Selasa, 17 Disember 2019

Misi 2019: 12 Buku

Setahun lepas, aku memaksi azam buat tahun 2019, "Satu bulan, satu buku" bagi aku agak realistik memandangkan dengan kehadiran Ayra Sofea yang pastinya agak sukar mencari celah-celah waktu untuk membaca. Kerana apa azam ini? Kerana membaca membantu menjaga kesihatan minda, jika untuk sihat fizikal badan, kita beriadah dan bersenam, dan untuk sihat minda, dengan otak yang juga organ terpenting dalam biologi badan kita, senamannya adalah membaca.

Dengan membaca kita dapat menghindari penyakit lupa di kala senja usia seperti dementia dan alzheimer. Kita juga dapat menyelusuri susunan kata yang dikumpul penulis dari bertahun-tahun pengalaman dan imaginasi mereka dan dimampatkan dalam naskah beberapa ratus muka surat ini untuk diterapkan dalam otak kita agar otak kita terus aktif bekerja dan terus mempelajari sesuatu, hendak-hendak lagi di kala zaman gajet berleluasa kini.

Pilihan buku aku buat secara randum, tidak spesifik. Kerana aku tak mahu terlekat pada satu genre dan jenis bacaan yang aku suka saja dimana sebelum bahan bacaan aku lebih kepada fixi, puisi, zine dan komik, bacaan anak muda hingga aku terperangkap dalam kotak yang sama dan tidak berkembang. Jadi kali ini aku pelbagaikan bahan bacaan, mana tahu akan jumpa permata yang tak tersangka, karya yang memikat jiwa.

Azam 2019: Satu Bulan, Satu Buku
Jan: Alex Ferguson: My Autobiography

Untuk rebiu buku ada aku buat secara ringkas di goodreads.com

Ahad, 8 Disember 2019

Cuti-Cuti Malaysia: Hotel Equatorial Penang

Best View in Town

Sumber foto: traveloka
Jikalau anda mencari hotel dengan pemandangan yang dihiasi 2 mercu tanda Pulau Pinang, Jambatan Pulau Pinang dan jambatan terpanjang di Malaysia, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, dan juga dihiasi lapangan padang golf menghijau serta suasana urban kota Penang yang bergemerlapan dengan kerdipan neon digelap hari, disinilah tempatnya, Hotel Equatorial Penang. Itu pun jika anda tidak kisah dengan harganya, walau agak mahal (purata harga RM300-400/malam) buat marhaen seperti saya, tapi pengalaman penginapan serba mewah dan selesa memang padan dengan taraf 5 bintangnya. Lokasinya di Bukit Jambul, memandangkan kebanyakan tarikan di Penang ada diatas pulau ini, jadi tidak menjadi masalah untuk anda kehulu-hilir memandu dari hotel ini.

Antara tarikan lainnya adalah varieti restoran yang ada disini dan juga kolam renangnya yang luas di sekitar taman rekaan yang menenangkan. Ketika kami bersiar-siar sekitar hotel, saya perasan yang terdapat pejabat-pejabat korperat di tingkat bawah dan kelihatan seperti bilik konferens/mesyuarat di tingkat atas-atas sekitar hotel ini. Mungkin hotel ini menjadi tumpuan buat trip bisnes dengan lokasinya bersebelahan sahaja dengan padang golf (bayangkan dato'-dato' bincang bisnes juta-juta sambil main golf).

Untuk bilik, walau dengan dekorasi dalaman yang minimal, tetapi segala kelengkapan mencukupi. Kemuncak utama biliknya adalah pemandangan dari balkoninya, tambah lagi tika 2 jambatan di horizon dilimpahi cahaya hening dari terbitnya mentari. Terima kasih juga buat pihak hotel yang menyediakan dekorasi bulan madu (walau anak dah satu) buat kami suami-isteri untuk mengembalikan sinar bibit cinta kami kala muda remaja dahulu. Servis yang disediakan juga bertaraf 5 bintang dengan layanan dari penyambut tetamu hinggalah ke pengawal keselamatan, semuanya mementingkan keselesaan tetamu, murah senyuman dan sedia membantu bila diperlukan.


Jumaat, 6 Disember 2019

Transformasi Manchester United



Hampir setahun sudah Ole Gunnar Solkjaer mengendali kelab bola sepak Manchester United, walau beberapa bulan dari itu cuma pengurus interim sahaja. Namun sudah kedengaran suara-suara dari peminat di media sosial yang mahukan Ole di pecat dek kerana prestasi turun naik kelab musim ini yang melihatkan Manchester United berada dikedudukan ke-6 dalam liga selepas 15 perlawanan, ketinggalan 7 mata dari Chelsea di tempat ke-4, dan 22 mata dari Liverpool selaku pendahulu liga.

#OleIn #TrustTheProcess

Pendapat peribadi aku, kita selaku peminat perlu memberi masa kepada Ole kerana usul-usul yang berikut.

1. Pertukaran pengurus dipertengahan musim tidak memberi manfaat pada pasukan yang kini masih dalam tempoh transisi perubahan struktur dan falsafah. Walau Pochetino, Niko Kovac dan Unai Emery baru sahaja dipecat kerana prestasi kelab yang kurang memberangsangkan oleh Tottenham Hotspurs, Bayern Munich dan Arsenal, tetapi pengurus-pengurus tersebut telah mengurus kelab mereka untuk beberapa musim, Sedang ini adalah musim pertama untuk Ole (secara rasmi, musim lalu Ole bermula dari tengah musim)

2. Ole baru memperoleh 2 jendela perpindahan iaitu pada Januari dan Jun 2019 dan baru menandatangani 3 pemain, Aaron wan-Bissaka, Harry Maguire dan Daniel James. Dan ketiga-tiga mereka mempersembahkan pemainan yang memberangsangkan di setiap pelawanan dan antara pemain terbaik musim ini di Manchester United. Ole juga dalam proses membersihkan skuad beliau dari pemain-pemain yang tidak menepati kualiti pemain Manchester United atau mereka yang bermain untuk nilai monetari dan bukan untuk lencana didada. Namun setakat ini Ed Woodward dan lembaga pengarah United gagal memberi Ole pengganti buat pemain yang pergi.

3. Peningkatan dari segi corak permainan, ini dapat dilihat Ole gemar bermain dengan taktik serangan balasyang pantas dari Rashford, Martial, Greenwood dan James. Taktik ini amat berkesan keatas lawan yang gemar menyerang tapi kurang efektif pada lawan yang cuma bertahan. Berbanding dengan corak pemainan pengurus-pengurus terdahulu seperti taktik parking bas atau falsalah "possession football" oleh  Mourinho dan Van Gaal yang membosankan, corak Ole adalah satu peningkatan.

4.  Ole berjaya mengetengahkan pemain-pemain muda dari akademi yang menjadi tradisi United sejak turun temurun dan menyerap mereka yang berpotensi dengan tepat, tidak meletakkan tekanan yang terlalu besar dan melindungi mereka secara halus.

5. Para pemain sukakan Ole dan mempercayai beliau. Masalah kepercayaan pemain ini yang kerap menjadi duri dalam daging ketika era Jose, LvG dan Moyes.

Membaikpulih

Secara kritikalnya, Ole masih banyak perlu belajar dan memperbaiki. Antara yang perlu diperbaiki untuk kembali menjulang United ke puncak adalah seperti berikut

1. Set-piece, boleh kita United sangat lemah dalam set-piece, baik dari sepakan penjuru atau sepakan percuma. Ketika bertahan, Ole cuba menerapkan pertahanan dalam zon, berbanding man-to-man marking yang lebih popular, taktik ini juga di gunakan oleh Pep Guardiola, ia sesuai untuk serangan balas, hanya jika mereka mampu memenangi bola dari hantaran lawan. Ketika menyerang, acap kali hantaran yang diberi tidak tepat kepada pemain United. Lebih latihan diperlukan, mungkin Ole perlu melantik pakar set-piece coach yang lebih berkualiti.

2. Kreativiti, hilang punca bila pihak lawan bertahan sepenuhnya dan cuma menanti United melakukan kesilapan, yang mana kerap terjadi tika pemain mula hilang fokus atau tertekan. Berdepan situasi ini, pendekatan Ole adalah menguasai bola dengan hantaran-hantaran pendek, kebiasaan bermula dari kawasan pertahanan United oleh Maguire atau Lindelof dan mengerakkan bola di pemain-pemain sayap dan memasuki kotak penalti lawan dengan hantaran satu dua antara penyerang (yang mana ini kurang berlaku kerana tiada kualiti dari pemain tengah no.10). United memerlukan pemain no.10 baru kerana Andreas dan Lingard tidak cukup kreatif, Mata masih berbisa namun tiada kepantasan dan juga lemah tika bertahan.

3. Plan B, ketika awal perlantikan Ole, selaku pengurus sementara, beliau bijak menukar taktikal, formasi, dan tempo perlawanan berdasarkan situasi atau strategi lawan. Ketika itu beliau peroleh skuad penuh dari Jose Mourinho dan memperoleh keputusan cemerlang untuk beberapa bulan, sehinggalah krisis kecederaan membelenggu skuad ini, dan situasi sama berlaku musim ini (lebih teruk lagi selepas Ole menjual ramai pemain keluar untuk proses pembersihan). Kehilangan Herrera dan Lukaku mengurangkan varieti buat Ole memilih, pengganti yang berkualiti dan dengan mentaliti yang betul sangat diperlukan.

Jadi untuk mengembalikan kegemilangan Manchester United, peminat perlulah bersabar dan faham yang cuma ada seorang sahaja Sir Alex Ferguson di dunia ini.


Khamis, 31 Oktober 2019

Review: Joker

'I used to think that my life was a tragedy. But now I realize,
it’s a comedy.' - Arthur Fleck (Joker)
Filem ini antara yang aku tunggu-tunggu untuk tahun 2019. Selaku peminat The Dark Knight (2008) yang menampilkan persembahan mantap Heath Ledger sebagai Joker, aku meletakkan ekpektasi yang sama apabila Joker (2019) mempertaruhkan pelakon berkualiti Joaquin Phoenix sebagai Joker a.k.a Arthur Fleck.

Secara ringkasnya, filem ini berkisarkan kisah hidup Arthur Fleck, seorang badut dan pelawak sambilan yang menghidap masalah mental, yang di hurung nasib malang dan layanan buruk orang sekeliling sehingga lahirlah watak Joker yang kejam dan tak berperikemanusiaan.

Aku bagi 4/5 bintang, sedikit meleset dari jangkaan aku, untuk watak Arthur Fleck, sangat sempurna, penyampaian yang sangat baik dari Joaquin yang berjaya membawa penonton menyelami jiwa pesakit mental dan membuatkan bercampur-baur rasa sedih, kasihan, geram, keliru, marah pada penonton. Cuma kurang bagi aku adalah pada watak Joker yang dilihat kurang menyerlah, mungkin kerana aku cuba bandingkan dengan Joker dari Heath Ledger. Joker dari Joaquin nampak kurang pintar, kurang kejam, ada timbang rasa, sensitif dan dilihat cuba membawa falsafah anti-kapitalis dalam perbuatan beliau. Walhal Joker yang aku kenal tak punya motif dan hanya mahu melihat kekacauan atas bumi.

Apa pun, filem ini tidak sesuai untuk anak kecil atau mereka yang punya depresi atau masalah mental yang lain kerana nilai dan perjuangan yang cuba diterapkan.

Sabtu, 14 September 2019

3 Dekad

Syukur.

13 September menjelang lagi.
Genaplah 3 dekad aku bernafas atas dunia ini. Perjalanan yang bagi aku cukup aku syukuri, yang menyedarkan aku harta tak ternilai aku punyai, keluarga dan rakan taulan.

Terima kasih Allah atas kurniaan yang diberi.

Terima kasih
Bondaku yang melahir dan membesarkan aku, walau tiap tahun aku ucap terima kasih ini, tak akan pernah cukup berbanding dengan pengorbanan yang emak berikan.

Terima kasih
Isteriku, mendamping aku saat jatuh dan bangun, suka duka, gaduh atau bergelak tawa, dan hadiah paling istimewa, Ayra Sofea.

Terima kasih
Sanak famili dan rakan taulan, yang jauh atau dekat, karib mahupun kenalan cuma. Yang mendoakan dan segala ucapan.

3 dekad

Jumaat, 30 Ogos 2019

Cuti-Cuti Malaysia: Swiss-Garden Beach Resort Damai Laut, Lumut

Resort Percutian Keluarga

Swiss-Garden Beach Resort adalah sebuah resort percutian berkonsepkan resort taman tema air yang dihiasi landskap tropika dan panorama pemandangan Selat Melaka dan Pulau Pangkor. Lokasinya agak terpencil agak jauh dari kesibukan kota, amat sesuai untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, terutama mereka yang punya anak-anak kecil sekitar 0-14 tahun kerana di dalam kompaun resort ini sendiri padat dengan aktiviti-aktiviti yang mesra kanak-kanak (dan juga untuk yang dewasa). Jika dapat disenaraikan, antara aktiviti menarik adalah ATV, menunggang kuda, bermesra dengan haiwan ladang, taman tema air, golf, memancing, aktiviti laut seperti motorbot, banana bot, island hoping, snorkeling, dan banyak lagi.

Bersempena meraikan hari lahir Ayra Sofea yang pertama, kami mengatur acara untuk bercuti di sini, Swiss-Garden Beach Resort. Pemanduan dari KL ke resort ini mengambil masa kira-kira 3 jam setengah, kami tiba lebih kurang jam 3 petang. Untuk masuk ke kawasan resort ini agak jauh dari bandar (20km dari AEON Setiawan) dan kawasannya agak terpencil dikelilingi ladang sawit, kebun dan perkampungan. Jadi kami jangkakan memperoleh percutian yang ekslusif dimana tidak ramai pengunjung disitu, tapi alangkah silapnya kami, masuk saja diperkarangan resort, jalannya sesak di depan pondok pengawal (untuk daftar masuk), kemudian parkir kenderaan juga penuh sesak. Rupanya, resort ini juga membuka taman tema airnya serta aktivitinya pada pengunjung walk-in, tidak mesti perlu menginap untuk menggunakan taman tema air resort, tak silap RM35-40 caj per kepala, dan caj lain dikenakan untuk sesetengah aktiviti lain.

Ruang lobi Swiss-Garden Beach Resort, Damai Laut
Bilik yang disediakan untuk kami lebih luas dari bilik lain kerana letaknya di hujung blok. Rekabentuk dalaman resort nampak agak kekok kerana kurangnya penggunaan karpet di resort ini, baik dari lobi, koridor, lif, hinggalah ke bilik. Konsep reka bentuknya begini mungkin kerana tarikan utama resort ini adalah taman tema airnya. Selepas kami meluang masa sekitar resort, baru kami faham yang ramai pengunjung disini adalah dari mereka yang berkeluarga, jadi kelihatanlah anak-anak kecil berbasahan berlari-lari masuk ke bilik. Jika dihias karpet seperti hotel lain mungkin bau hapak menyelubungi resort ini.

Peta sekitar Swiss-Garden Beach Resort
Upacara perasmian katil oleh Datin Sri Ayra Sofea
Aucak! YB nak melawat kawasan kejap
Jikalau pantai yang indah dengan air membiru juga pasir halus memutih yang anda cari, disini bukanlah tempatnya. Sedia maklumlah, keadaan pantai selat yang agak keruh airnya dan pasir yang kasar, tapi cukuplah untuk dijadikan tempat anak-anak bermain membina istana pasir. Namun begitu, lebihnya pantai Selat Melaka berbanding pantai di sebelah Laut China Selatan adalah pemandangan matahari terbenamnya, sungguh romantis dan hening panoramanya.

Sofea dan Mama menikmati mentari mnyinsing
Ala timang anak papa sayang sampai matahari
Nak bina istana impian ni
Seronok main pasir nampak
Yeay da siap
Membawang jap dengan mama
Taman tema air dalam resort, konsep percutian yang menarik buat mereka yang berkeluarga. Mahupun begitu, ia cumalah taman tema air berskala kecil sahaja (bukan seperti Sunway Lagoon). Dan pada saya, penyelenggaran yang lebih cermat diperlukan kerana airnya agak berkeladak mungkin kerna ramainya pengunjung yang berkubang didalamnya dihari minggu cuti sekolah ini. Mungkin ia lebih bersih dan terjaga tika bukan cuti sekolah atau hujung minggu. 

Ini tak main pun, posing je lebih
Kolam mandi kanak-kanak paras betis
Macam cerita hindustan main air
Pelampung kemain, padahal kaki cecah lantai
Kolam budak besar sikit
Sesekali akan dilepaskan haiwan jinak seperti kura-kura, arnab atau iguana disekitar kolam mandi untuk kanak-kanak bermain. Ada juga haiwan-haiwan lain yang di biar berkeliaran di kawasan belakang resort yang dipanggil Damai Farm, ada kuda (tunggang kuda RM45 dewasa, Sofea RM5), kambing, angsa (Sofea kena kejar), ayam, itik, ayam belatuk. Di sekitar kawasan resort ada banyak kolam-kolam yang dihuni ikan kap, keli, arapaima, juga ikan-ikan kecil buat anak-anak memancing longkang (tak silap RM10 untuk sewa pancing/umpan).

Kejung bila dengan binatang
Kolam air terjun ikan kap Jepun
Longkang pancing buat kanak-kanak
Seterusnya, sudah puas dengan aktiviti luar, ada juga aktiviti menarik dibawah teduhan bumbung berpenghawa dingin. Antaranya "Young Citizen of the World club", disini ada pelbagai aktiviti buat anak-anak seperti kolam bola, pondok-pondok, masak-masak, melukis dan mewarna, baling tin, lego, wayang mini, dan mungkin aktiviti lain yang tak sempat pandang. Untuk ibubapa pula ada sauna, spa, dan gym dengan pemandangan menghadap laut.

Tengok betapa terujanya muka dia
Berapa kali dia keluar masuk kolam bola ni
Orang suruh baling tin, dia duk peluk tiang kayu
Sambil anak bermain, penjaga boleh layan wayang
Perasan jadi tuan puteri kejap
Bersenam sambil menikmati pemandangan laut

Untuk makanan, bufet sarapan pagi yang tersedia boleh diterima, variasinya ada, cuma tidak cukup jika dibanding dengan jumlah pengunjung yang ramai, makanan yang telah habis juga lambat diisi semula. Room service untuk makan tengahari dan malam juga agak mahal berbanding resort lain yang pernah inap. Mungkin anda perlu siap sedia dengan bekal makanan kerana kami tak nampak adanya kedai makan berhampiran 10km dari resort ini.

Secara keseluruhan, memang pada mula saya rasa yang harga satu malam untuk resort ini agak mahal (bermula RM305/malam di Agoda) dan ketika check-in pun saya rasa servis dan fasiliti tidaklah mencapai kualiti resort 4 ke 5 bintang. Kawasan parkir yang agak tak tersusun dan rekaan dalaman yang boleh saya katakan usang. Penyenggelaraan boleh di naik taraf lagi. Tapi selepas saya meluangkan masa 3 hari 2 malam disini, saya rasa amat berbaloi harga yang dibayar dengan kepelbagainya aktiviti yang boleh dilakukan bagi meluangkan masa bersama yang tersayang.


Rabu, 21 Ogos 2019

Ayra Sofea: Setahun

Tanggal 16 Ogos 2018;
Genaplah setahun umurnya puteri aku yang seorang, Ayra Sofea. Pejam celik masa terasa pantas berlalu, bagai tak puas kami suami isteri lalui pengembaraan selaku ibu dan bapa, ada yang suka, yang duka, cemas, mengharukan serta bermacam rasa lagi nak diungkapkan.

Teringat aku detik Ayra Sofea masih cuma sekecil benih. Mamanya begitu teruja dengan perkhabaran gembira dari dua garis merah atas kayu penguji hormon, yang menafsirkan aku, dan isteri bakal menimang cahaya mata.

9 bulan berselang, syukur pada Ilahi selamat Ayra Sofea dilahirkan pada 8 pagi, 16 Ogos 2018 di Hospital Sultanah Nur Zahiah.

.....

Manakan kami tak geram,
Melihatkan telatah comel si genit Ayra Sofea yang kini telahpun beroleh lesen P untuk berjalan, kehulu kehilir serata rumah ini telah dijelajahi.

Segala barangan, perkakas, perabot kini boleh ditemukan ditempat-tempat randum yang tak tersangka-sangka dek akal, kadang jumpa mainan dalam peti ais, sudu bawah sofa, segala khazanah di soroknya bawah rak.

Siapa tak geram,
Dengan terkedek-kedeknya bertatih ke arah kita sambil  tersengih menayang dua batang gigi yang baru nak menumbuh dan justeru merebahkan diri ke atas kita tanpa mengira dimana diakan jatuh, untung nasib atas riba, kalau tak atas muka.

Ikut angin, kadang Ayra Sofea bangun tidur gelak-gelak seorang, main tepuk-tepuk muka Papa Mama yang sedang lena. Kadang menangis nak dipujuk peluk rayu sebaik jaga.

Alhamdulillah,
Menjaga Ayra Sofea ini kami rasa senang, biasalah demam panas selsema tu. Tapi Ayra Sofea setahun ini sememangnya budak yang sangat baik, tidak banyak perangai dan kalau ada pun masih dalam kawalan. Ramah dengan orang walau malu-malu pada awalnya.

Memori-memori bersama Ayra Sofea setahun ini

17-08-2018: Gambar pertama Ayra Sofea

23-08-2018: Majlis Aqiqah  si comel Ayra Sofea

29-09-2018: Sepupu baru, Hanis kacau tempat tidur saya
14-10-2018: Yeay nak balik Shah Alam

17-10-2018: Pagi pertama di bumi Shah Alam
20-10-2018: Melawat sekolah & tunjuk skil
berguling (sikit) pada cikgu
25-10-2018: Baru berani Papa Mama bawa saya shopping
27-10-2018: Saya dah pandai berpusing lah!
11-11-2018: Hai awak, nak pergi kenduri ni
16-12-2018: Sesi spa dan renang pertama di Hipoppo
22-12-2018: Jalan-jalan Penang (Dah pro berguling)

05-01-2019: Selamat Tahun Baru!

21-01-2019: Bersiar-siar dengan Papa
(mula duduk dengan bantuan)
31-01-2019: Sudah handal mengesot, boleh main nyorok-nyorok
16-02-2019: Makanan pertama saya!
22-02-2019: Sambut hari jadi Atuk dan Nenek
10-03-2019: Pandai merangkak, sedang sibuk bekerja
16-03-2019: Pandai bangun duduk sendiri
 dan berdiri dengan bantuan
01-04-2019: Yeay Mama belikan khemah (sebab
suka sangat berkhemah bawah meja)
05-04-2019: Selamat Hari Jadi Mama!
22-05-2019: Demam pula nak tumbuh gigi (bawah tengah)
04-06-2019: Balik kampung yeay!
05-06-2019: Mat Ri Ye semua!
10-06-2019: Papa redha, anak dara pandai panjat tangga
23-06-2019: Itu dia tinggi dah memanjatnya
25-07-2019: Ceria di pagi hari nak pergi sekolah

27-07-2019: Dah dapat lesen P, bolehlah berjalan-jalan
30-07-2019: Satu rumah dijelajahnya
(mentang-mentang dapat kaki)
16-08-2019: Ayra Sofea dah setahun!



Catatan Popular