazi la yadurru ma’asmihi syai’un fil ardi wa la fis sama’i wa huwas sami’ul ‘alim

semoga iman dan yakin kita tetap pada Allah yang menyembuhkan dan tak jatuh pada syirik kecil yang yakin makhluk itu menyembuhkan"

...

Nak beramal soleh itu sebenarnya senang, nak ikhlas itu susah. Contoh, sedekahlah kipas dekat masjid, dapat pahala. Tapi nak JAGA IKHLAS tu yang susah, bila-bila Allah boleh tarik pahala tu kalau hilang ikhlas tu, katalah satu hari kau tidur di masjid tu, sekali kena halau dengan tok siak, terdetik di hati kau, "dia tak tahu aku pernah derma kipas kat sini", automatik hilang pahala kau derma tu.

........

Dari Abu Hurairah r.a berkata,  Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

“Apabila mati seseorang anak adam itu .. maka akan terhenti segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang membermanfaat, doa anak – anak yang soleh

Semoga dikesempatan post blog ini, pesan ayah ini dapat memberi manfaat pada pembaca walau sekelumit, seterusnya menjadi bekalan amalan beliau di sana bertemu Tuhan.

Rabu, 5 September 2018

Ayra Sofea

Ayra - ay/ra - mulia, dihormati
Sofea - so/fe/a - cantik, menawan, suci

Dalam dunia yang masa kini, dimana kehormatan pada wanita kian menghilang. Harapan papa agar Ayra menjadi wanita yang dihormati dan menghormati martabat dirinya. Dan Sofea telah pun menawan hati papa dan mama semenjak dikau dikandung rahim lagi. Semoga Ayra Sofea menjadi penyejuk dimata, penawar dihati papa dan mama.

.....

14hb Ogos 2018 6pm
Jadi usai kerja, papa bergegas dari Shah Alam ke K.Terengganu untuk menjenguk mama. Jangkaannya kamu akan bersalin minggu hadapan atau mungkin sedikit awal. Mama telah sarat 39 minggu tapi tak punya apa-apa tanda hendak bersalin lagi, harapan papa dan mama mungkin sempat untuk bawa mama makan sedap-sedap sebelum berpantang.

15hb Ogos 2018 5am
Papa tiba di depan pintu rumah opah, mama telah pulang awal 2 minggu lepas sebabkan takut kamu akan keluar awal.

15hb Ogos 2018 7am
Papa bawa mama untuk rutin check-up di klinik kesihatan, selesai saja mama beritahu papa doktor nasihatkan ke hospital hari ini untuk serah diri.

15hb Ogos 2018 11am
Mama dan papa serah diri di hospital, dan mama dimasukkan ke wad seterusnya di induce untuk menjemput kamu keluar ke dunia ini. Papa tak tidur lagi sejak dari malam tadi memandu jauh.
Tapi seharian ini mama dan papa masih tenang bergelak tawa tak menjangka apa yang akan melanda nanti. Sempat lagi mama minta papa carikan takoyaki dan kuih ropa sebab mengidam.

15hb Ogos 2018 11pm
Semenjak mama kena induce dari siang tadi hanya contraction kecil saja dirasai, mama masih boleh senyum. Dan tiba-tiba air ketuban mama pecah. Dan doktor dan nurse menjalankan kerja mereka dengan tenang untuk memastikan mama dan kamu selamat. Doktor kata kamu dah buang air besar dalam perut, tapi keadaan masih terkawal dan degupan jantung kamu masih normal.

16hb Ogos 2018 2am
Mama disorong ke bilik bersalin, sejam kemudian papa dijemput masuk temankan mama. Kami masih tenang, bergelak tawa melayankan suasana hiruk-pikuk bilik bersalin, jerit teran dan tangisan bayi bersahutan dari masa ke semasa. Papa dan mama tak henti-henti berdoa dan zikir menanti saat tibanya masa kami. Masa berlalu dengan panjang disitu, hanya kami berdua. Cuma selang beberapa ketika akan datang doktor atau nurse memeriksa keadaan mama dan kamu.

16hb Ogos 2018 5am
Doktor cakap tiada perkembangan pada mama dan kamu, masih statik. Tapi jantung kamu masih normal. Tapi contraction mama semakin kuat, sakitnya itu hanya mama dan Allah saja yang tahu. Papa hanya mampu membisik zikir dan doa memujuk mama untuk bertahan. Doktor kata tunggu lagi 3 jam, jika tiada perkembangan mama akan disorong ke dewan bedah, risaukan kamu lemas kerana air ketuban dah pun kering.

16hb Ogos 2018 8am
Mama akan dibawa ke dewan bedah selepas masih tidak banyak perkembangan selain dari contraction yang kuat, papa diminta tunggu diluar bilik bersalin. Kemudiannya papa temankan mama diusung kedewan bedah. Dan perjalanan itu terasa sangat panjang, macam sedang melintasi gurun sahara lamanya. Papa diminta tunggu didepan dewan bedah, setelah papa merestui dan maafkan segala salah silap, mama sempat tersenyum pada papa dalam kesakitannya itu. Papa seka airmata dibias pipi mama, mama kuat.

16 Ogos 2018 8.51am
Lahirlah kamu, Ayra Sofea binti Muhammad Aizuddin.

.....

“…Rabbana hab lana min azwaa jina wa dzurriyyaatinaa qurrata a’yuun. Waj alna lil muttaqiina imaamaa.
 (Surah Al-Furqan Ayat 74)

Maksudnya: …Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Catatan Popular