Selepas setahun explorasi terakhir Geng Lapo ke Lata Tampit (baca
sini), Geng Lapo tekad untuk kembali beraksi. Geng Lapo adalah sekumpulan anak jantan gagah perkasa yang dipertemukan takdir dan kemudiannya membentuk gagasan yang berkongsi misi dan matlamat dan berpegang teguh pada petikan kata hikmat "
Put me anywhere, I can shine".
Ahmad Sayuti, anak jati Pahang ini juga dikenali sebagai pengakap hutan dikalangan rakan seperjuangan kerana prinsipnya yang teguh memelihara kehijauan dan kebersihan hutan amatlah dikagumi, beliaulah yang menjadi tonggak explorasi ini dengan merancang dan membentangkan idea untuk mendaki ke Air Terjun Lubuk Mecu/Lata Medang di Sg. Pertak, Kuala Kubu Bharu tulis-nama-atas-batu. Idea yang dipersetujui sebulat suara ahli Geng Lapo berbulan sebelum tarikh explorasinya pada 29/02/2020, memberi ruang masa yang cukup buat ahli-ahli untuk memujuk isteri masing-masing memberi permit kelepasan. Begitupun beberapa ahli gagal memperoleh permit dan terpaksa ditinggalkan. "
If you focus on what you left behind, you'll never see what lies ahead" memetik kata-kata Gusteau, Geng Lapo teguh meneruskan perjuangan ini.
Tanggal 29/02/2020: Seusai Subuh, dihari kejadian itu, kelihatan sekumpulan 8 orang lelaki berkumpul dibawah sinaran jingga lampu jalan bersama embun dan kabus (atau asap vape) pagi, bersedia bertolak menempuh cabaran yang akan menanti mereka, walaupun diuji dengan kelewatan Aizat Rusli, jika pembaca mengikuti pengembaraan Geng Lapo sedari awal, kenallah anda dengan watak Aizat a.k.a scammer professional yang kerap bermadah helah disetiap explorasi. Kali ini, disaat-saat akhir, beliau mengatakan hasrat tidak dapat hadir, namun tiada siapa yang mempercayai beliau.
|
"Gerak awal boleh balik awal" Shahir Abdullah |
Berbekalkan kudrat tulang empat kerat, hati yang cekal, doa dari sanak famili serta topik hangat politik masakini, mereka bertolak ke Sg. Pertak, Kuala Kubu tulis-nama-atas-batu. Pemanduan dari ibukota ke Sg. Pertak mengambil masa kira-kira 1 jam lebih jika dirujuk pada Gugel Maps. Ditambah dengan masa rehat untuk bersarapan nasi lemak telur mata disebelah kedai Pak Ali Legend, juga Shahir Abdullah tiba-tiba ada kecemasan dan berhenti memerut ditandas masjid, dan juga membeli barang keperluan asasi perkhemahan seperti jajan, air dan lighter (di era rokok siber ini, tak ada yang bawa lighter, nasib baik ingat, kalau tak terpaksalah mereka menggugel cara menghidupkan api menggunakan batu), mereka tiba ke tapak Perkhemahan Sg. Pertak sekitar jam 9.30am, itupun selepas ditolak masa bersiar-siar (sesat) dalam pekan Kuala Kubu mencari kedai runcit.
|
Lepak sarapan di gerai sebelah Pak Ali Legend, Bukit Beruntung |
|
Ingatkan berhenti nak solat Dhuha, rupanya nak tumpang tandas |
|
Bersiar-siar di pekan KKB demi sebiji lighter |
Panduan untuk ke Sg. Pertak agak mudah, dari pekan Kuala Kubu, pandu sahaja terus menghala ke Bukit Fraser, selepas melalui empangan air Kuala Kubu Bharu, akan ada simpang ke Kg. Pertak sebaik melepasi jambatan disebelah kanan jalan (jika dah ternampak Sg Chilling atau jambatan besi kecil, tandanya anda sudah pun terbabas, kalau nampak Bukit Fraser, disarankan untuk memandu terus sampai ke Raub dan ambil kelas memandu balik). Dari situ akan berjumpa simpang tiga, belok ke kanan untuk melalui perkampungan orang asli. Ada bayaran RM1/orang perlu dilunaskan di pintu masuk tapak perkhemahan sebelum tibanya mereka ke destinasi. Lambakan puluhan (atau ratusan) kereta memenuhi sepanjang jalan menandakan mereka tiba ditempat yang betul.
Bermulalah explorasi yang telah lama dirancang itu selepas usai bacaan doa dari Aizuddin Jaafar, penulis blog Kura-Kura Jadian.
Ingat, apapun yang kita kerjakan, mohonlah kepadaNya dahulu.
"Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan" (Ghafir, 40:60). Membawa jiwa-jiwa merdeka mereka melangkah gagah dengan azam yang lama terpendam, meluangkan masa bersama sahabat dan melupakan hal ehwal masalah dunia dan negara buat seketika, seperti isu virus covid-19 dan krisis politik negara Malaysia, disamping untuk beriadah bagi mengamalkan gaya hidup sihat dan juga berbarbeku membakar kambing resepi chef Hazim Mohamad, ada ura-ura mengatakan beliau pernah berguru dengan Gordon Ramsay untuk menghasilkan perapan kambing yang sedap dan tidak pernah mengecewakan Geng Lapo.
Memandangkan tiada sesiapa dari Geng Lapo yang pernah ke Lubuk Mecu, mereka mendaki hanya dengan berpandukan dari bacaan di blog-blog dan bertanyakan jalan pada orang-orang yang ditemui disepanjang perjalanan, Perlu pembaca tahu, dari Sg. Pertak, terdapat beberapa destinasi pendakian yang kerap dituju para penggemar aktiviti outdoor. Antaranya Bukit Kutu, Lata Medang, Lubuk Mecu, Gunung Rajah dan Lubuk Makau. Begitupun, treknya jelas dan tidak perlu menebas untuk membuka jalan, juga tidak ada pendakian yang curam melebihi 45 darjah kecerunan, tetapi trek itu mempunyai beberapa simpang yang menuju ke destinasi yang berbeza. Dari parkir, jalan masuk akan menemukan dua jambatan besi (yang kedua sudah separa roboh) dan kawasan perkhemahan yang dijaga orang asli (bayaran RM3/orang dan RM20/khemah), di kawasan perkhemahan itulah Geng Lapo bertemu dengan seorang lelaki iras-iras King dari KL Gengster yang sedang mengumpul kayu api, berdasar panduan dari abang King, beliau mengatakan didepan nanti akan ada simpang, simpang pertama, akan bersatu kembali. Di persimpangan kedua, kekanan menuju ke Bukit Kutu, ke kiri menuju ke Lata Medang/Lubuk Mecu. Di persimpangan kedua mereka terjumpa geng orang asli yang dalam perjalanan menangkap ikan, dan mereka menunjuk arah yang sama seperti abang King tunjukkan.
|
Jambatan besi ke-2 yang hampir roboh |
|
Kami berjalan mengikuti penanda arah tali merah dibelakang Ahmad Fahmi |
Dari bacaan diblog, Lata Medang dijangkakan sekitar 6km jauhnya dari tapak perkhemahan, yang mengambil masa sekitar 2 jam pendakian. Lubuk Mecu pula lebih kebawah sikit, mungkin kurang 15 minit perjalanan dari ke Lata Medang. Tiba pula Geng Lapo dipersimpangan ketiga, yang tak diperkatakan oleh abang King dan orang asli tadi, mahu gugel tiada liputan internet pula dalam hutan ini, Ahmad Sayuti selaku ketua rombongan memutuskan untuk ke kiri.
|
Pemuda PKR, Khairul Anwar yang ceria |
|
"Binatang apa yang pandai memasak?"
"Kera, sebab dia ada periuk" |
|
Antara flora dan fauna yang ada disini |
Selepas hampir 2 jam lebih perjalanan, masih tidak kelihatan baik Lubuk Mecu atau Lata Medang, ada juga mereka terjumpa tapak kem namun kawasan air terjunnya tidak se gah yang dilihat dari blog-blog. Jadi sekumpulan lelaki yang cekal ini meneruskan juga perjalanan hinggalah mereka terjumpa satu lagi simpang dengan penanda arah (Kiri: Makau, Kanan: Rajah), tiada sebarang tanda Lata Medang mahupun Lubuk Mecu. Sekali lagi Ahmad mengambil peranan memutuskan untuk ke Makau. Setelah hampir 3 jam berjalan dari Sg Pertak tadi, kesemua ahli telah pun lemah semangat, Ismaul Fahmi, atau lebih mesra disapa sebagai Bung kerana darah jawa sejati dimilikinya, selaku ahli paling veteran dalam kumpulan ini kelihatan mula termengah-mengah. Shahir (atau lebih dikenali sebagai Abe) mula mengeluh "Mana korang nak bawa aku ni?" Teringat Aizuddin pada opah beliau tatkala ibunya membawa opah berjalan-jalan "Mana ko nak bawa aku ni.. Aku nak balik rumah aku".
|
Kehijauan yang mendamaikan |
|
Kelihatan Bung dan Abe yang kepenatan |
|
Majoriti trek disini mendatar dan tak terlalu curam |
|
Ketua pengakap aka alumni Brainy Bunch dah sakit lutut |
Sekitar 12.30pm, sampailah mereka ketapak perkhemahan Lubuk Makau, dengan Air Terjun yang tinggi dan kolam takungan yang luas, Hazim dan Ahmad terus merasmikan air terjun yang sejuk dan menyegarkan itu. Tanpa berlengah, Ahmad Fahmi, selaku ahli Geng Lapo paling muda mula menyalakan api dan membakar arang, sudah tentu juga Khairul Anwar, selaku pemuda PKR tidak mahu ketinggalan peluang melampiaskan amarah beliau pada situasi politik masakini dengan bermain api, disertai juga Shahir, yang mahu membakar cepat supaya boleh balik awal takut bini marah. Selepas 3 jam berehat, mentedarah kambing bakar/hotdog/burger/daging ribeye, mandi manda dan sambung makan kembali. Mereka mula-mula beransur-ansur bersiap untuk pulang.
|
Sesampai saja di kem, terus Khairul, Abe, dan Ahmad Fahmi mula membakar |
|
Kambing bakar dan Ribeye, nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan? |
|
Kolam mandi yang luas dengan air yang sejuk |
|
Jejaka-jejaka idaman Malaya |
Menuruni Lata Makau mengambil masa kira-kira 2 jam lebih, Dengan jumlah jarak perjalanan sejauh 15km, dalam sedar tak sedar mereka telah menghabiskan masa seharian disana. Ketika bertolak, Tun M masih Perdana Menteri sementara, ketika pulang, Muhyidin Yasin menjadi Perdana Menteri yang baru.
Sebagai rumusan, rancanglah explorasi anda sebaiknya. Alangkah bernasib baik mereka tidak memilih ke Rajah, yang perjalanan ke puncak mengambil masa 7 jam. Pun begitu, Lubuk Makau juga adalah destinasi yang baik, agak terpencil dan kurang pengunjung berbanding Lata Medang dan Lubuk Mecu. Mungkin Geng Lapo akan kembali untuk menawan Lata Medang pula di masa akan datang.
2 ulasan:
Aslkum Aizudin, wow tahniah krn aktif berblog. Nice entry this one. Very informative to follow. I like hiking too but easy route only hahahaha. Drop by my blog drnordin.com
Tq
Terima kasih DrNordin sudi membaca
Catat Ulasan