Selasa, 22 Disember 2020

Misi 2020: 18 Buku

Selesai Misi 2019 tahun lepas, kita terus majukan diri untuk Misi 2020, 18 buku untuk setahun, atau 1.5 buku untuk sebulan. Dan sepanjang pembacaan aku tahun ini, banyak yang aku pelajari darinya.

Berikut adalah buku-buku yang aku baca untuk tahun 2020 dan sedikit rumusan dari buku-buku ini. 


1. Around the World in 50 Years: My Adventure to Every Country on Earth

Penulis: Albert Podell

Genre: Non-Fiction, Travels

Rumusan: Tentang pengalaman sebenar Albert Podell, seorang editor Playboy mengelilingi dunia dan setiap negara atas muka bumi ini dalam 50 tahun.

2. The Art of War

Penulis: Sun-Tzu

Genre: Non-Fiction, Classics, Philosophy

Rumusan: Koleksi falsafah dan seni perperangan yang diterbitkan lebih 2500 tahun yang lalu, yang menjadi rujukan ramai tokoh dunia dan boleh diaplikasikan dalam apa-apa bidang di masa kini.

3. Guantanamo Diary

Penulis: Mohamed Ould Slahi, Larry Siems

Genre: Autobiography

Rumusan: Diari kehidupan harian banduan sebenar penjara Guantanamo, diselitkan juga sejarah mengapa beliau dipenjarakan, dan rentetan-rentetan peristiwa dari mula beliau terlibat dalam Al-Qaeda, ketika beliau ditangkap, dibebaskan, ditangkap semula, dipenjara, diseksa, sehinggalah beliau akhirnya bebas pada tahun 2013.

4. The Great Gatsby

Penulis: F. Scott Fitzgerald

Genre: Fiction, Classics

Rumusan: Kisah misteri tentang seorang lelaki kaya dan filantropi, Jay Gatsby yang gemar menganjurkan parti buat orang keramaian namun kerap dilihat bersendirian ditengah parti itu, hingga menimbulkan pelbagai spekulasi dari orang ramai tentang dirinya.

5. The Memoirs of Sherlock Holmes

Penulis: Arthur Conan Doyle

Genre: Fiction, Classics, Mystery

Rumusan: Kumpulan cerita pendek tentang pengembaraan misteri detektif terkenal Sherlock Holmes dan sahabatnya Dr. Watson. Setiap cerita mempunyai misterinya tersendiri dan gaya siasatan Sherlock  sentiasa membuatkan pembaca teruja.

6. O's Little Book of Love & Friendship

Penulis: The Oprah Magazine

Genre: Inspirational

Rumusan: Koleksi pengalaman hidup sebenar tentang kehidupan, cinta dan persahabatan yang dikumpulkan dari kiriman terbaik orang ramai ke Majalah The Oprah dan disusun didalam satu naskah.

7. The Manchester United Supporter's Book

Penulis: John David Thomas White

Genre: Sports

Rumusan: Sejarah, trivia, fakta,dan statistik menarik tentang kelab bola sepak terkemuka England, Manchester United.

8. World War II: The Beginner's Guide

Penulis: Christopher Catherwood

Genre: History

Rumusan: Sejarah tentang Perang Dunia ke-2, tentang punca berlakunya peperangan yang meragut berpuluh juta nyawa, tentang negara yang terlibat, watak utama yang memain peranan, peristiwa dan pertempuran yang penting, teknologi senjata dan risikan, yang dikupas mendalam oleh penulis.

9. The Tusk That Did Damage

Penulis: Tania James

Genre: Fiction Novels, Environment

Rumusan: Novel yang berkisar tentang isu pemburuan haram dan korupsi dari tiga perspektif berbeza iaitu dari Gajah, Pemburu, dan Pembuat Filem. 

10. 28 Hari: Jurnal Rock n Rolls

Penulis: Mohd Jayzuan

Genre: Travelog

Rumusan: Diari perjalanan Jayzuan, seorang pemuzik indie yang menjelajah semenanjung Malaysia selama 28 hari.

11. Lendu

Penulis: Blue

Genre: Misteri, Seram

Rumusan: Buku yang diterbitkan dari catatan diari yang tak dapat dipastikan kesahihannya, tentang kehidupan dan pengalaman seram penulis, Blue disebuah kampus di Lendu.

12. Langit Petang

Penulis: A. Samad Said

Genre: Fiction

Rumusan: Langit Petang mengisahkan tentang 3 insan yang berlainan latar dan falsafah hidup yang hidup berjiran, Pak Arif bekas pejuang kemerdekaan yang dilupakan, Hafiz bekas wartawan yang ingin merantau, dan Zakiah yang mahu membalas dendam pada semua lelaki kerana kisah lampaunya.

13. The Hen Who Dreamed She Could Fly

Penulis: Sun-Mi Hwang

Genre: Fiction

Rumusan: Seekor ayam penelur, yang sudah bosan dengan kehidupan hariannya yang bertelur tanpa peluang melihat anak ayam dari telurnya. Beliau mengimpikan kehidupan bebas dari ladang dan bercita-cita untuk menetaskan telurnya satu hari nanti.

14. Nagasaki: Life After Nuclear War

Penulis: Susan Southard

Genre: History, Non-fiction

Rumusan: Susan Southard mengumpulkan kisah-kisah peribadi dari mangsa-mangsa yang terselamat dari letupan bom nuklear di Nagasaki. Cerita-cerita mangsa tragedi yang disusun menarik dari sebelum, ketika kejadian, selepas kejadian hinggalah masakini.

15. Di Bawah Lindungan Ka'bah

Penulis: Hamka

Genre: Fiction, Classics, Romances

Rumusan: Di Kota Suci Mekah, seorang pemuda menyampai kisah sedih hidupnya kepada rakan barunya, kisah cinta yang tak kesampaian kerana berbeza darjat, dan kisah malang pemuda itu yang kehilangan satu per satu orang yang disayanginya. 

16. Blind Willow, Sleeping Woman

Penulis: Haruki Murakami

Genre: Fiction, Short Stories

Rumusan: Koleksi cerita pendek karya Haruki Murakami, penulis yang mampu mengupas kejadian normal menjadi observasi terperinci dan dicampur adukkan dengan misteri dan kepelikan, yang membuatkan pembaca terpinga-pinga ditinggalkan didunia antara fantasi dan nyata si penulis.

17. Merantau Ke Deli

Penulis: Hamka

Genre: Fiction, Classics, Romances

Rumusan: Merantau Ke Deli merupakan kisah cinta perantau yang mencari rezeki berdagang di Deli, sebuah daerah di Indonesia. Konflik adat, darjat, harta, kesetiaan, dan ilmu berdagang dikupas halus Hamka dalam naskah ini.

18. Rich Dad Poor Dad

Penulis: Robert Kiyosaki

Genre: Self Help, Business, Finance

Rumusan: Robert Kiyosaki menulis tentang perbezaan didikan dari dua orang bapa, bapanya sendiri seorang yang berpendapatan sederhana (Poor Dad) dan bapa rakannya yang mempunyai empayar (Rich Dad). Pelbagai ilmu kewangan dikongsikan disini yang mampu mengubah hidup ramai orang agar lebih celik dalam bidang kewangan.

Khamis, 17 Disember 2020

Membaik Pulih Manchester United II

Tahun lepas, aku ada menulis pendapat aku tentang bagaimana untuk membaik pulih Manchester United pasca Jose Mourinho. Boleh rujuk kembali di SINI

Ringkasan dari tulisan di bawah adalah seperti berikut, dan juga di mana progres nya di tahun 2020

1. Kapten 

Ole membawa masuk Maguire, Bruno, dan Cavani ke dalam pasukan, pemain yang mempunyai ciri-ciri kapten yang lebih baik berbanding bekas kapten 2018 iaitu Ashley Young atau Valencia.

2. Pertahanan kukuh

Usaha untuk memperkukuhkan pertahanan itu ada, cuma masih belum ditahap memuaskan, atau kurang konsistensi. Perbezaan 2020 vs 2018, ramai yang keluar (atau tidak di pilih dalam barisan utama), Smalling, Darmian dijual, Rojo, Jones tak lagi terpilih, Dan Maguire dan Lindelof dilihat sebagai pilihan utama, Baily, Tuanzebe, Fosu Mensah sebagai simpanan.

3. Flank kanan

Masih tidak selesai, Ole membawa masuk AWB dilihat berjaya menaik taraf pertahanan kanan (berbanding 2018) namun masih ketandusan dari segi serangan. Dan James masih tercari-cari rentak walau dilihat agak memberangsangkan di awal musim 2019. Ole cuba membawa Sancho namun dikecewakan oleh Ed Woodward. Jadi kemasukan Facundo Pellestri dan Amad Traore di harap dapat mengisi ruang flank kanan ini.

4. Attitude dan Mentaliti

Kemasukan Bruno dilihat merubah mentaliti pasukan, kita dapat lihat di separuh kedua musim 2019 dimana United mengharungi 20+ perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan sejak kehadiran Bruno. Kemasukan pemain lain seperti VDB, Telles, AWB, Maguire, Dan James, Cavani juga menampakkan recruitment Ole bukan sahaja mementingkan kemahiran, namun juga mentaliti dan attitude.

-----------------------------------------------

Jadi dimana United sekarang? Ole aku lihat menuju kearah yang betul namun dibelenggu dengan ketidakupayaan Ed Woodward dan Matt Judge. Di lihat semakin ramai bakat muda di bawa masuk dari kelab seluruh Eropah seperti Mjebri, Hoogewerf, Joe Hugill, McNeill, Marc Jurado, Fernandes Carreras, Isak dan dilihat membuahkan hasil kerana United U18 kini berada di puncak liga.

Menuju kedepan,masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Barisan pemain hari ini dilihat mampu menumpaskan mana-mana pasukan (dari atas kertas) namun masih belum mencapai konsistensi untuk memenangi sebarang kejuaraan.

1. Pertahanan solid

Masih lagi perlu diperbaiki, kemasukan Maguire dengan perpindahan pertahanan termahal membantu dengan gaya permainan Ole yang mahukan pertahanan yang boleh mengawal dan menghantar bola dengan baik. Namun Ole ada nyatakan yang beliau memerlukan pertahanan tengah berkaki kidal seperti Nathan Ake dan Gabriel Magalhaes namun terlepas kedua-duanya pada seteru liga.

2. Flank kanan

Dilihat harapan mendapatkan Sancho kian pudar dengan United dilihat tidak mahu berbelanja besar atas alasan kesan pandemik. Jadi kehadiran Amad Diallo dapat menambah persaingan untuk posisi ini, buat semantara ini, Mason Greenwood menjadi sandaran terbaik. Gosip perpindahan sudah kedengaran dimana Ole dilihat mencari backup untuk AWB yang boleh lebih membantu dalam menyerang.

3. Set pieces dan hantaran lintang

Sejak perpindahan Fellaini dan Smalling, United dilihat semakin pincang dalam mempertahankan bola hantaran lintang dan set pieces dari sepakan percuma atau sepakan sudut. Walaupun Maguire dilihat mempunyai fizikal yang tinggi, namun pertahanan secara zonal marking dilihat tidak begitu menjadi dan acap kali melihatkan gawang United dibolosi. Mungkin adalah balik Ole mengkaji semula strategi mempertahankan set piece, boleh juga di lantik coach baru yang spesifik untuk set pieces.

4. Konsistensi

Mencari form dan konsistensi. Masalah konsistensi ini begitu ketara apabila pasukan yang sama, dengan taktikal yang sama, boleh kalah teruk di hari ini, dan menang besar keesokan harinya. Form pemain utama juga memain peranan, sebab itu penting untuk sukan berpasukan seperti bola sepak ini untuk saling membantu. Jika hari ini seorang tidak perform, pemain lain harus berusaha lebih membantu rakannya. 

Menang bersama, kalah bersama


Isnin, 19 Oktober 2020

Buku: World War II, A Beginner's Guide & Nagasaki, Life After Nuclear War

 

World War II, atau Perang Dunia ke-2 adalah salah satu peristiwa yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah dunia. Begitupun, peristiwa ini tidak diceritakan (secara terus) di dalam buku teks sejarah di Malaysia. Jadi kebanyakkan perincian dari peristiwa Perang Dunia ke-2 ini hanya aku dapatkan dari filem-filem Hollywood dan video dari youtube dan laman sosial. 

Pada mulanya, aku tidaklah berminat sangat tentang perang yang telah meragut berjuta-juta nyawa (sehingga hari ini, jumlah sebenarnya masih tidak diketahui), tapi setelah membaca dua buku ini aku rasakan sejarah Perang Dunia ini perlu diketahui oleh semua manusia, dari situ dapat kita pelajari menghargai keamanan yang kita kecapi dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Namun mana-mana pembacaan sejarah, kita perlu faham yang wujudnya pandangan dan bias dari sumber-sumbernya dan asingkan bias itu.  

1. World War II - A Beginner's Guide

Bagi aku ini ringkasan perang dunia ke-2 yang baik dari Christopher Catherwood, penulis mencuba sebaik mungkin mengenepikan bias dan mengambil dari pelbagai sumber sejarah dari hampir semua negara yang terlibat. Dari buku ini kita dapat faham apakah punca perperangan ini dari sudut sejarah, namun banyak individu penting, lokasi, dan juga garis masa yang tidak diterangkan secara terperinci disini, yang mana perlu kita lakukan kajian sendiri untuk memahami lebih lanjut penulisan ini. 

2. Nagasaki - Life After Nuclear War

Kajian yang sangat mendalam dari Susan Southard tentang kepayahan hidup mangsa-mangsa yang terselamat dari serangan bom atom di Nagasaki. Susunan garis masa yang cantik dirangka dari sebelum perang, ketika perang, sebelum bom atom, ketika detik bom itu meletus, pasca bom atom, pengakhiran Perang Dunia, hinggalah ke masa kini. Ada satu petikan didalam buku ini yang menyatakan kesengsaraan mangsa yang terselamat lebih malang daripada mangsa yang terkorban.


--------------------------------

"War should be made forbidden" - Tun M

Khamis, 15 Oktober 2020

Rumahtangga, Cinta dan Limau Ais

 "Sayang, apakah umpamanya rumah tangga yang sempurna" tanya si isteri, matanya pegun ke kaca televisyen, kepalanya bersalutkan semerbak haruman syampu dilentukkan diatas bidang bahu si suami.

Sambil menyelak ke helaian seterusnya karya Haruki Murakami, si suami menjawab "umpama limau ais, agaknya". Secara bersahaja suaranya, tak romantis langsung.

"Ha?" terpinga isteri dibuatnya, wawancara Neelofa ditinggalkan sebentar, fokusnya dialihkan ke suaminya dengan kening matanya terukir persoalan dan kekeliruan.

Si suami mengorak senyum kecil diujung pipinya, lagaknya seperti ahli falsafah sebelum menerangkan pemikiran bijak pandainya.

"Limau ais yang sedap itu cukup manisnya, masamnya, sejuk-sejuk air batu yang menyegarkan"

"Cinta itu manisnya, cabaran itu masamnya, toleransi dan jujur itu bagai air batu"

"Terlebih manis, terlebih cinta itu membahayakan"

"Tiada cinta, tiada manis, hilanglah nikmatnya"

"Tiada masam, tiada cabaran itu membosankan"

"Terlalu masam, terlalu mencabar, tiadalah kehidupan"

"Jujur dan toleransi, yang menyimbangkan perhubungan"

"Seperti air batu yang melengkapkan Limau ais"


Jumaat, 18 September 2020

Cuti-Cuti Malaysia: Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya

 Kesibukan kerja kadang-kadang membuat kita terlupa untuk mengambil satu langkah kebelakang, bertenang dan berehat, nikmati percutian dan lupakan sebentar kesibukan kerja dan kesesakan ibukota. Tetapi ramai juga yang tidak punya ruang untuk memohon cuti lebih untuk memandu jauh dari ibukota, mungkin kerana kekangan masa, atau tidak cukup baki cuti tahunan. Jadi cukuplah cuma berpuas-hati dengan percutian pendek dihujung minggu.

Untuk ke destinasi percutian popular seperti Melaka, Penang, Cameron Highland sudah pasti tidak puas jika lebih banyak perjalanan dihabiskan diatas jalan menempuh kesesakan trafik. Ada juga destinasi yang  sentiasa penuh ditempah seperti di Port Dickson atau Janda Baik. Yang lain pula terlalu jauh seperti Redang, Langkawi atau Tioman.

Jadi di mana kita boleh menikmati percutian pendek di hujung minggu, untuk menikmati ketenangan, hotel/resort yang memberikan servis yang baik, mesra keluarga terutama kanak-kanak, dan hampir dengan ibu kota. Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya adalah pilihan yang menarik, cuma 30 minit pemanduan dari Shah Alam, Cyberview Resort & Spa adalah resort boutique bertaraf 5 bintang yang menyajikan pengalaman istirehat yang berkualiti buat seisi keluarga.



Pemeriksaan suhu, mendaftar MySejahtera sebelum masuk ke lobi

Lobi resort (tidak perlu bawa turun luggage,
boleh check-in dulu dan parkir kereta di depan bilik)

Tentang check-in/check-out, prosesnya sangat lancar dan teratur, serta mematuhi SOP yang disarankan, semua pelawat dipastikan sihat dan tidak mempunyai simptom seperti batuk atau demam. Kualiti perkhidmatan dijaga baik, staf juga mesra dan ramah.

Bilik yang kami tempah agak luas dengan berhiaskan reka bentuk moden, dengan 1 katil king + 1 katil single sesuai untuk percutian keluarga. Kawasan premis resort yang seluas 28 ekar persegi berdandankan taman-taman yang menghijau amat sesuai untuk aktiviti team-building, konferens, mesyuarat untuk syarikat atau persatuan. Perkhidmatan buggy ada disediakan, namun tetamu boleh juga memandu kenderaan sendiri kerana parkir disediakan dihadapan setiap bilik/chalet/villa/banglo.

Ruang menunggu yang selesa dan mematuhi SOP


Orang pertama yang merasmikan katil (king bed) dan
toys yang dimenangi di Play United (single bed)

Pintu almari dan bilik air (sliding) dengan reka bentuk yang menjimatkan ruang

Bilik air dengan interior yang menarik

Taman-taman yang menghijau buat hati tenang seketika


Antara aktiviti disajikan selain kolam renang yang berskala besar untuk kanak-kanak dan dewasa, terdapat juga kolam untuk memancing (joran boleh disewa), petting zoo (tetapi haiwannya sudah lari ketika PKP kerana tiada penjaga), jungle jam untuk kanak-kanak (ditutup kerana PKP), gym, tennis dan juga aktiviti berbasikal. 

Bersiar-siar sekitar taman

Meeting tentang Didi & Friend dengan mama

Tub mandi dirasmikan tuan puteri

Ruang balkoni yang luas, sesuai untuk berehat
 minum kopi & baca buku disini

Kak long kawasan

Tak rancang nak mandi pool, jadi tak bawa baju mandi budak tu

Kami menempah room service untuk makan malam, dan makanan yang disediakan juga lazat dan berkualiti. Untuk sarapan pagi, makanan dihidang secara buffet di restoran Verandah, setiap tetamu diarahkan memakai sarung tangan yang disediakan dan topeng muka ketika mengambil makanan. Walau dengan SOP penjarakan sosial yang perlu dipatuhi, ia tidak mengganggu pengalaman kami menikmati sarapan dengan aman.

Kek dari Azlina Ina, untuk sambutan hari lahir
kecil-kecilan

Char kuey tiow

Mash potato + meat balls

Nasi goreng kampung (satu udang lagi dah kena kebas)

Konklusinya, kami berpuas hati dengan penginapan kami di Cyberview Resort & Spa ini. Semoga akan datang ketemu lagi. Terima kasih buat isteriku tercinta yang merancang kejutan (yang tak jadi) percutian bersempena hari lahir saya yang ke-31, hooray!

Ahad, 13 September 2020

Tiga Puluh Satu

 Tiga Puluh Satu

Alhamdulillah, masih sihat.

Tahun 2020, meski tak seperti yang kita bayangkan tika menyanyikan lagu wawasan 2020 di sekolah dulu. Tapi tetap aku bersyukur diberi peluang untuk menjalankan hidup setahun lagi. Tahun yang agak pelik untuk seluruh warga bumi. Di awal tahun pemanasan global menjadi-jadi, dengan kebakaran hutan besar-besaran di serata dunia, termasuk di bumi kita Malaysia. Kemudian polemik politik di Malaysia pula tercetus, selepas sinar demokratik yang saksama dilihat selepas tumbangnya parti kerajaan yang memerintah 60 tahun lamanya ketika PRU 2 tahun lepas, dan kembalinya mantan Perdana Mentari menjadi PM ke-7 Malaysia dan juga PM tertua yang dilantik pada usia 93 tahun. Ketika Malaysia diambang serangan pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia bertukar tangan lagi. Seluruh dunia terhenti seketika selepas penularan pandemik menjadi semakin teruk, sempadan negara ditutup, perintah kawalan pergerakan diumumkan, sekolah, universiti, hotel, dan pelbagai sektor lain dihentikan, sektor keperluan penting dibataskan. Dan kebanyakan umur 30 aku dihabiskan bersama keluarga didalam lingkungan rumah kecil kami. Hingga Ramadan dan Syawal terasa begitu cepat berlalu. Pelbagai rancangan kami sepanjang tahun terpaksa dibatalkan. Sehingga kes Covid-19 semakin terkawal barulah perlahan-lahan kekangan pergerakan dilonggarkan.

Ayra Sofea semakin keletah, sudah perlahan-lahan berdikari, pakai baju sendiri, mandi sendiri, ambil makanan sendiri, makan sendiri. vokabulari nya juga semakin bertambah, kenal haiwan, kenal tubuh badan, kenal orang, cuma belum boleh membina ayat (kecuali bahasa alien). Tapi sudah pandai menunjukkan emosi, marah, gembira, sedih, pandai meminta apa yang dia nak, apa yang dia tak nak. Dan antara hikmah pandemik ini adalah aku dapat lihat semua ini berlaku depan mata aku sendiri.

Apapun, seteruk mana cabaran yang terjadi, lihatlah sudut positifnya, jalanilah dengan tabah dan sabar bersama-sama dengan penuh syukur.


Isnin, 24 Ogos 2020

Jatuh Motor





Menjelang senja, lebih kurang sebulan lepas, seperti hari-hari lainnya, aku menunggang motorsikal untuk pulang ke rumah dari pejabat. Aku tergelincir jatuh motor dikawasan berpasir di tepi tol Bukit Jelutong, dalam kelajuan sekitar 80km/j, tergolek-golek seperti babak aksi filem Bollywood juga aku di situ, mujur kereta-kereta dari belakang tak laju kerana baru keluar tol. Entah macam mana otak aku tak fokus masa tu, mungkin sibuk fikirkan kerja. Semenjak 3 bulan sebelum itu kerja dipejabat agak berlambak juga dek kerana transformasi dalam organisasi dan cara beroperasi. Jadi skop kerja aku juga makin bertambah dan tanggungjawab semakin berat. Dalam kepala sentiasa sibuk berkerja walaupun ketika menunggang motorsikal.

Di atas motor ni, tak sama seperti kenderaan lain. Malang tak berbau, punca nahas ni boleh jadi dari sebesar-besar lori, hinggalah ke sekecil-kecil pasir. Dan malangnya tidak kiralah salah siapapun sesuatu kemalangan melibatkan motorsikal, kereta tukar lorong mengejut ke, lori tak bagi signal ke, orang langgar kita ke, atau kita langgar orang ke, penunggang motor tetap akan sakit.

Mengikut sejarahnya, ini kecederaan aku paling teruk setakat lebih 10 tahun menunggang motor (sebelum ni 2 kali kena langgar, tapi luka sikit saja, satu kali hampir jatuh ketika selekoh dan terseliuh buku lali sebab tahan jatuh, satu kali masuk parit langgar pokok pisang masa baru belajar bawa motor, tiada kecederaan). Luka-luka satu badan, syukur tak ada yang patah (kecuali patah hati duit melayang nak baiki motor), begitupun aku kena bedah dilutut kerana luka yang dalam mengoyakkan sendi lutut, jadi perlu 4 jahitan luar dan 4 jahitan dalam selepas dua hari tidur di hospital. Dapat 2 minggu MC (walaupun kena kerja juga) dan nasiblah musim PKPP jadi boleh minta bos bagi kerja dari rumah sehingga pulih sepenuhnya.

Hari ini aku kembali ke pejabat, menunggang motor seperti biasa. Tapi orang rumah dah belikan jaket dan sarung tangan keselamatan untuk langkah berjaga-jaga. Mujur ada yang sayang. Pengajarannya, berhati-hatilah dijalan raya, sentiasa fokus dan ingatlah orang yang tersayang.

 

Selasa, 18 Ogos 2020

Cuti-Cuti Malaysia: Wonderland Private Chalet, Port Dickson

 Tanggal 16 Ogos 2020, genaplah Ayra Sofea menjangkau umur 2 tahun. Terasa begitu cepat masa berlalu, belum puas kami menggomol budak kecil ini, tanpa sedar yang dia sudah semakin membesar. Untuk menyambut hari kelahirannya kami merancang untuk keluar bercuti, walau dengan kekangan virus Covid-19 yang masih berleluasa, kami teruskan juga dengan mematuhi SOP yang ketat dan sedaya mungkin mengamalkan penjarakan sosial.

Setelah rakyat Malaysia (dan sedunia) terperap di rumah untuk mematuhi arahan PKP selama berbulan lamanya, kerajaan perlahan-lahan melonggarkan arahan demi membangkitkan sektor ekonomi yang kian merudum. Sektor hotel dan pelancongan dibenarkan kembali beroperasi, namun dengan syarat perlu mengamalkan norma baru bagi mengelakkan menularan semula virus Covid-19. Dengan pelancongan keluar negara masih lagi tidak dibenarkan, hotel-hotel sekitar Malaysia penuh ditempah disetiap hujung minggu.

Setelah puas mencari lokasi pelancongan yang sesuai, mesra keluarga, dan selamat, kami memutuskan untuk menempah bilik di Wonderland Private Chalet, Port Dickson. Menginginkan suasana percutian ditepi pantai, dengan bilik yang di atas air, dengan hotel/resort terkenal seperti Lexis, Avilion, dan lain-lain semuanya penuh, Wonderland Private Chalet adalah pilihan yang kami ada.

Wonderland Chalet terletak diantara chalet Lexis ini
Pintu masuk yang sama dengan Lexis

Wonderland Private Chalet terletak didalam kompaun premis Lexis dan Grand Lexis, saya difahamkan oleh pengawal disitu, secara amnya, chalet ini adalah pemilikan persendirian yang disewakan, namun biliknya terletak diantara bilik-bilik milik Lexis. Jadi reka bentuknya, hiasan bilik juga menggunakan hiasan Lexis (cuma mungkin reka bentuk yang lama). Perabot dan kemudahan agak lama, dan kemudahan ameniti tidak sepenuhnya, jika merancang menempah disini, jangan lupa bawa ubat gigi, sabun, sejadah dan mungkin tuala mandi (tuala disediakan agak meragukan kebersihannya). 

Setiap kali masuk hotel dia rasmi katil dulu

Bath tub yang besar (sepatutnya hot tub,
tapi airnya kejap panas, kejap sejuk)

Acah-acah tidur

Dibenarkan memancing di balkoni (joran
dan umpan bawa sendiri)

Proses check-in dan check-out nya agak mengelirukan, kerana pembayaran tempahan dilakukan melalui booking.com. Namun tiada kaunter pendaftaran disediakan, walaupun kami dibenarkan menggunakan kemudahan Lexis seperti parkir dan lobi. Segala urusan dilakukan melalui talian, kami disuruh menunggu di lif, kemudian dijemput oleh staf (tanpa uniform) kebilik dan diberi kunci. Deposit RM100 melalui pemindahan dalam talian atau tunai diperlukan (tiada kemudahan kredit kad). Jadi perlu faham disini, ini adalah harta persendirian yang disewakan, seperti anda menyewa homestay atau aparment di AirBnB. 

Pasca PKP ini, kesemua kemudahan ditutup. Termasuklah kolam renang, restoran, dan bilik wayang. Jadi kami cuma menghabiskan masa didalam bilik, bersiar-siar dikawasan hotel dan membeli makanan siap-siap dari luar. Pantai yang berdekatan penuh dengan pengunjung, jadi kami membatalkan hasrat kami untuk membawa Ayra Sofea bermain pasir pantai.

Wording dibantal "Lexis", hiasan birthday
semuanya sendirian berhad

Belum sempat apa-apa dia dah cuit kek

Semoga Ayra Sofea menjadi anak solehah,
penyejuk dimata, penawar dihati papa& mama

Kita belum selamat, sila patuhi SOP

Chalet atas air, pengalaman baru buat Ayra Sofea

Kalau dibiarkan, berjam-jam boleh dia berendam

Ayra Sofea dan duck-ducknya

Bincang warna langit dengan papa

Kesimpulan disini, walaupun mungkin ini bukanlah percutian impian yang kami bayangkan, namun si kecil Ayra Sofea gembira disini (dapat berjalan-jalan tukar angin). Apa pun, kami bersyukur diberi peluang menginap disini dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dengan mematuhi norma baru dikala negara dan dunia berlawan dengan pandemik virus Covid-19. Doa kami pandemik ini lekas hilang supaya kami dapat bercuti dengan lebih aman dan selamat.

Jumaat, 14 Ogos 2020

Filem: Sentuhan ke Jiwa

Disini ingin aku kongsikan beberapa filem yang berjaya meninggalkan aku beberapa hari terperangkap dalam plot cerita mereka, otak kerap teringatkan dialog-dialognya, hati terasa panas perlahan-perlahan menaik hingga membasah ke hujung mata, bergelodak perut mengenangkan babak-babak yang dimainkannya.

1. Intouchable

Seorang kaya yang kurang upaya berkulit putih menggajikan lelaki kulit gelap untuk menjaganya walaupun mendapat tentangan orang sekeliling kerana prejudis perkauman dan rekod jenayah lelaki tersebut. Perjalanan mereka mendalami kehidupan yang terlalu kontra antara masing-masing membangkitkan pelbagai konflik dan epifani. 

2. Capernaum

Seorang kanak-kanak 12 tahun ingin menyaman ibu-bapanya, selepas pelbagai penderitaan yang dilaluinya. Kehidupan ghetto yang memaparkan sisi gelap dunia masa kini yang tidak mempedulikan suara dan hak anak-anak yang dambakan kasih sayang.

3. Like a Star on Earth

Kisah seorang guru sambilan yang cuba memenangi jiwa seorang kanak-kanak disleksia yang sudah menyerah kalah pada dunia kerana pembulian dan seksaan mental fizikal yang dilaluinya. Seluruh manusia mengukur kejayaan anak pada gred pelajarannya hingga lupa tabii asal manusia yang perlukan kebebasan, dan menghukum pada kelemahan sebelum menerima yang setiap manusia itu berlainan kelebihannya.

4. A Beautiful Mind

Genius matematik yang bergelut dengan masalah skizofrenia, yang mana kian hari keadaannya bertambah teruk apabila beliau tidak dapat membezakan antara yang nyata dan maya, sehingga memburukkan keadaan beliau bersama rakan dan keluarga.

5. The Shawshank Redemption

Penjara Shawshank menyatukan dua orang sahabat yang dijatuhkan hukuman penjara yang panjang atas kesalahan membunuh. Tempoh di penjara mengajar mereka pelbagai nilai kehidupan dan jangan pernah mengalah pada harapan.

Isnin, 10 Ogos 2020

Angin Hitam

Sementelah setahun berlalu, kontang langsung bumi yang suatu ketika dahulu hijau lagi mendamaikan. Sejak bertiup angin hitam yang menyinggah lantas membunuh hidupan-hidupan dengan perlahan-lahan. Kini yang masih bertahan cumalah hidupan yang punya daya tahan dan imunisasi yang kuat sahaja, "survival of the fittest". 

Di tanah tandus ini, tinggal cuma seorang lelaki. Menjalani hidup sehari-hari berseorangan bertemankan cuma lagu Akon - Lonely. Selepas setahun beliau berdepan dengan kematian dan angin hitam yang menyelubungi seluruh pelusuk Bumi. 

---------------------

Setahun lalu, Azmir adalah seorang pegawai eksekutif pemasaran di syarikat pembekal makanan. Seperti lelaki biasa, beliau menjalani hidup normal bersama isterinya, Julia dan dua orang anaknya, Marisa dan Amir. Sedari pulang beliau dari pejabat, Azmir singgah sebentar di gerai Nasi Kandar Salman untuk membeli bekal makanan buat mereka sekeluarga, mengetahui Julia pasti letih pulang dari kerja dan tidak larat untuk memasak. Julia bekerja sebagai kerani di pejabat guaman di ibu negara, dan beliau perlu menempuhi kesesakan lalu lintas selama sejam untuk pergi dan balik ke tempat kerjanya.

"Anney, bungkus nasi kandar lauk ayam 3, kuah kasi asing ya, satu letak sayur" Ujar Azmir kepada pekerja gerai setibanya beliau di gerai Nasi Kandar Salman. Pekerja gerai berbangsa India itu cuma mengangguk kepala tanda faham.

Selepas beberapa ketika "Siap, bayar sana bos", pekerja tadi menghulurkan plastik berbungkus nasi dan lauk sambil mulutnya menjuih kearah majikannya, lelaki gempal bermisai tebal di meja bayaran. "Thank you" Azmir menyambut dan terus kemeja bayaran, dihulurnya beberapa helai not wang kertas bertukar tangan selepas menyatakan pembelian beliau.

Kemudian beliau berlalu keluar dari kedai, sebaik sahaja melangkah keluar. Azmir disapa pakcik berjanggut dan berserban meminta sedekah, sambil menghulurkan tisu dan muka yang teramat kasihan. Dek rasa belas dihati, Azmir menghulur sehelai not RM5 buat pakcik tadi dan berlalu memasuki keretanya.

Dari dalam kereta dia memerhati pakcik tadi menegur beberapa lagi orang pelanggan kedai. Entah sudah berapa ramai manusia sudah pakcik itu menagih simpati. Bentak hati Azmir, lalu beliau meneruskan perjalananan. 

Sebelum tiba dirumah, Azmir sempat berhenti mengisi minyak di petrol pam bersebelahan masjid. Teringat pula beliau belum menunaikan solat Asar, lalu beliau pun singgah di masjid. Sempat juga beramah mesra dengan tok imam, bilal dan beberapa kariah masjid yang baru selesai menyempurnakan solat jenazah arwah Ustaz Zali, yang meninggal mengejut kerana sesak nafas awal pagi tadi.

Seusai solat, Azmir bergerak menuju ke sekolah untuk mengambil dua orang anaknya yang tercinta. Ketika dipintu sekolah beliau terserempak dengan cikgu anaknya yang dihadapan pintu sekolah. Cikgu Arifin mesra orangnya, beliau juga sangat berdedikasi mendidik anak bangsa untuk berjaya. Selepas beberapa ketika berborak pendek, Marisa dan Amir pun tiba lantas Azmir pun meminta diri untuk pulang pada Cikgu Arifin.  

"Marisa belajar apa hari ni?" soal Azmir pada anaknya, "Hmmm.." panjang Marisa berfikir, belum sempat Marisa menjawab, adiknya Amir pula mencelah "Amir belajar kira-kira, melukis, blah blah" Marisa cuma mencebik bibir comelnya membiarkan adiknya membebel. Azmir cuba tersenyum sambil memandu pulang.

Tiba saja mereka kerumah, Amir dan Marisa terus terjelepuk diatas sofa sambil tangan kecil Amir menekan-nekan butang alat kawalan televisyen. "Marisa, Amir, pergi mandi tukar baju, nanti mama balik kang mama marah" ujar Azmir kepada anak-anaknya sambil meletak beg kerja dan bungkusan nasi kandar di meja makan. Kedua-dua anaknya cuma berlakon longlai seperti tulang-tulang mereka memberat menjadi besi, Azmir cuma tersenyum melihat telatah anak-anaknya.

Tiba-tiba kedengaran enjin kereta Julia tiba didepan rumah. "Ha, siaplah korang" sergah Azmir pada anak beliau, tapi tak diendahkan mereka, malah berkejaran dua beradik tadi mendapatkan ibu mereka.
Beberapa ketika kemudian Julia masuk kerumah disambut suami tercintanya dengan salam, cium, dan pelukan kasih. "Penat?" soal Azmir, Julia mengangguk longlai.

"Aah, esok kena ke mahkamah, kena teman Dato' Syafiqi, ada kes besar" Julia mengadu pada suaminya. "Patutlah nampak stress je muka, meh abang urut" Azmir mengusik. "Gatal" ujar Julia sambil mencubit manja suaminya.

--------------------------

Dan begitulah berlalu hari normal terakhir yang Azmir ingati. Seterusnya, cuma angin hitam mencorak sejarah berhembus. 


Isnin, 2 Mac 2020

Explorasi Geng Lapo: Tersesat ke Lubuk Makau, Sg Luit

Selepas setahun explorasi terakhir Geng Lapo ke Lata Tampit (baca sini), Geng Lapo tekad untuk kembali beraksi. Geng Lapo adalah sekumpulan anak jantan gagah perkasa yang dipertemukan takdir dan kemudiannya membentuk gagasan yang berkongsi misi dan matlamat dan berpegang teguh pada petikan kata hikmat "Put me anywhere, I can shine".

Ahmad Sayuti, anak jati Pahang ini juga dikenali sebagai pengakap hutan dikalangan rakan seperjuangan kerana prinsipnya yang teguh memelihara kehijauan dan kebersihan hutan amatlah dikagumi, beliaulah yang menjadi tonggak explorasi ini dengan merancang dan membentangkan idea untuk mendaki ke Air Terjun Lubuk Mecu/Lata Medang di Sg. Pertak, Kuala Kubu Bharu tulis-nama-atas-batu. Idea yang dipersetujui sebulat suara ahli Geng Lapo berbulan sebelum tarikh explorasinya pada 29/02/2020, memberi ruang masa yang cukup buat ahli-ahli untuk memujuk isteri masing-masing memberi permit kelepasan. Begitupun beberapa ahli gagal memperoleh permit dan terpaksa ditinggalkan. "If you focus on what you left behind, you'll never see what lies ahead" memetik kata-kata Gusteau, Geng Lapo teguh meneruskan perjuangan ini.

Tanggal 29/02/2020: Seusai Subuh, dihari kejadian itu, kelihatan sekumpulan 8 orang lelaki berkumpul dibawah sinaran jingga lampu jalan bersama embun dan kabus (atau asap vape) pagi, bersedia bertolak menempuh cabaran yang akan menanti mereka, walaupun diuji dengan kelewatan Aizat Rusli, jika pembaca mengikuti pengembaraan Geng Lapo sedari awal, kenallah anda dengan watak Aizat a.k.a scammer professional yang kerap bermadah helah disetiap explorasi. Kali ini, disaat-saat akhir, beliau mengatakan hasrat tidak dapat hadir, namun tiada siapa yang mempercayai beliau.

"Gerak awal boleh balik awal" Shahir Abdullah
Berbekalkan kudrat tulang empat kerat, hati yang cekal, doa dari sanak famili serta topik hangat politik masakini, mereka bertolak ke Sg. Pertak, Kuala Kubu tulis-nama-atas-batu. Pemanduan dari ibukota ke Sg. Pertak mengambil masa kira-kira 1 jam lebih jika dirujuk pada Gugel Maps. Ditambah dengan masa rehat untuk bersarapan nasi lemak telur mata disebelah kedai Pak Ali Legend, juga Shahir Abdullah tiba-tiba ada kecemasan dan berhenti memerut ditandas masjid, dan juga membeli barang keperluan asasi perkhemahan seperti jajan, air dan lighter (di era rokok siber ini, tak ada yang bawa lighter, nasib baik ingat, kalau tak terpaksalah mereka menggugel cara menghidupkan api menggunakan batu), mereka tiba ke tapak Perkhemahan Sg. Pertak sekitar jam 9.30am, itupun selepas ditolak masa bersiar-siar (sesat) dalam pekan Kuala Kubu mencari kedai runcit.

Lepak sarapan di gerai sebelah Pak Ali Legend, Bukit Beruntung
Ingatkan berhenti nak solat Dhuha, rupanya nak tumpang tandas
Bersiar-siar di pekan KKB demi sebiji lighter
Panduan untuk ke Sg. Pertak agak mudah, dari pekan Kuala Kubu, pandu sahaja terus menghala ke Bukit Fraser, selepas melalui empangan air Kuala Kubu Bharu, akan ada simpang ke Kg. Pertak sebaik melepasi jambatan disebelah kanan jalan (jika dah ternampak Sg Chilling atau jambatan besi kecil, tandanya anda sudah pun terbabas, kalau nampak Bukit Fraser, disarankan untuk memandu terus sampai ke Raub dan ambil kelas memandu balik). Dari situ akan berjumpa simpang tiga, belok ke kanan untuk melalui perkampungan orang asli. Ada bayaran RM1/orang perlu dilunaskan di pintu masuk tapak perkhemahan sebelum tibanya mereka ke destinasi. Lambakan puluhan (atau ratusan) kereta memenuhi sepanjang jalan menandakan mereka tiba ditempat yang betul.

Bermulalah explorasi yang telah lama dirancang itu selepas usai bacaan doa dari Aizuddin Jaafar, penulis blog Kura-Kura Jadian. Ingat, apapun yang kita kerjakan, mohonlah kepadaNya dahulu. "Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan" (Ghafir, 40:60). Membawa jiwa-jiwa merdeka mereka melangkah gagah dengan azam yang lama terpendam, meluangkan masa bersama sahabat dan melupakan hal ehwal masalah dunia dan negara buat seketika, seperti isu virus covid-19 dan krisis politik negara Malaysia, disamping untuk beriadah bagi mengamalkan gaya hidup sihat dan juga berbarbeku membakar kambing resepi chef Hazim Mohamad, ada ura-ura mengatakan beliau pernah berguru dengan Gordon Ramsay untuk menghasilkan perapan kambing yang sedap dan tidak pernah mengecewakan Geng Lapo.

Memandangkan tiada sesiapa dari Geng Lapo yang pernah ke Lubuk Mecu, mereka mendaki hanya dengan berpandukan dari bacaan di blog-blog dan bertanyakan jalan pada orang-orang yang ditemui disepanjang perjalanan, Perlu pembaca tahu, dari Sg. Pertak, terdapat beberapa destinasi pendakian yang kerap dituju para penggemar aktiviti outdoor. Antaranya Bukit Kutu, Lata Medang, Lubuk Mecu, Gunung Rajah dan Lubuk Makau. Begitupun, treknya jelas dan tidak perlu menebas untuk membuka jalan, juga tidak ada pendakian yang curam melebihi 45 darjah kecerunan, tetapi trek itu mempunyai beberapa simpang yang menuju ke destinasi yang berbeza. Dari parkir, jalan masuk akan menemukan dua jambatan besi (yang kedua sudah separa roboh) dan kawasan perkhemahan yang dijaga orang asli (bayaran RM3/orang dan RM20/khemah), di kawasan perkhemahan itulah Geng Lapo bertemu dengan seorang lelaki iras-iras King dari KL Gengster yang sedang mengumpul kayu api, berdasar panduan dari abang King, beliau mengatakan didepan nanti akan ada simpang, simpang pertama, akan bersatu kembali. Di persimpangan kedua, kekanan menuju ke Bukit Kutu, ke kiri menuju ke Lata Medang/Lubuk Mecu. Di persimpangan kedua mereka terjumpa geng orang asli yang dalam perjalanan menangkap ikan, dan mereka menunjuk arah yang sama seperti abang King tunjukkan.
Jambatan besi ke-2 yang hampir roboh
Kami berjalan mengikuti penanda arah tali merah dibelakang Ahmad Fahmi
Dari bacaan diblog, Lata Medang dijangkakan sekitar 6km jauhnya dari tapak perkhemahan, yang mengambil masa sekitar 2 jam pendakian. Lubuk Mecu pula lebih kebawah sikit, mungkin kurang 15 minit perjalanan dari ke Lata Medang. Tiba pula Geng Lapo dipersimpangan ketiga, yang tak diperkatakan oleh abang King dan orang asli tadi, mahu gugel tiada liputan internet pula dalam hutan ini, Ahmad Sayuti selaku ketua rombongan memutuskan untuk ke kiri.

Pemuda PKR, Khairul Anwar yang ceria
"Binatang apa yang pandai memasak?"
"Kera, sebab dia ada periuk"
Antara flora dan fauna yang ada disini
Selepas hampir 2 jam lebih perjalanan, masih tidak kelihatan baik Lubuk Mecu atau Lata Medang, ada juga mereka terjumpa tapak kem namun kawasan air terjunnya tidak se gah yang dilihat dari blog-blog. Jadi sekumpulan lelaki yang cekal ini meneruskan juga perjalanan hinggalah mereka terjumpa satu lagi simpang dengan penanda arah (Kiri: Makau, Kanan: Rajah), tiada sebarang tanda Lata Medang mahupun Lubuk Mecu. Sekali lagi Ahmad mengambil peranan memutuskan untuk ke Makau. Setelah hampir 3 jam berjalan dari Sg Pertak tadi, kesemua ahli telah pun lemah semangat, Ismaul Fahmi, atau lebih mesra disapa sebagai Bung kerana darah jawa sejati dimilikinya, selaku ahli paling veteran dalam kumpulan ini kelihatan mula termengah-mengah. Shahir (atau lebih dikenali sebagai Abe) mula mengeluh "Mana korang nak bawa aku ni?" Teringat Aizuddin pada opah beliau tatkala ibunya membawa opah berjalan-jalan "Mana ko nak bawa aku ni.. Aku nak balik rumah aku".

Kehijauan yang mendamaikan
Kelihatan Bung dan Abe yang kepenatan 
Majoriti trek disini mendatar dan tak terlalu curam
Ketua pengakap aka alumni Brainy Bunch dah sakit lutut

Sekitar 12.30pm, sampailah mereka ketapak perkhemahan Lubuk Makau, dengan Air Terjun yang tinggi dan kolam takungan yang luas, Hazim dan Ahmad terus merasmikan air terjun yang sejuk dan menyegarkan itu. Tanpa berlengah, Ahmad Fahmi, selaku ahli Geng Lapo paling muda mula menyalakan api dan membakar arang, sudah tentu juga Khairul Anwar, selaku pemuda PKR tidak mahu ketinggalan peluang melampiaskan amarah beliau pada situasi politik masakini dengan bermain api, disertai juga Shahir, yang mahu membakar cepat supaya boleh balik awal takut bini marah. Selepas 3 jam berehat, mentedarah kambing bakar/hotdog/burger/daging ribeye, mandi manda dan sambung makan kembali. Mereka mula-mula beransur-ansur bersiap untuk pulang.

Sesampai saja di kem, terus Khairul, Abe, dan Ahmad Fahmi mula membakar
Kambing bakar dan Ribeye, nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?
Kolam mandi yang luas dengan air yang sejuk
Jejaka-jejaka idaman Malaya
Menuruni Lata Makau mengambil masa kira-kira 2 jam lebih, Dengan jumlah jarak perjalanan sejauh 15km, dalam sedar tak sedar mereka telah menghabiskan masa seharian disana. Ketika bertolak, Tun M masih Perdana Menteri sementara, ketika pulang, Muhyidin Yasin menjadi Perdana Menteri yang baru.

Sebagai rumusan, rancanglah explorasi anda sebaiknya. Alangkah bernasib baik mereka tidak memilih ke Rajah, yang perjalanan ke puncak mengambil masa 7 jam. Pun begitu, Lubuk Makau juga adalah destinasi yang baik, agak terpencil dan kurang pengunjung berbanding Lata Medang dan Lubuk Mecu. Mungkin Geng Lapo akan kembali untuk menawan Lata Medang pula di masa akan datang.

Catatan Popular