Setelah hampir setahun Geng Lapo menyepi dari explorasi, tanggal 21 Julai tempoh hari kami kembali beraksi. Objektif explorasi kali ini adalah untuk menikmati alam semulajadi, membakar sedikit kalori dengan light trekking, dan topup balik kalori tu dengan BBQ dan memburu durian.
Berdasarkan objektif tersebut, rancangan Geng Lapo kali ini bermula dari Shah Alam menuju ke Sungai Chiling, letaknya di Kuala Kubu Bharu tulis nama atas batu. Trekking sikit, mandi manda kemudiannya aktiviti membakar kambing resepi rahsia chef Hazim yang sedap nyamnyam hingga menjilat jari. Dan diteruskan perjalanan melalui Bukit Fraser menuju ke Raub, syurga pemburu durian. Selepas makan durian sampai puas sambung lagi jalan menuju ke Lemang To'ki di Bentong. Lepas tu balik dan tidur dalam perut yang kekenyangan. Itulah rancangannya, semuanya dari pukul 6 pagi hingga 7.30 malam, kira-kira 13 jam total.
Explorasi ini dirancang dengan kekuatan 8 anggota pada asalnya, aku, Hazim, Amad, Bung, Oyed PUBG, Ijat, Kerul, dan Amad Famie. Ijat boleh pula kata tak boleh join sebab ada interview (kejadah apakah interview di hari Sabtu). Memandangkan kami sudah masak dengan perangai Ijat yang kerap madah berhelahnya, kami layankan aje.
Di hari kejadian, seawal subuh kami berkumpul di Batu 3, Shah Alam, solat subuh berjemaah di Surau Batu 3 bagi memulakan hari yang diberkati ini. Seusai solat, kelihatan kereta Ijat tak jauh dari lokasi kami berkumpul, begitulah member-member. Kalau tak kencing member, nak kencing siapa lagi, ye dok?
Kurang lebih 6.30 pagi, kami bertolak. Dan berhenti sarapan di Restoran Haniza, Merbau Sempak. Meriah kedai ini walaupun matahari baru saja menyinsing, terasa kemeriahan suasana desa. Menjadi pilihan pakcik-pakcik balik dari surau lepak mengeteh secawan dua.
|
Restoran Haniza menyediakan pelbagai juadah seawal subuh lagi |
Setelah kenyang bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Kubu Bharu tulis nama atas batu. Perjalanan dari Merbau Sempak mengambil masa kira-kira 1 jam, boleh tahan jugak walau dalam gugel map nampak macam dekat, tak sampai sejengkal pun.
|
Pemandangan bukit bukau flora dan fauna yang memikat jiwa-jiwa yang dambakan kedamaian |
Sungai Chiling, yang menjadi santuari ikan kelah, spesis ikan yang dilindung adalah bawah seliaan Jabatan Perikanan. Juga menjadi tumpuan mereka yang cintakan aktiviti
luar pintu (outdoor) dan alam semulajadi. Berikut adalah perincian berkaitan Sungai Chiling ni:
Caj kemasukan: RM1/seorang
Caj lain: RM3 bagi setiap bungkusan/plastik/botol/etc
Dibuka: Jumaat hingga Ahad (kecuali hari hujan)
Dari 8 pagi hingga 6 petang, tapi selepas 3 petang biasa tak boleh masuk dah.
Trekking ke air terjun utama mengambil masa 45 minit sehala.
Level beginner pun boleh naik, senang je track dia.
BBQ hanya dibenarkan di campsite (kat bawah dekat entrance)
Camping kena inform awal dengan Jabatan Perikanan.
Nak ke sini: Senang je nak cari Sungai Chiling ni, bolehlah gugel "Santuari Ikan Sungai Chiling", Atau kalau dari NKVE, anda akan exit di Bukit Beruntung, dan ikut signboard ke Kuala Kubu Bharu. Lepas dari pekan KKB tu, terus sahaja menghala ke Bukit Fraser. Di perjalanan itu anda akan jumpa empangan air KKB, terus lagi anda akan nampak jambatan besi dan kemudiannya ada tempat parking di kiri jalan. Dan anda akan nampak pintu gerbang "Santuari Ikan Sungai Chiling" di kanan jalan.
|
Empangan Air KKB, seluas mata memandang |
|
Ijat scammer (ceit, interview konon), kelihatan sedang berposing didepan gerbang masuk Sg. Chiling (boleh dilihat dari tepi jalan, jangan terlajak lak) |
|
Kerul dan Amad masih berkira-kira nak angkat barang BBQ ke tak |
Untuk pengetahuan korang, dekat parking kereta ni tak ada orang jaga, jadi risiko tanggung sendiri. Lepas tu banyak monyet, hati-hatilah ye. Barang-barang BBQ boleh angkat siap-siap, tapi tak perlulah nak bawa naik trekking, boleh tumpang simpan kat pakcik jaga pintu depan tu, kalau ada makanan, jajan atau air nak bawa naik air terjun, sila declare siap-siap. Pakcik tu ok, kelaka pun kelaka. Kitorang letak deposit RM100 sebab malas nak kira berapa banyak barang plastik bawa masuk, dan kitorang pembersih, tak buang sampah merata, tu yang konfiden letak deposit besar tu. Pastu penyepit makanan kitorang tertinggal, kitorang pinjam kat dia. Kalau nak pinjam jaring, sudu garpu, boleh je, tapi ikut budi bicara dia la. Cakap elok-elok konfem dia bagi.
(Lagu latar *Bangsa Malaysia berhemah tinggi, Ramah dan mesra elok pekerti, Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi, Bertimbang rasa hormat menghormati*)
Maklumat lanjut boleh contact melalui:
Whatsapp: +60 12 9025 829
Call: +60 3 6064 1214
|
Amad dan sebekas spagetti carbonara memasuki kawasan campsite, boleh dilihat tempat mendaftar nun dibelakang sana |
|
Pepatah omputeh ada mengatakan "Water under the bridge" |
Trekking kat sini kena lintas sungai 6 kali (2 kali tu ada jambatan/pokok tumbang), jadi pakailah kasut dan pakaian yang sesuai untuk berbasah-basah. Sepanjang perjalanan tu aku nampak gak beberapa pasang kasut yang tersadai menjadi korban kerana tak sesuai masuk air. Cari je kasut adidas kampung tu, RM10 je kat kedai hardware.
|
Ikan kelah jinak-jinak disini, beli makanan ikan atau roti untuk panggil mereka datang kat korang |
|
"Saya tengok awak, saya yakin" Ujar pakcik yang jaga di pintu depan kepada Kerul ketika ditanyakan perihal keselamatan air terjun Sg. Chiling |
|
Penuh manusia, kitorang lambat sampai. Kuak orang baru nampak air kat air terjun ni |
Pengajaran dari kami, kalau ada niat nak datang sini, datanglah awal-awal. Kalau tak, penuh tak ada port nak mandi kat atas ni. Kalau dah penuh tu ada je port lain untuk mandi kat bawah-bawah tu. Dekat campsite pun banyak port, cuma tak ada air terjun tinggi tu je la.
Setel trekking kitorang mandi-manda. Pastu turun campsite, start BBQ. Ya Allah, Tuhan saja yang tau laparnya time tu, batu kayu goreng pun sedap lapo lapo ni. Ni dapat lak kambing bakar, perghh! Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?
|
"Kau ni main je ni" Tegur Amad Famie pada Kerul yang lebih main api dari bakar kambing |
Setel BBQ, kitorang bergerak untuk misi seterusnya. Menghala ke Raub, demi untuk memburu raja segala buah. Yang hanya mampir bila musimnya, dan dihari ini, adalah musimnya. Waktu yang paling tepat untuk memburu buah yang menjadi kegilaan rakyat nusantara, samada anda mencintainya, atau membencinya. Itulah dia, Durian!
|
Terima kasih Sg. Chiling. Jadilah warganegara yang bertanggungjawab, jagalah kebersihan sungai kita |
Perjalanan dari Sg. Chiling ke Raub agak mencabar. Perjalananan mengambil masa 1 jam 30 minit melalui jalan yang bengkang bengkok bagai macam Sajat. Berhati-hati memandu kerana jalan agak sempit dan alert pada cyclist, hujung minggu memang orang cycling kat atas ni.
|
Raja Musang, antara durian yang menjadi kegilaan ramai |
|
Chef Hazim dan Amad menunjukkan skill masing-masing memilih durian |
Nak kata murah kat Raub, di Shah Alam pun boleh dapat range harga yang sama. Tapi specialnya disini, durian disini datang dari dusun di sini, sangat fresh terbaik dari ladang. Sepanjang jalan ke sini kita boleh lihat dusun-dusun yang penuh pokok-pokok durian yang lebat dengan buah, kalau tak fikir halal haram kitorang parking je tepi jalan makan durian bawah pokok.
Lepas kenyang makan durian, kitorang bergerak pula ke Bentong, ke kedai Lemang To'ki. Lebih kurang 30 minit sahaja dari Raub. Lemang To'ki ni memang popular di kalangan rider motor, ramai yang ride di hujung minggu dari serata Malaysia untuk makan disini. Kitorang dah banyak kali ke sini, untuk explorasi kali ini kami tak lepaskan peluang untuk singgah disini lagi.
|
Lemang To'ki , boleh juga dimakan dengan daging atau ayam bakar. |
|
ABC special, mungkinkah ABC ini akan menjadi bukti cinta antara Amad Famie dengan gadis waiter, Aisha Humairah (bukan nama sebenar) selepas beliau tersalah hantar ke meja kami? |
|
Ini kalau salah timing, boleh sejam jugak beratur tunggu lemang |
Di kedai Lemang To'ki ni memang disediakan pelbagai juadah, bukan lemang je, nasi-nasi, goreng-goreng pun ada. Kedai dia pun dah semakin besar, kadang-kadang hujung minggu ada band busking kat sini. Dan banyak barang-barang antik menjadi hiasan kat sini, aku pun tak pasti apa kesinambungan barang antik dengan lemang. Mungkin nak bagi feel klasik kot.
Ok lah, itu sahaja explorasi kami kali ini (tak bawa kicap Jalen pun boleh teruskan explorasi ini), Jam 7.30 malam kami tiba di Shah Alam dengan jayanya, Alhamdulillah.
Terima kasih kerana sudi membaca.