Jumaat, 31 Disember 2021

2021: Rumusan

 Sedari 2020, pandemik COVID-19 masih lagi berlarutan. Di awal 2021, vaksin masih lagi dalam kajian, dan sudah pun diberikan disesetengah negara lain. Malaysia cuma menerima vaksin seawal Februari. Namun peningkatan kes COVID semakin meningkat justeru PKP kembali diperketatkan pada Ramadan dan menjadikan 2 tahun berturut-turut kita beraya dalam situasi terkurung. Ahli politik sibuk tolak tarik kerusi sehingga PM ke-8 Malaysia, Muhyidin Yassin meletak jawatan dan digantikan Ismail Sabri.

2021, aku panjatkan syukur aku pada Yang Esa, kerjaya aku semakin berkembang. Dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugasan yang lebih berat dan kritikal, bermaksud syarikat mempercayai kerja aku yang dulu dan yakin aku mampu lakukan tugasan yang diberi.

Alhamdulillah, penambahan ahli keluarga baru kami, Aurora Syifa menambah seri dalam rumah tangga kecil kami. Terima kasih isteri dan mama kepada dua puteriku atas segala pengorbanan dan sakit perih yang dilalui tika melahir dan membesarkan Ayra Sofea dan Aurora Syifa.

Selain itu, hikmah pandemik dan PKP juga adalah nikmat melihat anak-anak membesar di depan mata. Perkembangan Ayra Sofea aku lihat depan mata aku sendiri kerana daycare ditutup ketika PKP, tak lupa juga mengharungi fasa berpantang untuk Aurora Syifa dan mamanya secara sendiri, yang aku sendiri tak sangka aku mampu lakukan. Walau ada cabarannya untuk mengimbangi antara kerja dan urusan rumah serta anak-anak, aku tetap bersyukur semua dapat aku lalui dengan jayanya.

Resolusi 2021: 

1. Misi mencapai badan ideal - dalam masa 5 bulan dari Januari ke May, aku berjaya mencapai peratusan bodyfat 10%, dengan berat badan turun dari 76kg ke 65kg. 

2. Khatam Quran - untuk tahun 2021 aku dapat khatam 2 kali Al-Quran secara sendiri, 4 kali secara tadarus.

3. Buku - Berbanding 2020, aku dapat menghabiskan 20 buah buku, walaupun terpaksa pulun di hujung bulan Disember.

4. e-learning - sasaran asal hanyalah 40 jam, namun aku sudah melebihi sasaran, cuma aku berhenti track selepas melepasi 40 jam.

Tahun 2021, aku kehilangan beberapa ahli keluarga, mak ngah, pak lang, atok cu, rakan, saudara jauh dan dekat. Ada yang asbab COVID dan ada juga sebab penyakit lain. 

Disember 2021 menyaksikan musim tengkujuh yang lebih dahsyat berbanding tahun-tahun yang sudah, dengan hujan, ribut, banjir, tanah runtuh, air pasang di serata Malaysia.

Selasa, 14 Disember 2021

Buku: Penumpang

 2007, aku beli tiket Rapid KL RM1 untuk sehari menjadi penumpang bas. Bersama 4 orang rakan aku yang lain merayau-rayau selepas habis perperiksaan. Berhari-hari kami buat rutin ini, kadang-kadang aku pergi seorang diri, tanpa arah. Cuma menumpang kemana saja bas ini membawa aku.

Membaca buku fixi karya Fee Anyau berjudul Penumpang mengingatkan aku pada masa itu.

Berkisarkan tema yang gelap dan berat, membawa depressi dan bunuh diri untuk dibincangkan. 

Jai, seorang pelajar kolej kehilangan kawan baiknya, Eddi akibat bunuh diri. Tetapi dia menerima helaian jurnal dari Eddi dihantar secara misteri kepadanya. Jurnal tersebut menceritakan pengalaman Eddi menaiki bas setiap hari, jadi demi memahami pengalaman Eddi itu yang mungkin dapat merungkai punca Eddi berbuat demikian, Jai mula menaiki bas.

Secara umumnya, tarikan buku ini adalah topik berani yang Fee Anyau cuba ketengahkan walau kadang dianggap taboo bagi sesetengah masyarakat (depressi, bunuh diri, dan ada beberapa lagi yang anda perlu baca sendiri jika tidak mahu spoiler). Selain itu, cara pengenalan watak juga agak menarik, dan aku suka bila penulis bercerita tentang perkara yang mungkin remeh yang terjadi diatas bas.

Apa yang menariknya buku ini secara peribadi pula adalah gaya pemikiran dan sebab Eddi untuk menjadi penumpang bas itu dapat aku kaitkan dengan diri aku sendiri. Memerhati gerak laku orang ramai dan cuba menafsir perilaku dan latar cerita setiap penumpang dan pemandu, benda yang sama aku lakukan juga. Kadang tiada apa pun, sekadar melihat dan berfikir, walaupun keadaannya kadang tidak seselesa menaiki kenderaan sendiri, aku rasa tenang menjadi penumpang.

Ahad, 18 Julai 2021

Aurora Syifa

Aurora - Fenomena cahaya yang dapat dilihat di ufuk utara dan selatan. Kejadiannya diakibatkan dari pertemuan ion cahaya matahari dan atoms oksigen dan nitrogen di atmosfera bumi yang menghasilkan biasan cahaya berwarna-warni yang indah dan memukau dilangit. Hebatnya ciptaan Allah

Syifa - Penawar, sesuatu yang menyembuhkan penyakit

Diketika dunia dirudum wabak penyakit Covid-19, lahirlah puteri kedua kami pada tanggal 12/07/21. Semoga Aurora Syifa menjadi penawar yang membawa cahaya yang memukau pada kedua orang tua, keluarga, agama, bangsa, dan negara. 

Aurora Syifa
12/07/21


Jumaat, 9 Julai 2021

Pergi Tiada Ganti

Senyummu, mengubat duka

Pesanmu, penuh makna

Hidupmu, sarat berjasa


Pemergianmu, menyentuh rasa

Jutaan memorabilia

Mengamit hiba


[tulis, padam, tulis, padam]

Kami sayang Makngah, tak dapat lain yang kami nak berikan selain doa agar dikau tenang disana, bersama para syuhada di alam yang kekal abadi. Pergi kau tiada ganti


Jasnah Binti Bontak
4/4/1958 - 7/7/2021


Rabu, 16 Jun 2021

Filem: Arwah Pak Mat, Lif dan AJK


Hujung minggu hari tu, bosan-bosan duduk rumah masa PKP ni ternampak trailer filem arahan Khir Rahman ni, "Arwah Pak Mat, Lif dan AJK". Daripada sedutan beberapa minit tu pun aku dah boleh agak cerita ni konfem barai punya. Jadi aku order popcorn dan terus langgan filem ni dekat Astro First.

Jalan cerita dia simple je, Pak Mat meninggal dunia, beliau duduk dekat tingkat 25 Flat Seri Us. Anaknya Nordin (lakonan Joey) bersama AJK-AJK flat nak menguruskan jenazah, tapi lif rosak. Jadi diorang terpaksa bawa turun jenazah tu ikut tangga. Bermacam-macam dugaan dan cabaran mereka tempuhi selain dari cabaran fizikal nak mengangkat Arwah Pak Mat yang berat tu (lakonan Wan Gegau).

Yang aku minat dengan cerita ni banyak isu yang Khir Rahman tekankan dalam filem ni, macam isu kepimpinan, kemasyarakatan dan pemuafakatan, perkauman, kekeluargaan, ada juga isu berat seperti akhlak dan agama, tapi Khir Rahman bijak menegur penonton secara santai walaupun sinis satiranya, dan penuh jenaka-jenaka yang tak putus-putus. Kadang-kadang jenaka itu bukan pada dialog atau scene sahaja, tapi pada setting semasa seperti background, iklan-iklan yang ditampal, prop-prop yang karakter-karakter pegang dan juga diselit sedikit jenaka-jenaka spastik.

Watak-watak yang dalam ini semuanya dekat dengan kita, kaki kipas, kaki politik, pemimpin yang tak jalan kerja (tapi time mengundi baru buat-buat rajin), pembangkang yang asyik cari salah tapi tak menyumbang pada penyelesaian, masyarakat yang menilai hanya pada rupa, pengadu domba, kaki umpat, yang papa asal bergaya, macam-macam ada. 

Kredit pada Khir Rahman yang berjaya membuat aku ketawa (tiga round aku tengok ulang-ulang), namun jenakanya bukan kosong, jenakanya berisi dengan pemikiran dan nilai yang perlu diketengahkan dikalangan masyarakat masakini.

 

Isnin, 31 Mei 2021

Manchester United di Era Ole Gunnar Solkjaer

Aku antara orang yang tidak bersetuju tatkala Ole Gunnar Solkjaer dilantik menjadi pengurus tetap Manchester United selepas beberapa bulan memegang mengalas tugas pengurus interim. Hujahnya adalah, pelantikan itu dilihat terlalu reaktif (selepas kejayaan comeback keatas PSG dalam UCL, dan form pasukan yang dilihat semakin baik ketika itu) dan ianya tidak dirancang teliti. Berjuang tanpa merancang adalah merancang kearah kegagalan.

Tetapi selepas pelantikan itu, selaku penyokong tegar pasukan, aku berdiri teguh dibalik pengurusan Ole walaupun terdapat turun naik pada keputusan atas padang, tak kira menang, seri atau kalah. Walaupun Ole gagal memenangi sebarang kejuaraan sepanjang 2 tahun setengah memegang jawatan itu. Kerana semenjak pelantikan beliau lagi aku sudah faham yang Ole tidak merancang untuk kejayaan segera, dari kemasukan pemain, penjualan pemain, perancangan akademi dan pembangunan bakat muda, pertukaran struktur organisasi, perubahan mentaliti pasukan, dia merancang untuk masa depan. Samada perancangan itu berjaya atau tidak, sama-sama kita nantikan.

Kekalahan Manchester United kepada Villareal dalam final UEL menjadi penanda aras baru buat Ole dan anak buahnya dimusim depan. Glazer dan lembaga pengarah kelab haruslah membantu Ole mendapatkan pemain-pemain yang dia perlukan (RW, CB, DM dan CF)

Masa mula-mula dulu aku ada cakap, beri Ole 3 tahun, dan jika kelab tidak mampu memenangi sebarang kejuaraan, Manchester United perlu mencari penganti. 2 tahun sudah berlalu (tolak setengah tahun bolasepak tergendala kerana pandemik), mari kita tunggu dan lihat.




#GGMU
#TrustTheProcess
#OleAtTheWheels


Jumaat, 21 Mei 2021

Terasing

Apa yang aku rasa ini?

Terasing dari dunia,

Terasing dari manusia,

Demi memutus rantaian menggila.

Pandemik meracau meragut jiwa.

Lepas satu, satu gelombang melanda.


Dari Aidilfitri yang lalu,

Tak dapat kita ketemu,

Sahabat, pakcik, makcik, saudara, sepupu,

Jiwa terus menahan rindu,

Doaku agar semua selamat selalu.

Rabu, 7 April 2021

Cuti-Cuti Malaysia: Aquaria KLCC, Mandarin Oriental Hotel, dan KL Bird Park

Covid 19 masih lagi menghantui Malaysia, Selangor masih lagi zon merah, kes masih tinggi, rentas negeri masih tidak dibenarkan, jadi pilihan yang ada cumalah percutian dalam negeri. Bila difikir-fikirkan, ok juga idea tu, kami pun tak pernah berjalan-jalan untuk melancong di Kuala Lumpur. 

Ok lah, bersempena birthday mama Ayra Sofea, kita bawalah diorang berjalan, punyalah banyak hotel kat KL ni, tak tau nak pilih. Disebabkan baru bulan lepas ke Zoo Negara, lepas tu ada ke Bukit Melawati tengok monyet, mama cadang apa kata kali ini kita tengok ikan pula, jadi aktiviti #1 ke Aquaria KLCC. Dulu bawa Ayra ke Aquaria KLCC masa ada promosi, punyalah sesak, selak orang baru nampak ikan. Jadi dek kerana pandemik dan SOP norma baharu, sebagai langkah berjaga-jaga nak elak perkara yang sama berulang, kami ambil cuti 2 hari, weekdays tak ramai orang. 

Lepas tu kami cari hotel yang dekat dengan Aquaria, paling dekat ada Mandarin Oriental, betul sebelah Aquaria, turun tangga dah sampai. So boleh jimat parking kereta kat situ. Parking kat hotel je tak ada lah kena caj parking yang kemain mahal di KL ni. Celebrate birthday kat hotel je.

Aquaria KLCC (via Wonderfly.asia)

Beli online murah sikit, dan boleh skip queue terus scan QR code yang dia bagi dan masuk.

Harga untuk weekdays
Harga untuk weekend

Seronok bila bawa anak berjalan tengok haiwan ni, diorang punya eksited bukan main lagi. Aquaria KLCC kecil je, kalau jalan menonong je tak sampai sejam dah habis pusing, tapi dia ada banyak ikan/haiwan/flora fauna aquatik yang di pamerkan, jadi dalam dua jam juga lah habis tengok semua, aku suka cara diorang susun atur pameran tu, dari hidupan air tawar di hulu sungai, hidupan paya bakau, sungai dalam, hidupan di hilir, ke laut kemudian ke laut dalam dan seterus exhibit haiwan unik seperti obor-obor dan kuda laut. Untuk add-on ada juga disedia tempat interaktif AR dimana kita boleh bergambar seolah-olah kita berada bersama haiwan seperti beruang polar, orka, penguin dan dolphin. Harga masuk untuk  dewasa - RM18, dan kanak-kanak - RM12

Ayra Sofea punya 'peace'





Rawrr!

Mandarin Oriental (via Agoda)
Hari tu book dapat murah sikit, dalam RM400.50 je

Lepas penat berjalan tengok ikan dan makan dekat area Suria KLCC, kami pun check-in di Mandarin Oriental, servis yang sangat mesra, semua staf disitu sangat ramah dan mesra, dan SOP ketat juga dipatuhi - scan suhu, mysejahtera, sanitize tangan, penjarakan sosial.

Semua berjalan lancar, dan birthday girl siap dapat surprise kek dari hotel. 







Ok setel untuk hari pertama, hari kedua tak kan nak balik macam tu je? So kami plan aktiviti #2, ingat nak naik bas Hop on Hop off KL tu, tapi bila fikir-fikir risiko juga musim pandemik ni, trip dia dalam dua jam. Duduk atas bas, dengan pelancong yang tak tau dari mana, susah nak jaga penjarakan sosial kalau si kecik tu dah tak boleh duduk diam. Ok baik cari attraction di tempat terbuka, kurang sikit risiko Covid 19 ni. Cari punya cari, pergi Bird Park lah, dah tengok ikan, lepas tu tengok burung pula. Bagi Ayra Sofea kenal haiwan-haiwan ni.

KL Bird Park
Ni beli tiket kat kaunter je sebab lagi murah atau sama je dengan harga online.


Di KL Bird Park pula agak luas, dalam 2-3 jam nak habiskan pusing satu taman. Katanya aviari terbesar di dunia yang boleh walk-in dan burung-burung bebas berterbangan. Yang juga katanya menempatkan 3000 spesis burung. Kalau kena masanya, anda boleh bagi makan dekat burung, jadualnya seperti dibawah.



Ada banyak zon, ada bahagian burung terbang bebas tu yang burung-burungnya semua tak takut orang, jadi janganlah bawa makanan tunjuk kat diorang, nanti kena kejar. Ayra Sofea makan aiskrim lepas tu kena kejar dengan burung merak, tak cukup tanah kawan tu lari.

Kawasannya juga agak redup, dengan pokok tinggi dan jaring aviari menjadi payung. Cuma jangan lupa sediakan payung kalau pergi waktu musim hujan. Hari tu masa kami pergi hujan diwaktu petang, nasib dah nak habis pusing. 













Selasa, 23 Mac 2021

Fitness Lifestyle: Misi 2021

Siapa yang mengenali aku tahu yang aku bermula main gym sejak 2013. Niat asal cumalah untuk bersiap sedia untuk perkahwinan pada 2015. Dari dulu aku bukanlah jenis yang obes atau overweight, tetapi tak kurus juga. Kalau ikut BMI nampak ideal, tapi kalau tengok badan depan cermin, tak ada bentuk langsung, orang panggil 'buncit kurus'.

Jadi selepas bertahun ke gym, on dan off. Kadang rajin tu tiap-tiap hari pergi, ada masa tu sebulan 2-3 kali je (masa lepas baru kahwin). Jadi dari 2013 bermula dengan berat badan 65kg, aku berjaya buat badan dengan berat badan 73kg dan bodyfat dalam 15% pada 2015, selepas kahwin jadi semakin malas dan tak jaga makan. Dan berat badan pun mula mendadak naik hingga ke 88kg dengan body fat hampir 35% (gemuk dan overweight) pada 2017.

Kemudian aku mula balik dan berjaya maintain dalam berat badan 73-76kg dari 2018 ke 2020 dengan bodyfat 18%-25%. Dari segi pemakanan aku agak fleksibel, tak terlalu ketat tapi masih kawal dari kalori intake. 

Ketika PKP, gym tidak dibenarkan dibuka, jadi aku masih maintain kecergasan dengan bersenam dari rumah. Pada tahun 2021, aku nekad lebih serius dalam menjaga badan. Target pertama adalah untuk mencecah bodyfat 10%. Sekarang diakhir Mac aku berjaya turun dari 76kg ke 68kg dengan bodyfat 13%.

Target nya selepas raya nanti akan ke fasa ke-2 iaitu bulk, dimana aku akan naikkan berat badan pula ke 70kg dengan body fat sekitar 15-18%. 

Kadang ada orang tanya apa meal plan aku? apa workout plan aku? Aku cuma keep it simple je, tak ada plan sangat pun. 

Makan:

Nak turun berat = caloric defisit

Nak tambah berat = caloric surplus

Tak ada makanan yang spesifik, cuma fokus ke makanan yang banyak nutrisi, cukup protein, karbohidrat dan lemak, yang boleh bagi kenyang lama, kadang tu makan juga yang mengarut-ngarut, tapi yang penting jaga portion, kalau boleh timbang, timbang untuk lebih tepat supaya tak overshoot kalori. Tak spesifik berapa kali makan sehari, pukul berapa makan, malam ke pagi ke kalau masih muat lagi daily kalori tu, makan je la. 

Workout:

Nak turun berat, banyakkan cardio

Nak naikkan berat, banyakkan strength training (angkat besi)

Tapi aku campur aduk untuk lebih balance, sebab badan kita pandai adapt dengan keadaan. Dan pastikan sentiasa ada progressive overload (Contoh kalau hari ni lari 5km dalam setengah jam, minggu depan pendekkan masa tu, atau jauhkan jarak tu. Kalau hari ni angkat berat 50kg, minggu depan tambah ke 55kg, dan sebagainya). Dan jangan lupa rehat, pun penting gak, kena ada rest day. Tapi rest day tu bukanlah maksudnya terbongkang je bermalas-malasan. Kena bergerak gak, bawalah anak berjalan ke, kemas rumah ke, pergi shopping ke, ikut masing-masing. Tidur kena cukup 6-8 jam. Kalau tak cukup tidur, boleh kurangkan intensity workout tu, tapi kekal aktif.

Khamis, 11 Februari 2021

Buku: The Atlas of Forgotten Places



The Atlas of Forgotten Place adalah karya fiksyen dari Jenny D. Williams yang berlatar belakangkan tempat dan peristiwa sebenar. Kisahnya berkisar tentang dua orang wanita, Sabine dan Rose. Sabine adalah bekas sukarelawan yang pernah bekerja untuk misi bantuan di serata Afrika, beliau cuba mencari anak buahnya, Lily yang juga sukarelawan di Uganda, yang hilang. Manakalah Rose adalah gadis warganegara Uganda yang mempunyai sejarah hitam apabila beliau pernah diculik oleh tentera pemberontak, beliau mencari Ocen, teman lelakinya yang hilang selepas mereka bertikam lidah.

Selain bergolak dengan masalah peribadi sendiri, mereka berdua dengan cara masing-masing perlu merungkaikan misteri kehilangan ini yang berlaku ketika Uganda sedang bergolak dengan perperangan saudara antara kerajaan memerintah dan tentera pemberontak. 

Pelajaran yang aku dapat dari naskah ini adalah tentang kasih sayang, tali persaudaraan mengatasi segala ketakutan dan halangan. Selain itu, penulis juga mengenengahkan tentang penebusan dosa silam dan kesilapan lalu yang menghantui diri.

Aku juga mendapat satu perspektif segar tentang negeri asing bagi aku, Uganda. Gaya hidup, tradisi, ekonomi, geografi, geo-politik dan kelainan pemikiran mereka. Dan manusia yang tak pernah belajar, yang perperangan cumalah membawa kepada kemusnahan dan kematian. 

2020 & 2021

Sewaktu kita tadika dulu, kita dicanang dengan wawasan 2020, kita terbayangkan kereta terbang, bangunan pencakar langit, robot, cyborg, terminator bersiar-siar di taman, alat komunikasi dalam bentuk hologram keluar dari jam tangan, manusia terbang ke hulu ke hilir pakai jetpack, apa yang orang dulu tahun 70, 80, 90-an bayangkan tentang 2020 amatlah berbeza. 

Realitinya, 2020 kita disajikan dengan pandemik, lockdown, face mask, SOP, norma baharu, gelang pink, swap test, dalgona, roti gardenia, dan pelbagai resepi masakan rakyat Malaysia dari yang menjadi seperti Kavitha atau yang tak jadi masuk facebook.

Catatan Popular